Want to know more, please click

Followers

Pages

Friday, April 29, 2011

“BASED ON MALAYSIAN CONTEXT, DISCUSS THE MAJOR FACTORS THAT AFFECT CURRICULUM DESIGN IN SCHOOL MATHEMATICS.”


PENGENALAN
Berdasarkan kronologi sejarah perkembangan pendidikan matematik di Malaysia, kandungan isi pelajaran matematik telah beberapa kali mengalami perubahan. Antara perubahannya yang jelas dapat dilihat, dari segi isi kandungan sukatan pelajaran sejak dari tahun 70’an hinggalah ke alaf baru ini. Perubahan ini berlaku adalah disebabkan dengan pelbagai faktor antaranya falsafah pendidikan pada masa itu, visi dan misi sistem pendidikan negara, perkembangan teori pembelajaran, globalisasi yang memberi kesan pada struktur sosial dan budaya setempat serta isu-isu semasa yang perlu diambilkira seperti politik, pasaran semasa dan ekonomi sesebuah negara.
Kurikulum matematik yang dilaksanakan sebelum tahun 70’an memberi fokus kepada matematik tradisi. Pada ketika ini kurikulum matematik tradisi yang digunapakai di sekolah-sekolah pada amnya disusun sebagai himpunan kemahiran dan konsep mengikut hirarki tertentu. Pada ketika itu objektif pengajarannya berlandaskan kepada teori pembelajaran behaviourisme, yang menyebabkan matematik dibahagikan kepada beberapa bahagian dan setiap bahagian diajar secara berasingan antara satu sama lain (Asiah Abu Samah, 1982). Dalam sukatan ini, kemahiran asas yang menunjukkan perubahan tingkahlaku seperti ketepatan dan kelajuan kira mengira diberi penekanan. Segala pengiraan atau susunan algoritma (seperti dalam geometri Euclid) mestilah mengikut prosedur atau tertib tertentu. Pendekatan pengajaran pembelajaran begini sangat berkesan dalam meningkatkan kemampuan pelajar dari segi mengulangi algorithma atau prosedur matematik, tetapi tidak boleh digunakan untuk menerapkan pemikiran matematik yang lebih luas (Noor Azlan Ahmad Zanzali, 1996).
Matematik pada ketika itu dianggap sebagai ilmu kira mengira. Segala fakta, petua dan hukum mesti dihafal oleh murid-murid. Maka pembelajaran matematik menjadi satu rutin menerima pengetahuan, menghafal pengetahuan dan membuat latih tubi supaya meningkatkan penghafalan (Ibrahim Md. Noh, 1995).
Apabila dasar dan falsafah pendidikan negara menjurus ke arah kemodenan, matematik tradisi telah berubah kepada matematik moden dan telah digunapakai di sekolah-sekolah di Malaysia pada ketika itu. Matapelajaran matematik Pilihan C yang dilaksanakan pada awal 70’an, telah diterapkan dengan unsur-unsur matematik moden (Asiah Abu Samah, 1982). Tajuk-tajuk moden seperti set, statistik, matriks, vektor dan sebagainya telah mula diajar di sekolah-sekolah. Pendekatan Euclid dalam geometri dianggap tidak sesuai lagi, lalu dikeluarkan dari sukatan pelajaran dan digantikan dengan geometri transformasi. Pendekatan pengajaran pula ditekankan kepada pemahaman konsep, tanpa mengurangi kepentingan mengira.
Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR) yang dilaksanakan sebelum 80‘an dirancang berasaskan isi kandungan mata pelajaran. Isi kandungan itu pula kerap kali tidak berkaitan antara satu mata pelajaran dengan mata pelajaran yang lain dan butiran yang terkandung dalam sukatan pelajaran adalah terlalu banyak. Keadaan ini membebankan dan membosankan pelajar. Secara umumnya, menguasai sepenuhnya KLSR adalah di luar kemampuan banyak pelajar sekolah rendah. Antara kelemahan terbesar dalam KLSR dan KLSM ialah isi kandunganya terlampau memberi penekanan dalam persediaan untuk mencapai kecemerlangan kebendaan. Penekanan ini telah mewujudkan kepincangan dalam persediaan untuk kecermelangan kerohanian. Daripada sudut pedagogi pula, KLSR dan KLSM memberi tumpuan kepada aspek pembelajaran melalui pendekatan hafalan secara langsung atau tidak langsung dipengaruhi oleh fahaman behaviourisme. Aspek lain seperti pemahaman, amalan dan penghayatan kurang diberi perhatian yang sewajarnya (Nik Azis Nik Pa, 1992).
Kini kurikulum matematik KBSM telah digunapakai yang membekalkan pendidikan matematik yang umum, menyeronok dan mencabar bagi semua pelajar, yang memberi fokus kepada keseimbangan antara kefahaman terhadap konsep dengan penguasaan kemahiran, penggunaan matematik dalam situasi sebenar, kemahiran menyelesaikan masalah, serta cara pemikiran logik, kritis dan bersistem. Turut diberi perhatian ialah penerapan nilai murni untuk melahirkan warganegara yang dinamik dan amanah. Kandungan matematik diolah dalam tiga bidang yang berkaitan nombor, bentuk dan perkaitan (KPM, 1988).

Kurikulum
Kurikulum adalah rancangan pendidikan yang sentiasa mengalami perubahan. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, perancangan dan pembentukan kurikulum (khususnya KBSR dan KBSM) adalah didasari oleh falsafah dan matlamat pendidikan negara yang menentukan arah haluan, asas dan sumber inspirasi kepada semua usaha dan rancangan dalam bidang pendidikan.
Kurikulum atau pun skop kandungan sesuatu pelajaran adalah asas penting dalam sistem pendidikan sesebuah negara. Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun, Malaysia memerlukan suatu kurikulum yang kemas dan sesuai untuk mewujudkan sistem pendidikan yang dinamik serta selaras dengan cita-cita dan kehendak negara (Kamaruddin Haji Hussin, 1994). Perkembangan kurikulum tidak berlaku dengan sendiri tanpa sebab yang mempengaruhinya. Ia berlaku sejajar dengan kemajuan masyarakat dan negara dan ia dianggap sebagai satu proses yang dinamik dan seimbang.

Faktor Major Yang Mempengaruhi Pembentukan Kurikulum Matematik
Falsafah Pendidikan  Negara (LAMPIRAN A) memainkan peranan yang penting dalam mencorak sistem pendidikan di sesebuah negara, khususnya di Malaysia. Falsafah pendidikan negara mempunyai implikasi yang besar terhadap pembentukan kurikulum. KBSR dan KBSM adalah hasil perubahan yang diaspirasikan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Pusat Perkembangan Kurikulum 2001
Dasar bagi sesuatu sistem pendidikan haruslah berpaksikan kepada falsafah yang jelas. Biasanya falsafah inilah menjadi teras pendidikan kita. Ia mengandungi matlamat, corak dan kaedah pendidikan secara kasar, ciri-ciri yang hendak dibentuk dalam diri individu yang hendak menerima pendidikan tadi serta skop yang dirangkumi oleh proses pendidikan itu sendiri. Sebagai perbandingan, negara Amerika Syarikat misalnya tidak memiliki satu falsafah pendidikan yang digubal di peringkat negara walau pun sistem pendidikannya adalah antara yang terbaik di dunia. Howard D. Mehlinger (1995) mengenalpasti masalah ketiadaan falsafah dan dasar memberi dua bentuk kesukaran. Pertama, pendidikan guru dan kedua, pembaharuan pendidikan. Kesukaran yang kedua iaitu pembaharuan pendidikan adalah antara isu yang amat menyeluruh kerana ianya meliputi isu-isu kurikulum, sistem pendidikan dan kemajuannya daripada satu tahap kepada tahap yang lain. Penbentukkan sesuatu kurikulum mahupun dasar pendidikan negara di negara kita juga dipengaruhi oleh faktor politik semasa. Menurut Francis (1987):
"Curriculum Development is also a political process. It requires dealing with people and their various power bases and their views of what makes for good education"
Wiles Bondi (1989) juga turut menjelaskan pengaruh politik dalam pembentukan dan perkembangan sesuatu kurikulum. Ini jelas menunjukkkan bahawa perkembangan kurikulum dipengaruhi oleh proses politik, kerana setiap kali pucuk pimpinan sesebuah negara itu bertukar, maka setiap kali itulah kurikulum pendidikan akan dikaji semula. Kurikulum pendidikan menjadi saluran penting bagi kerajaan atau kementerian menguatkan pengaruh mereka. Kerajaan bertanggungjawab menetapkan Dasar Pendidikan Negara sejajar dengan hasrat pemerintah.
 Setelah empat tampuk pimpinan negara kita bertukar tangan, maka dasar dan kurikulum di negara kita berkembang mengikut ideologi masing-masing. Daripada ordinan pelajaran 1952, Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960 sehingga kepada Dasar Pelajaran Kebangsaan 1979 telah beberapa kali kurikulum diubahsuai dan kini telah wujudnya pula Kurikulum Sekolah Lestari (LAMPIRAN B) sebagai suatu usaha bagi melaksanakan Dasar Alam Sekitar Negara.dan juga Kurikulum Sekolah Bestari. Oleh itu pembentukkan kurikulum matematik di Malaysia mempunyai perkaitan yang kuat antara falsafah pendidikan dan politik.
Kurikulum matematik di Malaysia juga dipengaruhi oleh visi dan misi sistem pendidikan negara. Jika dilihat melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) telah wujud visi dan misi yang tersirat juga ditonjolkan. Oleh itu FPK adalah penyumbang terbesar faktor pembentukkan kurikulum matematik di Malaysia (LAMPIRAN C).
Memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu” terkandung dalam FPK. Ini bermaksud setiap individu perlu diajar secara bermakna bersesuaian dengan teori pembelajaran iaitu behaviourisme, kognitivisme dan humanisme. Kurikulum yang akan dibentuk sewajarnya dapat memberi ilmu pengetahuan dan kemahiran agar kehendak dan keperluannya sebagai pelajar dan individu dapat dipenuhi. Ini bermakna, kurikulum yang dibentuk akan menyediakan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang merangsang perkembangan potensi mereka secara menyeluruh iaitu merangkumi intelek, jasmani, rohani dan social (Ee Ah Meng, 1995).
Negara kita telah mewujudkan Falsafah Pendidikan Negara yang bertujuan memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dengan itu perkembangan kurikulum harus sejajar dengan perubahan sosial agar nilai-nilai murni dalam diri individu tidak pupus ditelan arus pembangunan (Mohammad Nor, 1990; Kamaruddin Hj. Husin, 1994).
Perancangan kurikulum yang baik sentiasa mengambil kira keperluan murid serta mampu memberi faedah secara menyeluruh. Ini bermakna faktor minat dan perkembangan individu dalam bidang kognitif, psikomotor dan afektif perlu difikirkan semasa membentuk kurikulum tersebut. Jelaslah di sini melalui FPK yang telah dirancang dengan sebaik-baiknya ini adalah penyumbang terbesar terhadap pembentukkan kurikulum kerana didalamnya terkandung semua faktor-faktor yang lain seperti visi dan misi, teori pembelajaran dan isu-isu semasa.
PENUTUP
Proses perkembangan kurikulum sebagai sifatnya yang sentiasa berubah turut dipengaruhi oleh faktor-faktor persekitaran yang merangsang reaksi manusia yang terlibat dalam kepentingannya. Hasrat terhadap perubahan kurikulum itu menggambarkan keperluan pendidikan yang menjadi wadah peneerusan kepada kemajuan tamadun bangsa dan negara itu sendiri.
Sebenarnya, faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukan dan perkembangan kurikulum adalah elemen yang saling berkait antara satu sama lain. Dapatlah dikatakan bahawa faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan kurikulum itu sendiri mencerminkan idealisme dan perubahan keperluan masyarakat dan negara, melalui institusi persekolahan yang akan meneruskan kebudayaan atau mencetuskan tamadun baru.

RUJUKAN

Asiah Abu Samah (1982). Perkembangan Kurikulum Matematik Sekolah di Malaysia Sejak Zaman Penjajah, Kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Pendidikan Matematik , UKM
Ee Ah Meng.(1995). Pendidikan Sebagai Atu Proses. Shah Alam: Fajar Bakti.
Francis P. Hunkin (1987). Currikulum Planning
Howard D. Mehlinger (1995). School Reform in the Information Age
Ibrahim Md. Noh (1995). Pengajaran dan Pembelajaran Matematik Berasaskan Fahaman Binaan. Kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Matematik di Metro Inn. Kajang.
Kamaruddin Hj. Husin.(1994). Asa Pendidikan III: Perkembangan dan Perlaksanaan Kurikulum. Kuala Lumpur: Longman.
Kementerian Pelajaran Malaysia (1988). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah.
Nik Azis Nik Pa(1992). Agenda Tindakan: Penghayatan Matematik KBSR dan KBSM. Kuala Lumpur : DBP
Nor Azlan Ahmad Zanzali (1996). ‘Isu-isu Berterusan Dalam Pendidikan Matematik’. Jurnal Pendidik dan Pendidikan, 14, 19-40.
Wiles Bondi (1989).`Curriculum Development : A Guide to Practice’
Click ads for your tq



1 comment:

  1. trime ksh byk2 ats perkongsian maklumat nih,,,mmg amat bguna wat sy....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...