Want to know more, please click

Followers

Pages

Friday, March 18, 2011

Konsep Sains Sosial


1.0 : Pengenalan

Bidang sains sosial dan kaedah penyelidikan sains sosial menawarkan langkah untuk mengkaji dan seterusnya memahami tindakan dalam isu-isu berkaitan dengan sosial manusia. Di samping memberikan pandangan dan prosedur secara teknikal bagi meneliti perkara yang tidak terungkai yang terlepas dari pandangan masyarakat berhubung dengan soal yang ada kaitan dengan manusia itu sendiri.

Kajian sains sosial meliputi kajian tentang proses kehidupan sosial manusia seperti sosialisasi manusia, interaksi sosial, perubahan budaya, perubahan sosial, stratifikasi sosial atau kelas sosial, mobiliti dan konflik sosial dan sebagainya. Matlamat kepada pengkajian sains sosial ini adalah untuk mencapai kemajuan dan perkembangan. Selain mengecapi keseimbangan, kestabilan, dan keharmonian dalam masyarakat. Jika diteliti, kebanyakan daripada pengkajian sarjana sosial adalah merupakan sumber emosi yang teguh dan menyakinkan bagi masyarakat secara amnya. Pengkajian membolehkan persoalan yang berkesan menjadi suatu fakta. Nilai yang diperolehi menerusi kaedah kajian sains sosial adalah ia menawarkan suatu cara untuk mengenalpasti sesuatu isu menerusi pemerhatian dan secara logik. Kaedah kajian sains sosial secara tidak langsung turut membuka peluang untuk menangani permasalahan dan menerokai pengalaman dalam membuat perubahan sosial dan masyarakat.

 Dalam penyelidikan sains sosial, terdapat 2 bentuk data yang dapat dikategorikan iaitu data kualitatif dan data bentuk kuantitatif yang masing-masing menggunakan pendekatan yang berbeza dalam mengkaji sesuatu kes. Pengumpulan data kuantitatif merangkumi teknik seperti eksperimen, survei, analisa kandungan, atau statistik sedia ada. Manakala data berbentuk kualitatif pula melibatkan teknik seperti kerja lapangan, temubual, pemerhatian ikut serta dan pemerhatian tidak ikut serta. Oleh yang demikian, kaedah mengumpulkan data adalah penting dalam pengkajian sains sosial kerana terdapat pelbagai teknik yang boleh diaplikasikan untuk melakukan penyelidikan dan kepentingannya akan dibincangkan dengan lebih jelas.



2.0 : Konsep Sains Sosial

             Sains sosial umumnya diertikan sebagai kajian mengenai manusia dan masyarakat. Secara khususnya ia merujuk kepada penggunaan kaedah saintifik untuk mengkaji cara manusia mengatur kehidupan berkelompok dan membentuk jaringan hubungan untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan tersebut (Sharifah Zaleha Syed Hassan , et. al. 2001 : 10). Ilmu sains sosial ialah ilmu mengenai manusia, terutamanya semua aspek mengenai kehidupan manusia berkelompok (Hunt & Colander.1993 : 4), dan penyelidikan sosial adalah lebih daripada pengumpulan kaedah dan ia merupakan  proses untuk membentuk pengetahuan dan juga merupakan proses untuk menghasilkan pengetahuan baru mengenai dunia sosial dengan menggunakan kaedah saintifik (Newman.1997 : 5).

Terdapat beberapa disiplin dalam sains sosial di antaranya ialah Sejarah, Sains Politik, Ekonomi, Psikologi, Antropologi, Sosiologi, Undang-undang dan Linguistik. Sejarah merupakan salah satu disiplin dalam sains sosial yang mengkaji tentang peristiwa-peristiwa yang telah berlaku seperti perkembangan politik, ekonomi dan sosial dalam sesebuah masyarakat, kawasan, negara dan tamadun manusia berdasarkan maklumat yang di perolehi daripada dokumen lama seperti surat, diari, catatan pengembara dan laporan serta penemuan arkeologi (Sharifah Zaleha Syed Hassan , et. al. 2001 : 14). Menurut beliau lagi, disiplin sains politik  adalah kajian mengenai kuasa dan pengagihan kuasa dalam sistem politik yang berbeza-beza. Ahli sains politik selalunya meneliti sumber kuasa, bagaimana orang menggunakan kuasa, siapa menggunakannya, perebutan kuasa, dan proses mengawal dan menghadkan kuasa. Menurut beliau lagi, isu-isu yang lazimnya di minati ahli sains politik termasuklah konflik dan kestabilan dalam sesuatu sistem politik, political alignment dan organisasi, badan-badan dalam sistem pentadbiran, parti politik, kelompok kepentingan dan pertubuhan bukan kerajaan. Tambah beliau lagi, ekonomi merupakan kajian tentang pengeluaran, pengagihan dan penggunaan barangan dan perkhidmatan dalam sistem ekonomi yang berbeza-beza. Menurut beliau lagi, ahli ekonomi menumpukan perhatian kepada bagaimana sebuah masyarakat menentukan bagaimana dan untuk apa sumber produktifnya yang terhad digunakan.       Di antara perkara yang di minati ahli ekonomi termasuk pola-pola gunatenaga manusia sehubungan dengan perubahan demokrasi, pertukaran barangan, penentuan harga barangan, sistem perbankan dan lain-lain lagi.

Psikologi adalah kajian mengenai tingkah-laku dan proses mental manusia (Sharifah Zaleha Syed Hassan , et. al. 2001 : 15). Tambah beliau lagi, ahli psikologi lazimnya meneliti individu, interaksi semuka (face to face interaction) dan kelompok kecil untuk memahami antara lain mekanisme yang terlibat dalam proses pengamatan dan pembelajaran, pembentukan sahsiah, identiti kendiri dan stuktur-struktur kognitif. Menurut beliau lagi, antropologi adalah sains mengenai manusia di mana merangkumi beberapa sub-disiplin yang meninjau perkembangan biologi manusia, hubungan biologi antara kelompok-kelompok manusia dan prinsip-prinsip yang mendasari tingkahlaku dan hubungan sosial dalam sesebuah masyarakat, biasanya masyarakat bukan-Barat. Tambah beliau, antropologi merangkumi sub-disiplin antropologi fizikal, arkeologi, genetik, dan antropologi sosial. Menurut beliau lagi, ahli antropologi sosial menumpu perhatian kepada budaya, tingkahlaku manusia, nilai, peraturan dan adat resam yang di hasilkan oleh manusia dalam masyarakat tertentu. Menurut beliau lagi, sosiologi merupakan kajian mengenai struktur sosial, tindakan sosial,budaya dan gaya hidup dalam sesebuah masyarakat. Ahli sosiologi biasanya mengkaji masyarakat maju, industri, dan moden, dan meninjau aspek-aspek tertentu kehidupan sosial dalam masyarakat berkenaan. Tambah beliau lagi, aspek-aspek dalam kehidupan sosial adalah seperti bentuk-bentuk famili, proses penuaan, pembangunan, perubahan sosial, pendidikan, kesihatan, devians, jenayah, gender,riadah, hubungan etnik, dan lain-lain lagi. Menurut beliau lagi usaha menguji dan menghasilkan kaedah penyelidikan baik kaedah kualitatif mahupun kuantitatif termasuk dalam sosiologi.

Disiplin undang-undang merupakan bidang kajian yang memfokus kepada peraturan yang mengawal tindakan manusia dan statut atau rang undang-undang yang di gubal dan di laksanakan oleh pihak berkuasa (Sharifah Zaleha Syed Hassan , et. al. 2001 : 15). Menurut beliau lagi, ilmuan sosial yang meminati fenomena undang-undang biasanya menanalisa jenis undang-undang, sistem undang-undang, cara-cara menyelesai pertikaian dan konflik, hubungkait institusi undang-undang dengan proses politik dalam sesebuah masyarakat. Tambah beliau lagi, linguistik merupakan kajian saintifik tentang bahasa dan pertuturan. Menurut beliau lagi, ahli linguistik meneliti bermacam-macam aspek tentang bahasa. Antaranya ialah bagaimana bahasa-bahasa manusia berbezaatau berkaitan antara satu sama lain, bagaimana manusia menyusun perkataan dan bunyi untuk berkomunikasi antara satu dengan lain, sejauhmana bahasa mempengaruhi pengamatan dan pemikiran manusia, hubungkait antara bahasa, sistem makna dan budaya.  Geografi merupakan sains yang memerihalkan berbagai-bagai aspek tentang bumi serta ciri-ciri fizikalnya, iklim, pembahagian bumi berasaskan sifat semulajadinya dan proses politik, dan kegiatan-kegiatan manusia (Sharifah Zaleha Syed Hassan , et. al. 2001 : 15). Menurut beliau lagi, disiplin geografi terbahagi kepada geografi fizikal dan geografi manusia. Tambah beliau lagi, geografi fizikal merangkumi analisis tentang wilayah manakala geografi manusia memfokus kepada interaksi antara manusia dan wilayah.

3.0 : Lampiran A

Data Kuantitatif
Data Kualitatif
Mengukur fakta-fakta yang lebih bersifat objektif.
Membina realiti sosial dan  makna kebudayaan.
Fokus kepada pemboleh ubah.
Fokus kepada proses interaktif.
Kepercayaan (reliability) adalah penting.
Ketulenan adalah penting.
Nilai bebas.
Nilai adalah terang dan jelas.
Konteks bersifat bebas.
Konteks adalah terkawal.
Kes dan subjek yang ramai.
Kes dan subjek yang kurang.
Penyelidik tidak turut serta atau tidak terlibat dalam kajian.
Penyelidik turut sama terlibat dalam kajian.





4.0 : Kepentingan Penyelidikan Saintifik

Sememangnya penyelidikan saintifik dalam sains sosial amat penting kerana ia memberikan informasi atau maklumat yang ingin diketahui terutamanya dalam mengkaji disiplin-disiplin sains sosial. Memahami teori, pengkajian dan analisis perkaitan di antaranya yang mana setiap darinya memiliki peranan masing-masing untuk menyelesaikan bahagian yang tertentu dalam keseluruhan kajian yang dibuat. Selain itu, penggunaan alatan dan kemahiran melalui pendekatan saintifik yang teliti dan tegas ketika membincangkan isu dalam falsafah sains juga penting. Di samping menggalakkan penyesuaian dalam menganalisis berbagai pembolehubah berbanding dwi-pemboleh ubah yang kurang rumit dalam pengkajian sains sosial (Sedlack & Stanley, 1992 : ix). Di samping itu, penyelidikan sains sosial juga penting bagi menganalisis fenomena alam tabii, ini kerana ianya merupakan analisis tentang kehidupan seharian, atau pengalaman secara subjektif kehidupan harian ( Wysocki. 2004 : 13).

4.1 : Langkah Penyelidikan Sains Sosial

Secara konseptualnya, pengetahuan saintifik ialah ilmu pengetahuan yang telah secara sistematik dihimpunkan, diklasifikasikan, berhubungan dan ditafsir (Hunt & Colander. 1993 : 4). Kaedah saintifik juga merujuk kepada idea-idea, peraturan, teknik-teknik dan pendekatan yang digunakan oleh komuniti saintifik (Newman.1997 : 9). Terlebih dahulu, penyelidik hendaklah mendefinisikan masalah ia merupakan langkah yang terpenting dalam penyelidikan. Sekiranya masalah dapat di definisikan dengan betul, ia boleh menyelamatkan satu jumlah tenaga besar. Contohnya sekiranya anda tidak tahu apa yang anda lakukan, tidak kira berapa baik yang anda mampu lakukan ia tidak akan berkesudahan. Tajuk yang pilih untuk pelbagai sebab, mungkin kerana ia meningkatkan isu-isu sains sosial kepentingan asas, mungkin kerana ia telah tiba-tiba menjadi satu tumpuan kontroversi, atau mungkin kerana dana-dana penyelidikan telah didapati. Sebagai contohnya, Mahmood Nazar dalam tesisnya ingin meneliti perubahan dari segi psikologikal penagih dadah dalam masyarakat kerana beliau melihat bahawa penagih dadah itu sendiri merupakan sebahagian daripada masyarakat. Sebarang masalah yang dihadapi oleh golongan sedemikian juga merupakan masalah yang harus direnungi bersama.

Langkah yang seterusnya ialah menyemak hasil tulisan, yang mana pengetahuan tentang hasil tulisan yang berkaitan adalah penting kerana ia menyediakan latar belakang, cadangan pendekatan, menunjukkan apa telah telah dikaji dan belum dikaji, dan mengelakkan daripada membuat pengulangan. Selepas hasil tulisan disemak, suatu teori rangka kerja dibina dan hipotesis dirumuskan, penyelidik akan membuat satu kenyataan untuk meramal kajian-kajian dan mengapa setiap terma-terma dalam kenyataan di dalam rangka penyelidikan. Kemudian barulah penyelidik boleh menentukan dan memilih satu bentuk penyelidikan yang diingininya, iaitu sama ada dengan menggunakan kaedah kajian (survey), satu ujian (experiment), satu kajian pemerhatian (observation),  menggunakan sumber-sumber yang ada, atau satu kombinasi. Pilihan perlulah teliti kerana merancang adalah perkara utama proses menyiapkan penyelidikan.
Setelah itu, penyelidik boleh memulakan kerja-kerja mengumpulkan data dan membuat penelitian dengan merekodkan data yang diperolehi sepanjang tempoh kajian atau penyelidikan. Hanya selepas data selesai dikumpul, penyelidik akan mengambil langkah untuk menganalisis keputusan atau hasil kajiannya. Apabila semua data telah diperolehi, fakta-fakta diklasifikasikan bagi mengenalpasti tren-tren, mengiktiraf hubungan-hubungan, dan menjadualkan maklumat supaya ianya tepat untuk dianalisa dan ditafsir. Selepas ini, teori boleh diterima, ditolak ataupun diubahsuai bagi memenuhi kehendak kajian. Pada tahap membuat kesimpulan, laporan hendaklah disediakan dan ringkasan langkah-langkah yang telah dibuat dan perbincangan mengenai penemuan daripada penyelidikan tersebut dinyatakan dalam laporan ini. Satu laporan yang baik akan menerangkan kesimpulan-kesimpulan kajian, mencadangkan  andaian-andaian boleh diubahsuai disebabkan keterangan yang baru, dan soalan yang mungkin tidak berjawab dan seterusnya untuk kajian lanjut (Hunt & Colander.1993 : 18)




4.2 : Kaedah-kaedah dalam Penyelidikan Saintifik

Dalam penyelidikan saintifik, terdapat tiga kaedah utama yang digunakan untuk melakukan penyelidikan dalam sains sosial. Kaedah pertama ialah menggunakan kaedah tinjauan iaitu sama ada menggunakan teknik temubual atau soal selidik. Teknik mengumpulkan data melalui soal selidik merangkumi bahan pengukur di mana responden perlu membaca dan memberi respon kepada persoalan yang dikemukakan dan ianya amat sesuai bagi pengkaji yang memiliki idea teguh terhadap objektif kajiannya. Soal selidik berasaskan teknik yang tidak tersusun yang memerlukan responden untuk memberi jawapan sendiri jarang digunakan dan ianya mempunyai sedikit masalah kerana memerlukan responden untuk bermotivasi tinggi ketika menjawab soal selidik tersebut. Dalam mereka bentuk jadual, arahan hendaklah bercirikan soalan yang jelas dan  jadual tersebut perlulah ringkas dan mudah untuk difahami responden. Responden tidak boleh diiring oleh penyoal selidik dan perangkaan yang rapi adalah amat penting kerana keterjaminan data bergantung kepada tindak balas responden (Sedlack & Stanley. 1992 :215-216 ). Kaedah ini merupakan kaedah yang paling popular untuk mengumpul data dalam kajian sains sosial. Penyelidik akan menyediakan soal selidik tertentu mengikut piawai yang di tetapkan dan menyerahkannya kepada responden. Langkah awal yang perlu di lakukan penyelidik adalah mengenalpasti masalah kajian dan konsep yang digunakan serta bagaimana ia beroperasi. Ia melibatkan proses ‘abstration’. Penyelidik perlu mendapatkan definisi-definisi yang menerangkan konsep serta perkaitannya.

Terdapat tiga cara dalam kaedah tinjauan iaitu secara individu (self-administered questionnaires), temubual dan tinjauan menggunakan telefon. Penghantaran borang soal selidik melalui surat merupakan kaedah yang selalu digunakan penyelidik dalam tinjauan individu. Penyelidik juga boleh menghantar soal selidik dengan membuat temujanji dan menghubungi responden dari rumah ke rumah (Sharifah Zaleha Syed Hassan, et. al. 2001 : 76). Adakalanya penyelidik bersemuka secara terus dengan responden setelah borang soalselidik dihantar kepada responden. Melalui kaedah tinjauan secara individu ini responden boleh menjawab soalan yang diajukan tanpa rasa takut dan sangsi. Selain itu, melalui kaedah ini juga memudahkan penyelidik menyelenggarakan penyelidikan mereka dengan lebih senang dalam kumpulan yang kecil. Untuk mengatasi masalah borang soal selidik tidak dikembalikan, penyelidik mengambil inisiatif dengan menyediakan borang soal selidik yang lengkap dengan beralamat serta setem untuk di kembalikan.

Melalui pendekatan ini ia bergantung kepada kecekapan penyelidik dalam menyatakan maksud kajian dengan mudah, ringkas dan menetapkan tempoh masa yang munasabah untuk responden memberi maklum balas. Apabila cara menghantar jawapan secara pos tidak berkesan, penyelidik perlu mendapatkannya sendiri ataupun menggunakan kaedah temubual (Sharifah Zaleha Syed Hassan, et. al. 2001 : 76). Terdapat juga penemuan baru dalam kaedah tinjauan secara individu seperti penggunaan komputer dan internet. Terdapat beberapa teknik baru yang sedang dicuba (Nicholls, Baker, dan Martin 1996 dalam Sharifah Zaleha Syed Hassan, et. al. 2001: 77) iaitu seperti :

·      CATI (Computer assisted telephone interviewing).
Responden mendapat soalan melalui telefon dan menjawab soalan-soalan secara dalam talian.
·         CAPI (Computer assisted personal interviews).
Sama dengan CATI tetapi soalan di kemukakan secara temubual bersemuka.
·         CASI (Computer assisted self interviewing).
Penyelidik membawa computer ke rumah responden dan responden menjawab sendiri soalan dan memberi jawapan di computer.
·         TDE ( Touchtone data entry).
            Responden menghubungi nombor telefon penyelidik dan menjawab soalan dengan            menekan nombor-nombor telefon tertentu.

Pada masa kini penggunaan internet adalah secara meluas, pelbagai teknik tinjauan secara on-line telah diwujudkan. Kita berkemungkinan menyaksikan proses pengumpulan yang lebih mudah dan berkesan di masa hadapan. Penggunaan telefon mungkin murah dan cepat namun penyelidik tidak dapat bersemuka dengan responden dan kesannya mungkin penyamaran dan ketidakabsahan jawapan (Sharifah Zaleha Syed Hassan, et. al 2001 : 77)

   Kaedah kedua dalam penyelidikan sains sosial ialah kaedah kerja lapangan (Field Work/Study). Dalam kaedah ini, erdapat beberapa teknik yang selalu digunakan oleh penyelidik sains sosial dalam kerja lapangan (Sharifah Zaleha Syed Hassan, et. al. 2001 : 78). Pertamanya ialah teknik pemerhatian turut serta (Participant Observation) iaitu penyelidik diperlukan untuk turut serta dalam dalam kehidupan atau proses sosial yang berlaku (Sharifah Zaleha Syed Hassan, et. al. 2001 : 78). Sekiranya penyelidik ingin  memahami bagaimana proses strategi pilihanraya dan kempen di buat oleh parti tertentu, penyelidik itu akan menganggotai parti tersebut dan cuba terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat parti politik yang berkaitan pilihanraya. Penyelidik bukan sahaja membuat kajian tetapi turut serta dalam kerja-kerja pilihanraya.

Teknik kedua ialah melalui temubual intensif (In-Depth Interview) yang mana ianya dilakukan secara lebih mendalam, tidak formal dan berkaitan topik-topik yang ringan sebelum menjurus kepada topi yang lebih serius (Sharifah Zaleha Syed Hassan, et. al. 2001 : 78). Isu-isu yang dibincangkan berkaitan dengan isu-isu biasa tentang kehidupan dan kemudiannya menjurus kepada topik sebenar. Misalnya penyelidik berkumpul dengan ahli-ahli mesyuarat parti di kedai kopi sambil bercakap-cakap tentang isu-isu harian seperti Malaysia kalah dalam perlawanan bola sepak sebelum secara mendalam bertanya tentang penyertaan seseorang dalam parti politik tersebut.

Teknik ketiga yang termasuk dalam kadah kerja lapangan ialah kajian kes. Kajian kes biasanya bersifat kajian yang idiografik tentang individu, kumpulan, dan masyarakat (Sharifah Zaleha Syed Hassan, et. al. 2001 : 78). Sebagai contoh, seorang ahli sains politik mengkaji tentang pergerakan politik tertentu ataupun seorang ahli sosiologi mengkaji tentang umpulan pekerja dalam sesebuah Bandar. Tambah beliau lagi, pengkaji biasanya akan mengfokus pada kumpulan tertentu di lokasi-lokasi tertentu dan pada masa yang tertentu.

 Teknik yang keempat adalah menerusi teknik etnografi dan ini biasanya di kaitkan dengan disiplin antropologi (Sharifah Zaleha Syed Hassan, et. al. 2001 : 78). Teknik ini biasanya merujuk kepada kajian pemahaman dan pemerhatian terhadap budaya dan sub budaya. Sebagai contoh, kajian tentang amalan puja pantai dikalangan masyarakat Melanau di kawasan pesisiran Pantai Mukah di Sarawak yang mana kajian ini bertujuan memahami budaya masyarakat Melanau dan membezakan ciri-ciri budaya atau melihat persamaannya dengan budaya lain, serta pengaruh budaya dalam kehidupan sosial yang lain.

Kaedah penyelidikan saintifik yang terakhir ialah menerusi kaedah “unobstructive”. Kaedah ini biasanya dilakukan apabila sukar untuk mendapatkan reaksi dari responden kerana mereka tidak menunjukkan reaksi terhadap penyelidikan ataupun tidak bertindakbalas terhadap proses ukuran yang di jalankan oleh seorang penyelidik (Sharifah Zaleha Syed Hassan, et. al 2001 : 78). Terdapat tiga bentuk ukuran yang biasanya di gunakan dalam kaedah ini (Sharifah Zaleha Syed Hassan, et. al. 2001 : 78). Ukuran yang pertama adalah melihat bukti-bukti fizikal yang boleh menunjukkan kesan tingkahlaku sosial seseorang. Keduanya, iaitu dengan meneliti bahan peninggalan, seperti dokumen, rekod, surat khabar ataupun buku. Dengan melihat laporan dan statistik yang ditulis, maka penyelidik dapat gambaran tentang realiti sosial yang ingin di kaji. Penyelidik juga boleh melakukan teknik analisis kandungan (content analysis) seperti melihat berapa kerap isu atau nama seseorang ahli politik muncul dalam surat khabar ataupun televisyen. Ukuran ketiga, pemerhatian yang dibuat secara tidak langsung dan tidak formal. Misalnya melihat simbol parti politik yang disukai oleh seseorang ataupun respon seseorang terhadap poster pilihanraya.

4.3 : Kepentingan Mengumpulkan Data

Kaedah mengumpulkan data merupakan satu kaedah yang paling penting dalam pengkajian sains sosial berasaskan kepada 10 sebab iaitu skop kajian, empirikal, keesahan, pengetahuan, reliabiliti, gambaran umum, penyelesaian, keberkesanan, rasional dan peristiwa. Kaedah mengumpulkan data dapat membantu menetapkan skop kajian dalam penyelidikan sains sosial. Sebagai contoh, Humaizi dalam tesis sarjananya yang mengkaji tentang pendedahan media elektronik Malaysia dan Indonesia terhadap masyarakat di beberapa daerah Acheh Timur telah menetapkan skop kajiannya berasaskan kepada faktor-faktor seperti taraf pendidikan jenis pekerjaan, umur lebih daripada 18 tahun dan menetapkan tempoh kajiannya dalam masa 3 minggu bagi memudahkan kajiannya. Selain itu, kaedah mengumpulkan data juga penting dari segi faktor empirikal. Seperti mana yang dinyatakan oleh Humaizi dalam tesis beliau, beliau menggunakan kaedah temubual dari rumah ke rumah yang dilakukannya bagi mendapatkan data. Pada pendapat beliau, adalah lebih baik kiranya ianya adalah melalui pengalaman menanyakan responden itu sendiri. Dengan merujuk kepada tesis sarjana Humaizi sekali lagi, melalui hasil daripada kajiannya masyarakat dapat mengetahui kesan pendedahan media elektronik Malaysia terhadap tahap kesedaran dan juga kesetiaan responden dari Acheh Timur. Oleh itu, kaedah mengumpul data juga memberikan data daripada pengkajian sebagai salah satu bentuk pengetahuan kepada masyarakat.
 
Sebagai mana yang dikemukakan oleh saudara Mahmood dalam tesis doktor falsafahnya yang mengkaji tentang perubahan aspek psikologikal penagih dadah yang mengikuti program pemulihan di pusat serenti. Beliau menggunakan teknik Cronbach Alfa untuk menilai dan menguji ketepatan tingkah laku secara konsisten. Berdasarkan kepada koefisyen alfa yang diperolehinya iaitu nilai sebanyak 0.689, Mahmood telah menyatakan bahawa ukuran kajian tersebut bertepatan dan mempunyai reliabiliti kerana bersesuaian dengan golongan responden iaitu golongan penagih dadah yang mana tahap harga diri mereka adalah bercampur-campur. Mahmood menganggap bahawa tahap harga diri di kalangan golongan penagih dadah lama dan baru adalah berbeza iaitu lebih tinggi di kalangan penagih lama berbanding yang baru. Menerusi pengumpulan data juga, pengetahuan dapat diperolehi.

Masyarakat juga memperolehi serba sedikit gambaran umum melalui pengumpulan data dalam penyelidikan sains sosial yang dijalankan oleh Mahmood. Melalui pengumpulan datanya yang digunakan oleh Mahmood menerusi Skala Harga Diri Rosenburgnya dapat memberikan masyarakat gambaran tentang tahap harga diri seseorang penagih dadah dan pendapat mereka tentang sejauh mana mereka berasa yakin berada dalam lingkungan sosial sesebuah masyarakat. Di samping itu, kaedah mengumpulkan data penting kerana keesahan maklumat. Mahmood telah mengaplikasikan penggunaan teknik yang pelbagai seperti Skala Harga Diri Rosenburg, Analisis Varians Satu Hala (ANOVA) dan sebagainya yang mana penyelidik mengkolerasikan setiap item dengan keseluruhan skor item (item total) bagi mendapatkan dan memperolehi ketepatan dalam hasil kajian sebaik yang mungkin. Dengan itu, keesahan dapat dicapai menerusi pengumpulan data.
Dengan mengambil contoh pula daripada hasil kajian Avnir dan Shor dalam A Systematic Qualitative Evaluation of Levels of Differentiation in Families with Children at Risk, mereka telah mengkaji tentang isu hubungan kekeluargaan antara ibu bapa dan anak-anak yang mengalami masalah dan seterusnya menerusi kaedah temubual yang digunakan mereka. Mereka secara tidak langsung dapat mengemukakan cadangan bagi penyelesaian untuk masalah tersebut iaitu dengan memberi fokus kepada nilai kekeluargaan itu sendiri dengan keunikan yang terdapat pada anak itu sendiri, langkah penyesuaian, memberi privasi dan sebagainya (Wysocki. 2004 : 111-120).
  Keberkesanan juga diperolehi menerusi kaedah mengumpulkan data. Sebagai contohnya melalui penggunaan kaedah tinjauan seperti soal selidik yang digunakan dalam kajian mereka, Avnir dan Shor menganalisis data yang diperolehi berdasarkan soal selidik atau questionnaires untuk dijawab oleh ahli keluarga yakni dari kalangan ibu bapa. Seterusnya, mereka mengadakan analisis kandungan berdasarkan kepada gambaran yang diberikan oleh ibu bapa tentang hubungan kekeluargaan mereka dengan anak-anak (Wysocki. 2004 : 111-120). Dengan itu, teknik-teknik pengumpulan data yang bersesuaian akan memberikan keberkesanan dalam penyelidikan sains sosial.

      Selain daripada itu, rasionalnya sesebuah kajian itu juga dapat diketahui menerusi kaedah pengumpulan data. Misalnya dalam kajian Yogan dalam kajiannya berkaitan dengan tingkah laku ganas di kalangan pelajar semenjak daripada kes tembakan yang berlaku di Columbine High School pada April 1999. Kajian tersebut adalah rasional kerana ianya membabitkan perkembangan moral di kalangan pelajar yang terdiri dari golongan remaja dan kanak-kanak sekolah dengan guru di sekolah. Ianya mengkaji kesan psikologi yang dialami oleh para pelajar dan melihat kesan dan pengaruh rakan sebaya yang membawa kepada perilaku ganas tersebut (Wycoski. 2004 : 33 - 41).

Peristiwa juga merupakan salah satu sebab mengapa kaedah mengumpulkan data merupakan kaedah yang paling penting dalam penyelidikan sains sosial. Melalui kaedah pengumpulan data ini, kita dapat mengumpulkan data-data bagi sesuatu kes berasaskan kepada peristiwa atau sejarah masa lampau yang kemudiannya dapat dijadikan bahan penyelidikan dalam sains sosial. Seterusnya, dikaji selidik akan punca dan akibatnya serta dijadikan iktibar bagi generasi akan datang. Umpamanya, kes yang dikaji oleh Yogan berhubung dengan tragedi tembakan yang berlaku pada April 1999 di Columbine High School secara tidak langsung mempunyai signifikan kepada masyarakat hari ini. Sebelum kes yang berlaku di Columbine High School terdapat juga lagi beberapa kes yang hampir sama. Khuatir akan terulangnya kejadian ini, maka dikaji situasi dan hubung kait sosial antara pelajar dan guru untuk mengenal pasti sebab dan punca peristiwa itu berlaku (Wycoski. 2004 : 33 - 41).

5.0 : Kesimpulan

      Penyelidikan saintifik dalam sains sosial merupakan satu bentuk pemerhatian bagi membentuk permasalahan kajian bagi mencari dan mendapatkan penyelesaian bagi sesuatu perkara terutamanya yang berhubung kait dengan sains sosial. Dalam penyelidikan sains sosial, kaedah mengumpulkan data merangkumi teknik-teknik seperti membuat tinjauan atau survei, membuat pemerhatian, temubual, dan pemerhatian makmal. Kaedah mengumpulkan data dikatakan merupakan kaedah yang paling penting kerana ianya memberikan skop kajian, bersifat empirikal dari segi mendapatkan data kajian, mempunyai keesahan, reliabiliti, rasional, dan keberkesanan data yang diperolehi. Selain itu, kaedah mengumpulkan data turut memberikan gambaran umum, peristiwa serta pengetahuan kepada masyarakat tentang sesuatu isu dalam sains sosial yang meliputi individu dan masyarakat. Justeru, kaedah mengumpulkan data sememangnya merupakan kaedah yang paling penting dari segi peranannya dalam mendapatkan data bagi penyelidikan dalam sains sosial.


6.0 : Bibliografi
________________________________________________________________________


D. K. Wycoski. 2004. Readings in social research methods. Edisi ke-2. Canada.     Wadsworth.

Humaizi. 1993. Pelimpahan siaran media elektronik Malaysia : satu pendekatan     perspektif kegunaan dan kepuasan. Tesis Sarjana, Fakulti Sains Kemasyarakatan        dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mahmood Nazar Mohamed. 1995. Perubahan psikologikal dari segi harga diri, profail      personaliti dan penggunaan mekanisme bela diri di kalangan penagih dadah yang mengikuti program pemulihan dadah serenti. Tesis Doktor Falsafah, Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Stanley and Sedlack. 1992. Social research : Theory and methods. Canada. Allyn and       Bacon.

Syarifah Zaleha Syed Hasan et. al. 2001. Pengantar sains sosial. Pusat Pengajian Jarak      Jauh. Universiti Kebangsaan Malaysia.

W. L. Newman. 1997. Qualitative and quantitative approaches. Edisi ke-3. Canada.          Allyn   and Bacon



9 comments:

  1. saya nak tanya,orang yang ambil sains sosial ni akan dapat kerja apa ya?

    ReplyDelete
  2. saya nak tanya,orang yang ambil sains sosial ni akan dapat kerja apa ya?

    ReplyDelete
  3. Replies
    1. Tolong jawab jap..kerja pa kalaw ambik sains sosial

      Delete
    2. Tolong jawab jap..kerja pa kalaw ambik sains sosial

      Delete
  4. Replies
    1. sains sosial ni bnyk lg program bawah dia, mcm aku amik kajian hubungan industri dan perburuhan so kitaorg belajar pasal employment law, trade union yg mana nti kerja boleh la apply human resource manager ke admin officer ke masuk OSH ke, program sains sosial lain mcm kajian politik, planning bnyk lg la :)

      Delete
  5. Aku tak tahu kerja apa. Tiap kali aku buat research je...ada je payment macam air masuk sana sini. Lagi besar dari gaji menteri.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...