Pakaian yang dijahit bermula daripada meja memotong. Menyusun atur pola di atas fabrik bagi persediaan memotong adalah langkah penting yang mesti dibuat dengan teliti untuk mendapatkan hasil yang baik. Terdapat beberapa petua mengenai susun atur pola dan beberapa idea mengenai menyemat pola bagi menetapkan kepingan-kepingan pola pada kedudukannya:
1) Pastikan dahulu semua pola yang diperlukan ada
2) Apa jua pengubahsuaian atau pembetulan mestilah dilakukan terlebih dahulu terhadap pola.
3) Kepingan pola ditekan dengan seterika sejuk pada suhu yang rendah agar pola mudah dikendalikan.
4) Dalam persediaan untuk memotong, fabrik selalunya dilipat. Bagi pola-pola yang besar, fabrik biasanya dilipat dua.
5) Pola-pola boleh disusun atur pada hala bertentangan sekiranya fabrik tidak bernap atau tidak bercorak sehala.
6) Ada kalanya, susun atur pola memerlukan fabrik dilipat dengan kedua-dua tepi kain bertemu di tengah. Ini dilakukan apabila memotong dua keping pola yang boleh disusunkan sebelah-menyebelah, tetapi perlu diletakkan pada lipatan fabrik apabila memotong.
7) Fabrik hendaklah dilipat dengan sebelah dalam bertemu supaya boleh melihat corak yang perlu diletakkan di tengah-tengah atau disamakan.
8) Untuk fabrik bernap atau bercorak sehala, pola-pola hendaklah disusun sehala mengikut coraknya.
9) Pola hendaklah disusun atur dengan baik bagi menjimatkan ruang supaya tidak banyak fabrik yang terbuang. Pola juga hendaklah disusun mengikut ira fabrik.
10) Pola yang besar hendaklah diletak terlebih dahulu diikuti oleh pola yang kecil.
11) Apabila mengerjakan fabrik bercorak, seperti corak dam atau genggang, pola-pola hendaklah disusun pada selapis fabrik untuk lebih mudah memadankan corak. Pastikan belang dan coraknya bertemu di kelim.
12) Basi jahitan hendaklah ada pada pola. Jika tiada, ianya hendaklah disediakan semasa memotong fabrik.
13) Tanda ira fabrik di atas pola ialah garis lurus yang panjang dengan anak panah di kedua-dua hujungnya.
14) Garis ini menunjukkan bagaimana meletak pola dengan tepat di atas fabrik.
15) Pola-pola yang ada hendaklah mempunyai tanda lipatan di mana ianya mestilah betul-betul terletak pada lipatan ira fabrik.
16) Apabila kepingan-kepingan pola telah dijajarkan dengan betul di atas fabrik, pola tersebut hendaklah disemat dengan peniti untuk menetapkan kedudukannya.
17) Peniti yang sesuai hendaklah digunakan dan pola disemat terus kepada fabrik mulai daripada lipatan atau bahagian tengah pola itu dan kemudiannya diratakan.
18) Apabila menyemat pola di atas fabrik, semua peniti hendaklah menghala ke dalam dan bersudut tepat dengan garis pemadan.
19) Peniti pertama hendaklah mengikut ira lurus. Seterusnya bahagian bucu pola disemat dengan cara menyerong.
20) Elakkan menyemat peniti selari dengan lipatan, tetapi hendaklah disemat secara bersudut untuk mengelakkannya daripada berkedut.
21) Jarum peniti disemat pada jarak yang sesuai untuk menetapkan pola, lebih kurang 8 cm pada bahagian lurus dan 2.5 hingga 3 cm pada bahagian yang berbentuk.
22) Untuk menetapkan agar fabrik rata, elakkan daripada mengangkat fabrik ketika menyemat jarum peniti. Sebaliknya, fabrik hendaklah dicubit seberapa sedikit yang boleh.
23) Kesemua kepingan pola hendaklah disusun di atas fabrik sebelum fabrik mula dipotong.
24) Kesemua kepingan pola mesti dialih terlebih dahulu sebelum kerja memotong fabrik dilakukan.
No comments:
Post a Comment