Want to know more, please click

Followers

Pages

Saturday, April 30, 2011

Konsep-konsep asas Sains Sosial

-          Objektif ahli-ahli sains sosial ialah mengkaji dan memahami manusia, masyarakat dan budaya, khususnya corak kehidupan manusia dan berbagai fenomena sosial yang berkaitan dengan kehidupan manusia
-          Satu ciri utama fenomena sosial ialah sifat kolektifnya (the collective character of social phenomena)
-          Fenomena sosial dikatakan bersifat kolektif kerana fenomena sosial adalah berkenaan dengan kehidupan kelompok-kelompok manusia (human groups and collectivities), khususnya, segala aspek yang berkenaan dengannya (Duverger, 1961, hlm. 24-26)
-          Oleh itu, kuliah ini bertujuan untuk memperkenalkan beberapa konsep asas yang menerangkan sifat kolektif fenomena-fenomena sosial – konsep-konsep itu berperanan sebagai alat analitikal (analytical tools) untuk kajian fenomena sosial
-          Konsep - ialah perkataan atau beberapa perkataan yang menerangkan satu idea umum
                        (generalised notion) mengenai sifat sesuatu benda, kejadian atau fenomena,
                        atau tentang hubungan di antara fenomena-fenomena. Konsep merupakan satu
                        cara untuk mengaturkan berbagai jenis fenomena empiri. Ia berperanan
penting dalam proses menghasilkan generalisasi dan membina teori (lihat Ting, 1979, hlm. 70)
-          Konsep-konsep tersebut ialah masyarakat, komuniti, budaya dan kebudayaan,  sistem sosial, struktur sosial, peranan sosial, institusi sosial, dan organisasi sosial
-          Di samping itu, ada konsep-konsep lain yang menerangkan proses-proses yang dialami oleh kelompok manusia semasa perkembangan kehidupan mereka – di antara proses-proses itu ialah sosialisasi, mobiliti sosial, konflik sosial, stratifikasi sosial, perubahan sosial, perubahan budaya dan interaksi sosial

Sifat kolektif kehidupan manusia

1)      Masyarakat
o   Menurut Giddens (1989, hlm. 32), masyarakat ialah sekelompok besar manusia yang hidup saling berhubungan dan saling bergantungan berasaskan kepada satu budaya tertentu, semua ahli dalam kelompok manusia itu dikatakan mempunyai dan mengamalkan satu budaya yang sama, atau dalam kata lain, ia adalah satu “system of interrelationships which connects together the individuals who share a common culture”.
o   Masyarakat dibezakan dari komuniti dari segi jenis hubungan sosial yang diamalkan oleh Ferdinand Tonnies -  kemuka dua konsep untuk membezakan konsep masyarakat dari konsep komuniti, iaitu “gemeinschaft” and “gesellschaft” – namun, kedua bentuk ini hanyalah ideal-type constructs – namun, kedua bentuk ini merujuk kepada dua jenis utama masyarakat dan susunan sosial, dan juga merujuk kepada hubungan-hubungan sosial yang berkaitan dengan jenis-jenis masyarakat tersebut (Ting, 1979, hlm. 66)

o   Kelompok manusia yang mempunyai hubungan sosial yang lebih specific, impersonal dan instrumental; hubungan yang lebih bersifat secondary dan hanya melibatkan sebahagian dari individu dalam kelompok manusia berkenan, ada ikatan sosial yang lebih bercorak sukarela, contractual dan berdasarkan kepada kepentingan diri sendiri (ibid.) – kelompok itu digelar “gesellschaft” atau masyarakat


2)      Komuniti
o   Ialah sekelompok manusia yang umumnya lebih kecil yang mana kebanyakannya ahli-ahlinya berinteraksi secara langsung
o   Kelompok manusia yang mempunyai hubungan sosial yang bersifat primary yang rapat dan bersemuka; hubungan yang berasaskan kepada ikatan kekeluargaan dan ikatan persahabatan yang rapat – kelompok itu digelar “gemeinschaft” atau komuniti (Ting, 1979, hal. 66)
o   Pada umumnya, gemeinschaft merujuk kepada masyarakat pra-industri, dan gesellschaft merujuk kepada masyarakat yang telah mengalami proses perindustrian, oleh itu, peralihan daripada gemeinschaft ke gesellschaft selalunya dikaitkan dengan proses perindustrian



3)      Budaya dan kebudayaan
o   Ahli-ahli dalam kelompok manusia itu mempunyai dan mengamalkan budaya yang tertentu dan khusus kepada kelompok itu
o   Ringkasnya, budaya bermaksud segala aspek cara hidup sesuatu kelompok manusia
o   Mengikut Hunt dan Colander (1993, hlm. 110), budaya ialah “the total pattern of human behaviour and its products embodied in thought, speech, action, and artefacts and dependent on the capacity for learning through the use of tools, language, and systems of abstract thought”
o   Budaya juga bererti semua nilai, norma dan kebendaan yang mencirikan sesuatu kelompok atau masyarakat, atau mengikut Giddens (1989, hlm. 725), ia adalah  “the values, norms, and material goods characteristic of a given group”
o   Bagi beliau, “no culture could exist without a society.But equally, no society could exist without a culture” (Giddens, 1989, hlm. 32)
o   Budaya ialah satu konsep yang sering digunakan dalam sains sosial, terutamanya dalam sosiologi dan antropologi (ibid.)
o   Bagi ahli antropologis Edward Tylor (1871), aspek-aspek budaya termasuk ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, kesusilaan, undang-undang, adat resam dan kebolehan dan kebiasaan yang diperolehi anggota-anggota dalam masyarakat itu  
o   Cara hidup itu diwarisi manusia dari satu generasi ke generasi yang lain melalui proses pembelajaran (Ting, 1979, hlm. 52) 
o   Oleh itu, definisi budaya merangkumi aspek kebendaan dan aspek bukan kebendaan
o   Aspek kebendaan atau “artifact” ialah apa saja ciptaan manusia yang mempunyai  bentuk-bentuk tertentu seperti alat kesenian, senjata memburu, perkakas memasak, bentuk rumah, kenderaan dan lain lain
o   Manakala aspek bukan kebendaan merangkumi segala ciptaan manusia yang berbentuk abstrak seperti kepercayaan, adat resam, undang-undang dan sebagainya.
o   Setiap masyarakat mempunyai kebudayaan; akan tetapi kebudayaan sesuatu masyarakat berbeza dengan kebudayaan masyarakat lain.
o   Namun begitu, terdapat persamaan kebudayaan di antara masyarakat-masyarakat itu segi bahasa, objek kebendaan, amalan agama, sistem kekeluargaan, nilai, kesenian
o   Dalam kata lain, setiap masyarakat akan mempunyai ciri-ciri kebudayaan yang dianggap ciri kebudayaan sejagat atau pola kebudayaan sejagat (universal pattern of culture) (ibid.). 


4)      Sistem sosial
o   Sesuatu kelompok manusia, samada masyarakat atau komuniti, juga boleh dianggap satu sistem sosial apabila kelompok manusia atau masyarakat itu mempunyai pelbagai rol sosial yang dimainkan oleh ahli-ahli masyarakat dan yang membenarkan mereka berinteraksi atas dasar nilai, norma dan matlamat yang sama (Ting, 1979, hlm. 118)
o   Satu sistem sosial boleh mengandungi sekurang-kurangnya dua rol sosial yang berinteraksi (e.g. suami dan isteri), atau banyak rol sosial 
o   Umumnya, ahli-ahli dalam sesuatu masyarakat atau komuniti boleh memainkan beberapa rol sosial pada masa yang sama


5)      Peranan sosial (rol sosial/social role)
o   Khususnya, peranan atau rol (role) sosial bermaksud satu pola kelakuan jangkaan (expected behaviour) yang berkaitan dengan status atau kedudukan sosial seseorang dalam sesuatu kelompok manusia, cthnya, pelajar, pensyarah, ibu, bapa, anak, doktor, pembantu rumah, dsb semuanya mempunyai rol-rol sosial yang tertentu dan dijangkakan (Ting, 1979, hlm. 111-112)
o   Pendeknya, rol sosial ialah kelakuan yang dijangkakan
o   Oleh itu, rol sosial berkait dengan status atau kedudukan dalam masyarakat atau kelompok manusia
o   Rol sosial hanya kelakuan yang dijangkakan dan tidak semestinya diterima oleh semua anggota masyarakat (ibid.)
o   Setiap individu dalam masyarakat mempunyai banyak status dan memainkan rol sosial yang berlainan (multiple roles) pada masa yang sama
o   Konflik rol berlaku apabila wujud pertentangan di antara dua atau lebih rol yang dimainkan oleh seseorang individu

6)      Struktur sosial
o   Para pengkaji sains sosial boleh mengkaji sesuatu kelompok manusia dengan melihat kelompok itu dibentuk oleh pelbagai struktur sosial
o   Struktur sosial merujuk kepada penyusunan unsur-unsur, atau unit-unit (cth. sub-sistem, jenis organisasi dan institusi) dalam masyarakat atau kelompok manusia berkenaan (Ting, 1879, hlm, 125)
o   Jadi, umumnya, struktur sosial adalah berkenaan dengan susunlapis dalam masyarakat, atau bentuk masyarakat
o   Unsur-unsur yang disusun itu boleh dilihat sebagai rol-rol atau peranan-peranan sosial, atau kedudukan-kedudukan - jadi, struktur sosial boleh dilihat sebagai susunan rol-rol atau peranan sosial, atau kedudukan-kedudukan
o   Rol-rol atau kedudukan-kedudukan itu disusun mengikut kuasa, kekayaan dan status (darjat), dsb. - sebagai contohnya, dalam struktur sosial kekeluargaan itu, terdapat susunan yang berasaskan status-status seperti peranan yang dimainkan oleh seorang ibu, bapa, anak, anak saudara, bapa saudara dan sebagainya, atau dalam struktur mana-mana organisasi swasta atau awam, susunan berasaskan kedudukan seperti pengarah, eksekutif, akauntan, pengurus, kerani dsb.
o   Oleh itu, ada struktur formal dan struktur informal
o   Struktur formal ialah struktur yang berasaskan kedudukan formal dalam organisasi, katakan kedudukan dan pangkat dalam sesebuah organisasi – struktur ini boleh dilihat seperti carta struktur organisasi, dsb.
o   Manakala struktur informal ialah struktur yang berasaskan kepada hubungan bersifat informal atau peribadi, iaitu hubungan kekeluargaan dan kekerabatan, perkahwinan, persahabatan, hubungan persekolahan (school ties), dan sebagainya
o   Ide seterusnya mengenai struktur sosial ialah rol-rol itu berhubungan dan membentuk rangkaian hubungan sosial dalam masyarakat itu – jadi, struktur sosial juga merujuk kepada elemen-elemen yang saling berkait dan tersusun dalam sesuatu kelompok manusia atau masyarakat (Marshall, 1996, hlm. 517).
o   Rangkaian hubungan itu sebenarnya memperlihatkan pola-pola tingkah-laku tertentu yang teratur, berkekalan dan stabil (Ting, 1979, hlm. 124-125)
o   Oleh itu, pendeknya, satu lagi ide penting mengenai struktur sosial ialah ia dilihat sebagai satu rangkaian kompleks hubungan sosial yang diwujudkan oleh anggota-anggota sesuatu masyarakat yang menduduki kedudukan tertentu dan memainkan peranan-peranan atau rol sosial tertentu dalam masyarakat atau kelompok manusia berkenaan (patterned relationships among parts of human society) (Freeman, 1989, hlm 12, lihat juga Norazit Selat, 1989, hlm. 166-167)  - pandangan ini dikemukakan oleh ahli antropologis A.R. Radcliffe-Brown
o   Ada orang, umpamanya Raymond Firth (1951), berpandangan struktur sosial adalah sesuatu yang bukan jitu atau konkrit dan tidak dapat dilihat, tetapi suatu model masyarakat dan alat analitikal (analytical tool) yang dibina atau diwujudkan oleh para pengkaji untuk tujuan kajian masyarakat berkenaan, jadi struktur sosial adalah analytical construct pada pandangan setengah pengkaji – struktur informal biasanya adalah analytical construct kerana struktur jaringan sosial hanya boleh dibina dan dikaji dengan teliti oleh pengkaji dalam usaha kajian mereka
o   Konsep dan idea struktur sosial berguna dalam kajian masyarakat kerana ia secara sistematiknya dapat memberi gambaran yang lebih jelas mengenai keadaan masyarakat yang dikaji, seperti mengenai pola-pola tingkah laku manusia dalam kehidupan sosial mereka.

7)      Institusi sosial
o   Dalam sesuatu kelompok manusia, masyarakat atau komuniti, terdapat cabang-cabang kehidupan utama di mana setiap cabang mempunyai tradisi, nilai, peraturan dan adat resam mereka yang tersendirinya.
o   Cabang-cabang kehidupan itu digelar institusi-institusi sosial
o   Terdapat banyak jenis institusi sosial dalam masyarakat, di antaranya ialah institusi ekonomi, institusi politik dan pemerintahan, institusi perkahwinan, institusi keluarga dan kekerabatan, insitusi agama dan kepercayaan, institusi pendidikan, institusi undang-undang dan sistem keadilan, institusi pertahanan, institusi perubatan dan kesihatan
o   Tradisi, peraturan dan adat resam dalam setiap jenis institusi sosial mempengaruhi perlakuan dan proses interaksi anggota masyarakat secara umumnya, dan khususnya ahli-ahli masyarakat yang berkaitan dengan insitusi sosial yang berkenaan – pengaruh itu kelihatan ketika ahli-ahli masyarakat itu melakukan kegiatan secara berorganisasi dan menentukan rol (peranan dalam masyarakat) dan kedudukan mereka dalam sistem susunlapisnya dalam institusi berkenaan khususnya, dan dalam masyarakat umumnya.
o   Oleh itu, pendeknya, satu institusi sosial bermaksud suatu sistem (cabang) yang menunjukkan peranan sosial (atau rol sosial) dan norma tertentu yang saling berkait yang telah disusun untuk memenuhi kehendak atau fungsi sosial tertentu (Norazit Selat, 1989, hlm. 51).
o   Dalam setiap jenis institusi sosial ada norma-norma dan nilai sosial tersendiri - misalnya, dalam institusi politik, terdapat norma-norma sosial yang menentukan tingkah laku yang diterima bagi peranan seorang perdana menteri, ahli dewan rakyat, pihak pembangkang dan lain-lain orang yang terlibat dalam perhubungan politik itu
o   Mengikut Abdul Halin Hamid (2003, hlm. 3), institusi sosial merujuk kepada prosedur kelompok “menyediakan peraturan perjalanan masyarakat”.
o   Beliau juga berpendapat prosedur kelompok itu adalah “tatacara atau kaedah yang diterima oleh ahli masyarakat sebagai sesuatu yang wajar, sah dan mantap dalam melakukan sesuatu” (Abdul Halin Hamid, 2003, hlm. 3)
o   Sesuatu institusi sosial juga berkait rapat dengan institusi-institusi sosial lain, sebagai contohnya, institusi pendidikan berkaitan dengan insitusi politik, keluarga, undang-undang dan sebagainya – pihak-pihak yang terlibat ialah pihak kerajaan, keluarga para penuntut, undang-undang mengenai sistem pendidikan dan sebagainya.
o   Dalam setiap institusi, ada pelbagai jenis organisasi-organisasi sosial

8)      Organisasi sosial
o   Anggota-anggota dalam kelompok manusia, samada masyarakat atau komuniti, menubuhkan berbagai organisasi sosial
o   Organisasi sosial ialah perkumpulan jitu anggota-anggota suatu masyarakat
o   Organisasi sosial juga mengambarkan proses bagaimana anggota-anggota masyarakat berinteraksi
o   Pendeknya, organisasi sosial ialah perkumpulan manusia yang jitu dan tersusun, dan berasaskan proses interaksi dan aktiviti yang tertentu yang juga jitu dan disusun mengikut susunan yang saling berkait (lihat Norazit Selat, 1989, hlm. 107)
o   Proses perkumpulan dan interaksi berasaskan kepada struktur rol dan kedudukan yang sedia ada dan yang bersesuaian dengan aturan dan kehendak yang ditetapkan oleh institusi-institusi sosial yang terdapat di masyarakat berkenaan.
o   Mengikut Raymond Firth, organisasi sosial juga boleh dilihat sebagai susunan kerja sesuatu masyarakat.
o   Organisasi sosial mempunyai matlamat-matlamat yang secara sosialnya telah pun ditentukan, cth organisasi sosial ialah organisasi-organisasi yang diwujudkan khas di Malaysia seperti BAKTI, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Yayasan Pencegah Jenayah Malaysia dan sebagainya.


9)      Norma sosial
o   Norma-norma sosial iaitu peraturan-peraturan yang menentukan tingkah-laku manusia dalam sesuatu kelompok manusia, tidak kira masyarakat ataupun komuniti (Giddens, 1989, hlm. 728)
o   Peraturan-peraturan itu samada boleh membenarkan sesuatu tingkah-laku atau melarang tingkah-laku itu (ibid.)
o   Manusia dalam masyarakat berkenaan mematuhi norma-norma sosial yang terdapat dalam masyarakatnya, dan ketidakpatuhan pada norma-norma itu akan mengakibatkan orang yang berkenaan dikenakan “informal disapproval” ataupun dihukum secara formal iaitu hukuman bersifat fizikal  (ibid.)

10)  Nilai
o   Nilai-nilai sosial ialah ide-ide yang dipegang oleh individu dalam kelompok manusia itu yang berkenaan dengan perkara yang dianggap sempurna, baik atau tidak baik (Giddens, 1989, hlm. 732)
o   Nilai yang berbeza-beza mengambarkan kebudayaan yang berbeza-beza
o   Nilai seseorang individu dipengaruhi kuat oleh kebudayaan mereka

Proses-proses yang dialami dalam perkembangan kehidupan kelompok manusia

1)      Sosialisasi (socialisation)
o   Sosialisasi ialah proses yang membentuk personaliti setiap anggota dalam sesuatu kelompok manusia supaya mereka boleh menyesuaikan diri dan menjadi ahli kelompok manusia atau masyarakat itu (Hunt dan Colander, 1993, hlm. 110)


2)      Interaksi sosial (social interaction)
o   Ahli-ahli dalam kelompok manusia itu terlibat dalam interaksi, dalam kata lain, mereka berinteraksi sesama sendiri
o   Interaksi ialah proses yang melibatkan dua atau lebih individu dalam sesuatu kelompok manusia atau masyarakat
o   Ia melibatkan tindakan saling balas-membalas tingkah laku seseorang individu terhadap individu lain dan seterusnya saling memperngaruhi di antara satu dengan yang lain (Ting, 1979, hlm. 40-41)
o   Dalam interaksi, saling jangkaan (mutual expectation) wujud di kalangan ahli-ahli yang terlibat
o   Saling jangkaan melibatkan proses mengagak atau meramalkan tingkah laku yang bakal dilakukan, dan selanjutnya proses penyesuaian tingkah laku berasaskan jangkaan yang telah dibuat (ibid.)
o   Pola saling-jangkaan itu lama-kelamaan menjadi norma yang akan diterima oleh individu-individu berkenaan untuk menentukan keadaan interaksi mereka pada masa tertentu atau masa yang akan datang (ibid.)
o   Interaksi sosial juga melibatkan alat komunikasi, sebagai contohnya bahasa dan simbol, untuk membolehkan proses tukar-menukar makna dan buah fikiran di antara individu-individu yang terlibat
o   Kelompok manusia atau masyarakat boleh dikaji dan difahami dari segi norma-norma sosial, peraturan-peraturan, perbezaan kebolehan, status dan kuasa yang terdapat dalam interaksi di kalangan anggota kelompok manusia atau masyarakat yang berkenaan.  

3)      Perubahan budaya (cultural change)
o   Sesuatu kelompok manusia ada mengalami perubahan budaya
o   Perubahan budaya bermaksud perubahan pada aspek-aspek sesuatu budaya yang diamalkan oleh sesuatu kelompok manusia (Giddens, 1989)
o   Perubahan budaya dikatakan berlaku apabila terbentuk cara pembelajaran yang baru, dimensi sains yang baru, alat teknologi yang baru, dan lain-lain.
o   Elemen asas dalam perubahan budaya ialah rekaan dan difusi (Norazit Selat, 1989, hlm. 136)


4)      Perubahan sosial (social change)
o   Kelompok manusia itu juga akan mengalami perubahan yang lebih luas iaitu perubahan sosial
o   Perubahan sosial itu boleh berlaku dalam sistem demografi, sistem ekonomi, sistem persanakan, sistem politik, sistem kepercayaan dan lain-lain
o   Perubahan-perubahan itu mempunyai kesan ke atas struktur-struktur sosial yang sedia ada dan asas dalam masyarakat itu, iaitu struktur sosial yang dibentuk dari hubungan sosial dalam masyarakat berkenaan (Giddens, 1989, hlm. 730)
o   Oleh itu, perubahan sosial juga boleh dilihat melalui perubahan dari segi hubungan sosial dan tingkah-laku sosial yang sedia ada, seperti dalam kehidupan keluarga, ekonomi atau agama (Ting, 1979, hlm. 99)
o   Perubahan sosial itu ialah perubahan yang berlaku dalam sistem sosial yang lebih besar dan bukan perubahan yang kecil yang berlaku dalam sesuatu kelompok manusia yang kecil 
o   Apabila berlakunya perubahan sosial, manusia dalam kelompok itu akan menghadapi sesuatu keadaan yang baru dan harus bertindak untuk menangani keadaan tersebut 
o   Perubahan sosial ialah satu fenomena yang biasa dalam kehidupan kelompok manusia, samada masyarakat atau komuniti


5)      Stratifikasi sosial
o   Terdapat proses pembezaan di kalangan individu-individu di dalam sesuatu kelompok manusia
o   Pembezaan itu adalah dari segi keistimewaan yang berbeza-beza dan peluang hidup yang berbeza-beza (life chances yang meliputi peluang untuk mencapai matlamat tertentu, peluang untuk menikmati kemudahan sosial dsb.) yang berlainan, khususnya kedudukan atau status yang berbeza-beza
o   Setiap golongan dalam lapisan yang berlainan mempunyai keistimewaan dan peluang hidup yang berlainan, dalam kata lain, kedudukan yang berbeza-beza
o   Proses pembezaan itu dikenali sebagai stratifikasi sosial
o   Stratifikasi sosial itu menyebabkan wujudnya satu hierarki yang terdiri daripada pelbagai lapisan atau strata yang berlainan kedudukannya – pada asasnya, golongan dalam lapisan-lapisan itu memperlihatkan keistimewaan yang berbeza-beza dan peluang hidup (Ting, 1979, hlm. 123-124)
o   Umumnya, stratifikasi sosial adalah hasil daripada interaksi sosial dan merupakan suatu fenomena sosial yang agak meluas dalam semua masyarakat
o   Faktor-faktor yang menentukan kedudukan seseorang individu dalam sistem stratifikasi seperti faktor ekonomi, sosial, politik, ras dan kebudayaan – khususnya, peranan politik, peranan tentera, agama, keturunan, perkahwinan, pendidikan, peranan ekonomi, pekerjaan atau profesion, sifat-sifat peribadi, pencapaian, kedudukan ekonomi, benda-benda yang dimiliki (seperti harta), kewibawaan dan kuasa dan kegiatan komuniti (ibid.). 
o   Pada asasnya, semua stratifikasi melibatkan unsur ketidaksamaan (inequality) dalam kelompok manusia atau masyarakat
o   Ada beberapa bentuk stratifikasi, di antara bentuk yang paling asas ialah sistem kasta dan kelas

6)      Kelas sosial
o   Penggunaan konsep ini dihuraikan berasaskan tulisan dua tokoh klasik, Karl Marx dan Max Weber
o   Mengikut Marx, kelas sosial ialah kategori individu yang mempunyai hubungan yang sama terhadap punca-punca pengeluaran (means of production) dan juga hubungan pengeluaran seperti sistem pengagihan dan pertukaran – ada dua kelas manusia utama dan bertentangan dalam masyarakat kapitalis, satu ialah kelas bourjuis (pemodal atau kapitalis) dan kedua, kelas proletariat (pekerja) - pemodal memiliki punca-punca pengeluaran, pengagihan dan pertukaran dan menindas golongan proletariat yang tidak memiliki apa-apa selain daripada tenaga kerja (Ting, 1979, hlm. 55) – pendeknya, kedua kelas ini wujud akibat proses pengeluaran
o   Weber juga berkongi pendapat dengan Marx mengenai pentingnya faktor ekonomi sebagai penentu pengkelasan sosial, akan tetapi, Weber mempunyai pendapat yang agak berbeza dari Marx
o   Mengikut Weber, selain proses pengeluaran, kelas sosial juga boleh wujud di pasaran (market) akibat peluang-peluang hidup atau life chances yang berbeza-beza (iaitu peluang hidup untuk mencapai matlamat tertentu dan menikmati kemudahan sosial dsb. yang ditentukan oleh taraf pendidikan, kekayaan, kemahiran dan pengalaman, status sosial, dll.).
o   Sistem kelas bukan sahaja dilihat dari segi golongan yang menindas dan golongan yang ditindas, atau golongan yang memerintah dan golongan yang diperintah, ada pengkaji berpendapat wujudnya tiga kelas utama dalam masyarakat iaitu golongan atasan, golongan menengah dan golongan bawahan


7)      Mobiliti Sosial (Social mobility)
o   Sistem stratifikasi sosial yang terdapat dalam sesuatu kelompok manusia boleh berpunca dari mobiliti sosial
o   Mobiliti sosial iaitu satu proses perubahan individu atau kelompok daripada satu lapisan sosial kepada lapisan sosial yang lain dalam satu sistem stratifikasi sosial (Ting, 1979, hlm. 82)
o   Ia adalah satu fenomena sosial yang kompleks yang terdiri daripada beberapa dimensi
o   Satu dimensi ialah melihat dari segi arah – iaitu mobiliti boleh bercorak mendatar atau menegak – mobiliti mendatar ialah perubahan kedudukan sosial seseorang dalam kelas sosialnya tanpa tanpa perubahan dari segi hierarki prestij dan jenis kelas sosialnya, cthnya, pertukaran pekerjaan dari yang bersifat separuh mahir ke mahir, mobiliti menegak ialah perubahan di antara kelas-kelas sosial atau status sesuatu masyarakat, samada dari yang ke atas atau ke bawah, yang melibatkan kenaikan atau penurunan status atau martabat seseorang individu (Ting, 1979, hlm. 82-83)
o   Satu lagi dimensi ialah melihat dari segi masa – iaitu dengan melihat mobiliti sosial samada yang berlaku dalam satu generasi tertentu atau daripada satu generasi ke generasi yang lain, cthnya mobiliti yang dilalui oleh seorang individu sepanjang hayatnya, misalnya dari satu pekerjaan ke pekerjaan lain, atau mobiliti dari segi perubahan jenis kerja di antara anak dengan ayah, yang melibatkan kelas sosial atau martabat mereka, seperti seorang anak petani menjadi pensyarah (ibid.)

8)      Konflik sosial (Social conflict)
o   Konflik sosial adalah salah satu proses sosial yang dialami atau mungkin dialami oleh anggota-anggota dalam sesuatu kelompok manusia
o   Konflik ialah pertentangan secara langsung dan sedar di antara individu atau kelompok untuk mencapai matlamat bersama (Ting, 1979, hlm. 67)
o   Dalam proses itu, pihak lawan yang terlibat perlu ditewaskan terlebih dahulu, dan penewasan ialah pencapaian matlamat
o   Terdapat pandangan yang berbeza-beza tentang kepentingan konflik sosial dalam perkembangan sesuatu kelompok atau masyarakat
o   Umpamanya menurut Lewis Coser, konflik adalah perkara normal yang tidak boleh dielakkan, dan ia tidak semestinya memusnahkan tetapi berfungi positif iaitu ia dapat menwujudkan harmoni dan integrasi sosial, oleh itu, konflik tidak semestinya memecah-belahkan sistem sosial (Ting, 1979, hlm. 68)
o   Pandangan lain mengatakan konflik sosial tidak semestinya menwujudkan kestabilan tetapi sebaliknya mungkin mengancam kestabilan sesuatu sistem sosial

Click ads for your tq




1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...