Pengenalan
Dewasa ini, acapkali kita mendengar sebuah ungkapan iaitu globalisasi. Malah, perkataan ini juga seringkali tertera di kaca televisyen mahupun di dada-dada surat khabar. Namun, pernahkah anda cuba memahami apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan globalisasi. Pernahkah anda membuka kamus untuk merungkai sebuah istilah yang ringkas itu? Jika tidak, ini wadahnya sebagai tatapan, renungan, dan santapan minda anda.
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (1998), edisi ketiga, globalisasi didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Menurut ahli fikir dan cendiakawan barat pula, globalisasi boleh dirumuskan sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik,sosial, dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh manusia di dunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan. Timbul pula persoalan di fikiran kita tentang dunia tanpa sempadan. Apa itu dunia tanpa sempadan? Dunia tanpa bersempadan bermaksud tiada lagi batasan ataupun pagar antara sebuah negara dengan negara yang lain dari segi kemasukan informasi dan maklumat. Dalam dunia serba canggih ini, penapisan maklumat hampir mustahil dilaksanakan.
Secara keseluruhannya, globalisasi membawa maksud dunia ini semakin dikecilkan ruangnya daripada yang asal. Jika dahulu, dunia ini seluas saujana mata memandang dan dipagari dengan sempadan, namun kini ia tidak berlaku lagi. Perhubungan antara manusia tidak lagi terbatas. Malah, rakyat dari Malaysia mampu berkomunikasi dengan rakyat dari seluruh dunia dengan cepat dan mudah malah dengan kos yang minimum. Dunia bukan sahaja tidak bersempadan geografi tetapi pengaruh globalisasi menjangkau ke segenap aspek kehidupan sesebuah masyarakat seperti ekonomi, teknologi, bahasa, seni kebudayaan, ideologi, sosial mahupun politik. Ledakan teknologi maklumat yang pesat merupakan medium utama kepada agenda globalisasi ini berkembang dengan pantas.
Malaysia juga turut terjebak ke dalam kancah globalisasi ini. Oleh itu, pelbagai langkah diambil untuk memperkasakan negara dalam dunia penuh informasi dan persaingan. Kerajaan Malaysia memberi keutamaan kepada globalisasi ekonomi. Selain itu, pihak kerajaan juga memberi perhatian kepada globalisasi teknologi maklumat. Kesungguhan kerajaan dalam menangani masalah globalisasi ini jelas kelihatan pada pelbagai bentuk wacana di peringkat nasional dan peringkat antarabangsa seperti dialog, seminar, persidangan, dan forum serta penubuhan berbagai-bagai jenis institusi dan projek. Koridor Raya Multimedia (MSC) adalah simbol harapan serta kemegahan Malaysia dalam menyahut panggilan globalisasi.
Globalisasi: Politik
Dalam,kamus politik didefinisikan sebagai ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan pemerintahan seperti dasar pemerintahan dan sebagainya yang meliputi ilmu siasah,kenegaraan,parti politik,ahli politik dan tipu muslihat (Mustafa,2003) Dalam era globalisasi politik dunia memasuki fasa baru. Konflik dunia yang berlaku hari ini banyak bergantung kepada konflik politik global. Kita dapat menyaksikan kemelut kemanusiaan pada saat yang paling kritikal dan tragis. Pembersihan etnik di Kosovo,kemelut pencemaran alam,penaklukan America ke atas Iraq,perang saudara yang terus menerus dan pelanggaran hak asasi manusia adalah merupakan mainan pengaruh politik kuasa-kuasa besar dunia.
Kekuasaan barat berada pada puncak yang luar biasa dalam hubungannya dengan peradaban lain. Lawan ‘super powernya’ telah lenyap dari dunia. Kekuatan tenteranya tidak dapat ditandingi. Ia mendominasi lembaga-lembaga politik dan keamanan internasional. Masalah-masalah politik dan keamanan global secara efektifnya dikuasai oleh Amerika,Inggeris dan Perancis. Keputusan Dewan Keamanan PBB yang mencerminkan kepentingan Barat di kemukakan sebagai cerminan dari keinginan masyarakat dunia. Dominasi barat atau Dewan Keamanan PBB serta keputusannnya hanya sekali sekala diganggu oleh Cina yang ternyata tidak memberi kesan seperti yang sepatutnya. Amerika masih Berjaya memujuk Dewan Keamanan PBB menuntut Libya menyerahkan orang-orang yang dicurigai melakukan pengeboman Pan Am 103 dan menguatkuasakan serangan ke atas Iraq. Idea Barat tentang individualism,libralisme,pemerintaha berdasarkan hukum, demokrasi, pasaran bebas, pemerintahan diasingkan daripada gereja akhirnya telah tercipta imperialis terhadap hak-hak asasi manusia dan reafirmasi nilai-nilai masyarakat setempat.
Pemimpin Turki dihujung abad ke 20 telah mengikuti tradisi Kamal Atatturk serta mendifinasikan semula Turki sebagai Negara sekular dan Turki disatukan dengan barat dalam perjanjian NATO serta Perang Teluk. Politik sekular Barat telah berkembang tanpa dibatasi atas nama negara moden. Idea-idea masyarakat dunia telah dijajah yang akhirnya berlaku kolonialisme bentuk baru.
Seacara tidak langsung fenomena globalisasi dari segi politik bertujuan supaya semua Negara di dunia tunduk dengan keadilan yang ditaja oleh Amerika dan sekutunya Israel. Mereka melihat dunia dan pertimbangan nilai-nilai mereka melalui syiar yang dinamakan ‘hak asasi manusia’ yang mengikut kepentingan dan rentak mereka. Maka disini mereka namakan saja sistem yang dilakukan oleh negara-negara yang lemah sebagai penyelewengan,terrorism dan kemusnahan. Pada masa yang sama keganasan dan penyelewengan Amerika dan sekutunya merentap hak-hak dan kebebasan sebahagian Negara lain dengan megah seperti yang berlaku di Iraq dan Afghanistan. Amerika meletakkan dirinya sebagai polis dunia dan juga sebagai hakim keadilan tetapi pada masa yang sama ia menjadi pembekal senjata yang lengkap dan canggih termasuklah senjata nuclear kepada Israel untuk menghadapi rakyat Palestin yang tidak mempunyai apa-apa.
Globalisasi: Seni Kebudayaan dan Bahasa
Setiap negara bangsa mempunyai identiti mereka yang tersendiri. Dalam kata mudahnya ialah seni kebudayaan dan bahasa. Aspek ini amat penting untuk diperbincangkan kerana ia melambangkan jati diri sesebuah negara ataupun bangsa. Tertebarnya sayap globalisasi yang kian meluas ini turut mempengaruhi perkembangan seni kebudayaan dan bahasa. Kemusnahan nilai-nilai seni dan bahasa juga tidak kurang hebatnya. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan seni kebudayaan dan bahasa? Seni kebudayaan (Kamus Dewan dan Pustaka edisi ketiga 1998) adalah keindahan tatacara amalan sesebuah bangsa atau kaum seperti seni tarian, seni muzik, seni mempertahankan diri dan senibina. Bahasa (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ketiga 1998) pula digunakan sebagai medium untuk berkomunikasi dan berinteraksi dalam sesebuah masyarakat ataupun bangsa. Maka jelaslah di sini bahawa, kedua-dua aspek ini amat penting dalam membina sebuah tamadun yang disegani seluruh dunia. Bak kata pujangga, “Bahasa Jiwa Bangsa”. Dewasa ini, globalisasi telah menghantui setiap pelosok atau ceruk mana sekalipun di atas muka bumi ini. Dalam paparan ringkas ini, kami berharap anda mendapat informasi mengenai globalisasi dalam seni kebudayaan dan bahasa.
Globalisasi telah meluaskan jajahannya sejak zaman dahulu lagi. Persoalannya, adakah kita sedar ataupun tidak. Ini dapat dilihat dari pengkajian sejarah seni terutamanya seni arca. Tahukah anda bahawa seni arca Roman banyak dipengaruhi oleh seni arca Greek Purba? Dan tahukah anda, catan Van Gogh banyak mendapat pengaruh cetakan kayu Ukiyo-E Jepun? Malah, apabila berlakunya penjajahan sesebuah negara oleh negara yang kuat, sedikit sebanyak turut mempengaruhi dan menghakis jati diri serta unsur-unsur seni kebudayaan dan bahasa bangsa negara yang dijajah. Tanpa disedari, negara yang dijajah pula menyerap unsur-unsur yang dibawa oleh penjajah. Inilah yang dikatakan sebagai globalisasi secara tidak langsung dan kita sendiri tidak menyedarinya.
“Segala maklumat di hujung jari”. Begitulah ungkapan yang boleh disinonimkan dengan dunia kini. Maka sejajar dengan perkembangan ini, seni kebudayaan dan bahasa turut tidak ketinggalan mengorak langkah meletakkan aspek ini di peringkat global. Dengan adanya kecanggihan teknologi maklumat, semua negara dapat memasarkan produk seni kebudayaan mereka di peringkat antarabangsa. Sebagai contohnya, Tarian Zapin ataupun Caklempong dapat diketengahkan hanya dengan menggunakan alat teknologi masa kini. Oleh itu, seluruh manusia yang berada di atas muka bumi ini dapat mengetahui keunikkan seni Tarian Zapin dan seni muzik Caklempong warisan negara kita. Dan apabila kedua-dua seni ini diterima oleh masyarakat global, ia menjadi aset utama negara kita dalam sektor ekonomi. Contohnya, kita berpeluang mengadakan persembahan di luar negara dan para pelancong luar negara sendiri datang ke negara kita untuk menyaksikan keindahan dan kehalusan seni budaya kita. Secara tidak lansung, industri pelancongan negara kita berkembang dan menjadi penyumbang ekonomi negara kita.
Selain itu, dengan adanya globalisasi, segala urusan dapat dilakukan dengan mudah dan pantas. Di samping itu, produk yang dihasilkan adalah berkualiti tinggi. Sebagai contohnya, dahulu industri muzik negara kita hanya menggunakan cara manual dalam menghasilkan sesuatu hasil seni. Tetapi kini, kita mampu menghasilkan produk yang sangat berkualiti yang setanding produk buatan barat dengan menggunakan sedikit tenaga manusia dan lebih cepat. Sebagai contoh, dalam pembikinan sesebuah filem ataupun drama televisyen, kita hanya perlukan beberapa pembantu dalan menyiapkan sesuatu babak jika dibandingkan dengan dua puluh tahun dahulu. Malah ia mengambil masa yang singkat seperti filem Sepet yang dapat disempurnakan dalam masa dua minggu dan tidak hairanlah jika filem ini diisytiharkan sebagai filem terbaik tahun 2004 pada Festival Filem Malaysia. Filem lagenda negara kita iaitu Puteri Gunung Ledang (The Princess of Ledang) yang memaparkan keunikkan seni budaya masyarakat Melayu adalah filem yang sangat berkualiti sehinggakan mendapat kedudukan sepuluh teratas filem terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik di Perancis pada tahun 2004. Ternyata bahawa, dengan adanya teknologi maklumat yang serba canggih, kita mampu memasarkan seni budaya kita di peringkat global.
Selain itu, dengan adanya peralatan moden ini, industri seni suara Malaysia turut berkembang pesat. Dari sudut positifnya, ia memberikan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia di samping dapat melahirkan insan-insan berbakat seterusnya mampu menjana kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Muktahir ini, Malaysia di hujani dengan pelbagai program realiti TV terutama yang berkonsepkan ingin melahirkan seorang bintang. Contohnya, juara Malaysian idol pertama, Jaclyn Victor kini dalam persediaan membawa nama Malaysia ke persada pentas dunia. Harapan Menteri Kebudayaan dan Kesenian Malaysia agar Jaclyn Victor berjaya membawa keunikkan budaya kita ke peringkat antarabangsa. Sedarkah anda, apabila berlakunya semua perkara yang dinyatakan tadi, pasaran kita di peringkat dunia semakin meluas. Kita tidak lagi seperti katak di bawah tempurung. Kita mampu memasarkan hasil seni dan karya tempatan ke peringkat global. Apabila dunia mulai terima budaya kita, kita akan dipandang mulia dan di sanjung tinggi. Sekali gus membuka ruang kepada warga kita di pentas antarabangsa dan dapat membantu ekonomi negara supaya dapat berkembang dengan baik.
Sudah menjadi lumrah di dunia fana ini, ada lelaki, ada wanitanya. Ada siang, ada malamnya. Begitu juga dengan globalisasi, ada baik buruknya. Setiap ciptaan pasti ada kesan negatifnya walaupun tanpa kita sedari. Globalisasi dicipta oleh manusia untuk kemajuan sejagat, tetapi manusia jugalah yang menyalahgunakan alat teknologi untuk kehancuran diri sendiri. Contoh yang ketara dan sering diperkatakan di peringkat nasional mahupun antarabangsa adalah sikap segelintir individu yang tahu salin dan tampal (copy and paste) hasil karya mahupun ciptaan karyawan dan penulis lain. Gejala tidak sihat ini bukan sahaja melanda negara kita tetapi seluruh dunia. Walaupun ada akta yang menjaga hak ciptaan ini, tetapi sikap segelintir individu yang ingin jalan pintas untuk menyiapkan kerja ataupun untuk menjadi kaya melalui menciplak hasil karya insan lain dengan jalan yang salah. Gejala ini harus dibanteras habis-habisan supaya hasil karya yang berkualiti dapat dihasilkan walaupun persaingan bertambah kompetatif.
Dengan kuasa massa, falsafah seni hiburan popular yang hanya menekankan keseronokkan sementara dan tipu muslihat tersembunyi, menjadi senjata paling berkesan untuk mempengaruhi sikap dan tindak tanduk para muda-mudi zaman ledakan teknologi. Apa yang dapat dilihat dan didengar oleh para remaja akan memberi kesan kepada mereka walaupun hanya dalam masa seminit dua. Para remaja yang rata-ratanya tiada kuasa saring atau sistem nilai yang kukuh antara aspek positif dan negatif akan mudah terikut atau terpengaruh. Ini akan menyebabkan mereka memandang rendah akar budaya bangsa sendiri dan menganggap kolot serta ketinggalan zaman. Apatah lagi ingin memperjuangkannya! Sudah tentu mustahil.
Pandangan yang lahir di barat, iaitu “Art for the art sake” atau seni untuk seni juga menjadi isu perdebatan yang hangat di peringkat global. Demi seni semuanya boleh, semuanya tidak menjadi kesalahan. Menurut Dr. Sidi Gazalba,“Segala bentuk lukisan dan filem porno boleh, ucapan-ucapan cabul boleh, cerita yang meransang kejahatan boleh, asal untuk seni, asal semuanya itu diciptakan atas nama seni. Semuanya serba boleh hanya demi seni”. Pemikiran sebeginilah yang membimbang pihak kerajaan dan perkara sebegini perlu ditepis dan ditangkis oleh semua bangsa agar ia tidak meruntuhkan jatidiri seseorang seterusnya maruah negara. Apabila timbulnya pemikiran seperti ini, maka rosaklah bahasa dan nilai-nilai yang lahir dalam seni. Kesannya, musnahlah kekuatan, punahlah keamanan sesebuah negara yang mengejar kemajuan akibat dilanda arus gelombang yang lebih dasyat daripada Tsunami iaitu, globalisasi. Perkhidmatan penghantaran maklumat ringkas (short message service) atau SMS juga menjadi bahana dan barah kepada kehalusan bahasa kita. Mengapa? Penggunaan struktur ayat yang salah dan ejaan yang diringkaskan sebenarnya akan merosakkan penggunaan bahasa secara tepat ataupun profesional. Kesannya mungkin lima atau enam tahun lagi apabila anda diminta untuk membuat tugasan bertulis atau bertaip, lahirlah perkataan-perkataan baru yang tiada tersenarai di dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. “Bahasa Melambangkan Bangsa”. Sebuah ungkapan yang ringkas dan jelas tentang kepentingan bahasa. Justeru, marilah kita bersama-sama memartabatkan bahasa ibunda kita dengan menggunakannya secara profesional.
Secara keseluruhannya, janganlah kita hanya mampu terngoda di alam siber penuh pancaroba tanpa sebarang langkah mempertahankan seni kebudayaan dan bahasa kita. Masa depan negara kita amat cerah jika sekiranya semua warga mengembleng tenaga ke arah itu. Seniman atau penggiat seni sewajarnya mewakili pandangan dan worldwide masyarakat setempat dan seantero dunia. Namun, bukanlah pula terlalu mengikut kehendak dan pasaran antarabangsa. Sewajarnya, penggiat seni perlu bergiat aktif sejajar dengan globalisasi untuk menyebarkan keindahan dan kehalusan dalam aspek seni kebudayaan dan bahasa kita. Jika kita cuba menongkah arus atau tidak mahu mengikut perkembangan sains dan teknologi sezaman dikhuatiri segala unsur peradaban, kebudayaan, dan kesenian bangsa akan lenyap ditelan oleh arus gelombang globalisasi. Kini adalah masa terbaik untuk para seniman dan penggiat seni memikirkan langkah terbaik dalam menyebarkan jati jiwa kesenian kita berlandaskan kebudayaan dan kesenian tempatan. Maka, terpulanglah kepada individu itu untuk memilih laluan yang realiti ataupun sekadar berfantasi ibarat mimpi di siang hari.
GLOBALISASI: TEKNOLOGI MAKLUMAT
Globalisasi merujuk kepada fenomena global yang mempunyai pelbagai dimensi dan dimensi-dimensi tersebut bertaup rapat dan saling mempengaruhi antara satu sama lain. Globalisasi mempunyai matlamat jangka pendek dan panjang bergantung pada dimensi-dimensi itu. Sebagai contoh gobalisasi dari segi ekonomi mempunyai matlamat jangka pendek di mana keuntungan atau kesan globalisasinya dapat dilihat dalam waktu yang singkat. Walau bagaimanapun, terdapat juga jenis-jenis globalisasi yang mempunyai matlamat jangka panjang. Globalisasi dari aspek teknologi contohnya memerlukan jangka masa yang panjang untuk mencapai matlamatnya. Ini kerana globalisasi jenis ini berkaitan dengan kemodenan, kecanggihan serta peradaban manusia.
Globalisasi dari sudut teknologi mempunyai skop yang cukup luas untuk dibincangkan. Ini kerana perbincangan ini bukan sahaja berkisar tentang teknologi terkini yang dicipta oleh ahli-ahli sains sahaja tetapi ianya juga membincangkan implikasi-implikasi yang akan timbul di sebalik perkembangan ini dimana ianya akan memberi impak yang khusus kepada sesebuah masyarakat. Jika kita sedari perubahan dalam peradaban kehidupan manusia kini banyak dipengaruhi oleh teknologi yang sedia ada. Pengaruh ini termasuklah pengaruh-pengaruh yang positif dan juga sebaliknya bergantung kepada individu yang mempraktikkan atau menggunakan sesuatu teknologi sama ada ingin menggunakan teknologi yang sedia ada ini ke jalan kebaikan ataupun sebaliknya yang boleh memberi kesan buruk kepada diri sendiri dan juga orang lain. Dari aspek inilah para cendiakawan sering kali berbahas mengenai isu-isu kemanusiaan dan nilai-nilai yang semakin pudar dan hilang dalam diri individu dan masyarakat akibat daripada kedatangan arus teknologi yang semakin menggila lebih-lebih lagi di negara-negara maju seperti di negara-negara barat.
Dari sudut pandangan yang lain pula, globalisasi seharusnya dipandang dari aspek dan nilai-nilai yang positif. Ini kerana perubahan-perubahan ini relevan dan penting untuk kemajuan dan perkembangan sesebuah negara untuk mencapai taraf sebuah negara maju. Sudah pastilah sesuatu yang putih mesti ada hitamnya dan sesuatu yang baik pasti ada buruknya. Tidak ketinggalan juga dengan globalisasi yang hangat diperkatakan tentang kelebihannya dari segala segi disamping kelemahan dan kesan-kesan negatif yang timbul akibat dari globalisasi. Globalisasi dari segi teknologi mendatangkan banyak kebaikan disamping mempunyai keburukan yang tertentu. Globalisasi dari segi teknologi secara amnya bertujuan untuk memudahkan kehidupan manusia. Bagi sesebuah negara, perkembangan teknologi sangat penting khususnya dari aspek perhubungan dan telekomunikasi. Ianya penting untuk membina hubungan serantau mahupun antarabangsa dengan negara-negara lain di seluruh dunia dengan cepat dan pantas. Kehidupan yang serba moden dan kompleks ini menuntut kita supaya bergerak dengan lebih pantas yakni kita harus mendapatkan maklumat dengan cepat dan tepat. Oleh yang demikian, maklumat di hujung jari anda dengan penggunaan internet adalah cukup jelas untuk menggambarkan sejauh mana pentingnya proses globalisasi ini.
Terdapat banyak kebaikan serta keburukan yang wujud disebabkan oleh proses globalisasi ini. Dalam konteks ini kita akan membincangkan kebaikan dan keburukan mengenai globalisasi dari segi teknologi.Ada beberapa kebaikan perkembangan ini.Yang paling jelas dilihat ialah perkembangan teknologi ini telah banyak membantu manusia dalam penjimatan tenaga dan masa khususnya untuk industri-industri berat. Jika kita lihat di negara kita,industri-indurtri berat telah mula berkembang khususnya dalam bidang automobil. Banyak kilang-kilang didirikan untuk perusahaan ini. Peralatan-peralatan yang canggih juga telah digunakan. Peralatan-peralatan ini bukan hasil rekaan dan ciptaan dari negara kita tetapi ianya merupakan teknologi dari negara luar.Jika tiada proses globalisasi ini, bagaimanakah alat-alat teknologi yang cukup berguna ini boleh sampai ke negara kita. Maka kita tidak akan mampu mendirikan perusahaan automobil di negara kita ini kerana kita tidak mempunyai teknologi secanggih ini dan bayangkan jika kita hanya berharap dengan tenaga manusia, bagaimana boleh kita menghasilkan kereta-kereta yang bermutu tinggi serta diiktiraf oleh masyarakat global dalam kuantiti yang cukup banyak untuk menampung permintaan dalam masa yang cukup singkat jika bukan dengan menggunakan mesin-mesin yang canggih di mana manusia atau pekerja-pekerja hanya perlu menyelaraskan mesin-mesin tersebut dan memantau dari semasa ke semasa. Di sini cukup jelas bahawa penjimatan tenaga dan bilangan pekerja dapat dikurangkan.
Selain daripada itu, proses perkembangan teknologi juga banyak membantu dalam bidang perhubungan dan telekomunikasi. Banyak alat-alat perhubungan yang dicipta dari dahulu sehinggalah sekarang seperti telegram, faks, telefon sehinggalah kepada peralatan-peralatan yang lebih canggih telah digunakan sehingga kini iaitu telefon 3G yang boleh memaparkan wajah individu yang sedang berkomunikasi dengan kita dan penggunaan internet di mana ianya sebagai ibu segala maklumat kerana mengandungi segala apa maklumat yang kita kehendaki. Ini memudahkan perhubungan di antara sesama manusia tidak kira di mana pun seseorang individu itu berada. Jika dilihat dari aspek negara, alat-alat perhubungan sebegini amatlah penting. Ini kerana perhubungan jenis ini cepat dan tepat. Oleh sebab itu, negara kita sebagai contoh dapat menjalinkan hubungan dua hala atau diplomatik dengan negara-negara lain. Keadaan ini membantu negara kita untuk menyebarkan maklumat tentang negara kepada negara-negara lain.Maklumat-maklumat dapat disebarkan secara meluas dan tidak terbatas. Ini sekaligus membantu meningkatkan ekonomi negara dengan meyakinkan pelabur-pelabur asing tentang kebolehan dan aset-aset bernilai dan berguna yang terdapat di negara kita.
Antara lainnya juga, ianya dapat membantu dalam menghadapi segala macam ancaman serta kejadian semulajadi alam yang membahayakan kehidupan manusia. Contoh yang paling jelas yang baru saja berlaku dan juga melibatkan negara kita iaitu kemusnahan yang diakibatkan oleh gelombang Tsunami. Selepas peristiwa itu,negara-negara serantau bersetuju untuk mendirikan system amaran awal tsunami di mana setiap negara berhubung terus di antara satu sama lain dengan tujuan supaya persediaan awal dapat dilakukan jika terdapat tanda-tanda kejadian ini akan berulang. Di sini dapatlah kita lihat bahawa alat komunikasi yang tercipta hasil daripada proses globalisasi merupakan alat yang cukup penting bukan sahaja untuk hiburan tetapi juga untuk kesejahteraan semua masyarakat di serata dunia ini. Kebaikan-kebaikan yang telah dinyatakan di atas merupakan kebaikan globalisasi dari segi teknologi. Seperti yang kita ketahui sesuatu yang berbentuk teknologi ini bergantung kepada si penggunanya. Oleh itu, kemajuan teknologi ini juga mempunyai banyak kesan buruk di samping kebaikan-kebaikannya.
Di antara isu yang sering dikaitkan dengan perkembangan teknologi ialah isu akhlak dan moral. Teknologi terkini yang dicipta sehingga tidak terbatas penggunaannya menyebabkan ramai pengguna yang menyalahgunakan teknologi ini. Sebagai contohnya,penggunaan internet. Ramai pengguna internet melayari laman-laman web lucah.Ini sekaligus boleh meruntuhkan akhlak dan moral manusia. Selain itu,ianya juga akan meningkatkan kes-kes salah laku iaitu kes jenayah seperti rompak, rogol dan bunuh. Ada juga sesetengah golongan yang tidak bertanggungjawab mengedarkan propaganda-propaganda dan menyampaikan fahaman-fahaman mereka melalui internet untuk mempengaruhi pihak untuk kepentingan diri mereka sendiri. Ada Jenis propaganda yang berunsurkan fitnah dan ada juga yang menyebarkannya dengan tujuan untuk menjatuhkan pihak lain. Sebagai contohnya, parti-parti pembangkang menyebarkan khabar-khabar angin yang buruk dan palsu mengenai kerajaan dan dan propaganda politik mereka untuk menjatuhkan kerajaan dengan mempengaruhi orang ramai. Ini sekaligus menghapuskan keharmonian sesebuah negara dan yang paling ditakuti ialah ianya akan menyebabkan perpecahan yang boleh menjatuhkan dan menghuru-harakan keselamatan negara lebih-lebih lagi seperti negara kita Malaysia yang didiami oleh pelbagai masyarakat berbilang bangsa dan agama. Jika keadaan ini berterusan dan tidak dibendung,ini akan memberi kesan yang buruk kepada negara dari pelbagai segi di mana rakyat-rakyatnya akan berpecah-belah, sistem pemerintahan akan kucar-kacir dan ekonomi sesebuah negara itu akan runtuh secara mendadak kerana pelabur-pelabur asing menarik diri atau enggan untuk melabur di negara tersebut yang tidak stabil dan tidak selamat. Budaya-budaya yang disebarkan melalui internet yang bertentangan dengan tuntutan nilai-nilai kerohanian dan moral yang murni dan yang merendahkan martabat bangsa juga disebarkan melalui internet. Contoh budaya ini ialah budaya ‘pop Amerika’ yang boleh dianggap menyegarkan pancaindera tetapi mematikan roh. Pembanjiran maklumat yang tidak berfaedah ini juga tidak dapat dielakkan lagi kerana maklumat yang terdapat di dalam internet tidak dapat disekat penyebarannya.Setiap individu yang menggunakan internet untuk mencari maklumat boleh mendapatkan apa sahaja yang mereka hajati atau kehendaki.Dalam hal ini terpulanglah kepada si pengguna untuk menggunakan teknologi ini ke jalan kebaikan ataupun sebaliknya.
Antara lain keburukan yang disebabkan oleh perkembangan teknologi ialah ianya akan mewujudkan pembangunan yang tidak seimbang dan jurang-jurang ekonomi yang semakin melebar antara kawasan-kawasan di dalam sesebuah negara dan antara sektor-sektor ekonomi. Sebagai contohnya,terdapat jurang yang besar di antara industri yang dijalankan secara tradisional di desa dengan industri moden yang terdapat di kawasan yang membangun ataupun kawasan bandar kerana industri tradisional masih menggunakan kemahiran dan tenaga manusia jika dibandingkan dengan industri moden yang menggunakan alat-alat teknologi terkini dan canggih yang boleh mendapatkan pulangan yang cukup lumayan jika dibandingkan dengan industri perusahaan tradisional. Keadaan ini menyebabkan kawasan bandar akan terus membangun kerana untuk menampung kehidupan penduduk yang semakin ramai di kawasan itu untuk bekerja manakala di desa-desa yang menjalankan industri tradisional akan terus mundur dan tiada pembangunan. Sebab-sebab ini cukup jelas menunjukkan perbezaan yang akan wujud di antara dua kawasan ini yang sekaligus mewujudkan taraf ekonomi di antaranya. Akibat daripada penggunaan teknologi secara meluas,ini menyebabkan bilangan manusia yang diperlukan untuk bekerja dikurangkan. Ini bermakna akan berlaku pengangguran yang semakin memburuk dan jurang perbezaan pendapatan yang semakin melebar di sesebuah negara. Keadaan ini cukup membingungkan kerana ianya boleh mengancam keselamatan negara kerana akan berlakunya banyak kes-kes jenayah yang dilakukan oleh sebilangan kecil golongan-golongan penganggur ini untuk mendapatkan wang.
Secara kesimpulannya, globalisasi dari sudut teknologi ini tidaklah harus ditolak bulat-bulat oleh masyarakat. Ini kerana dunia pada hari ini mendesak kita supaya bergerak pantas dan bebas. Oleh itu, penggunaan teknologi haruslah diterima pakai dengan cara yang betul dan berhemah. Penyalahgunaan teknologi haruslah dihentikan segara kerana ianya bukan sahaja memberi kesan buruk kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain dan negara amnya. Globalisasi ini haruslah diterima sebagai perkembangan yang cukup positif dan semua individu ataupun seluruh umat manusia perlu berubah seiring dengan perubahan teknologi dari semasa ke semasa supaya kita tidak ketinggalan.
GLOBALISASI : SOSIAL DAN KEMASYARAKATAN
Dunia hari ini adalah jauh berbeza daripada dunia ibubapa dan datuk kita. Ia sentiasa berubah malah lebih pesat dari sebelumnya. Kesemuanya dipacu oleh kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi yang telah menjadikan dunia semakin kecil dan pemisahan antara negara-negara tidak lagi dapat dipertahankan. Pengantara seperti komputer, internet, telefon bimbit dan televisyen telah mempercepatkan dan mencanggihkan hubungan antara manusia dengan dunia yang lebih luas. Apabila kita berbicara tentang globalisasi, maka kita sedia maklum bahawa bidang teknologi maklumat dan komunikasi hampir keseluruhannya diterajui oleh orang barat, khususnya negara Amerika. Oleh itu, secara tidak langsung, tanpa kita sedari, sedikit sebanyak pengaruh budaya Amerika telah menular di kalangan sesebuah masyarakat. Walaupun teknologi maklumat adalah wadah penting bagi menghadapi era globalisasi yang semakin mencabar ini, namun kita tidak dapat menafikan bahawa terdapat kesan sampingan yang buruk dari segi budaya yang akan menimpa sesebuah masyarakat akibat dipengaruhi oleh pemikiran kuasa imperialisme. Daripada kesedaran ini, marilah kita berfikir sejenak untuk mengetahui sejauh mana proses globalisasi itu sendiri telah mempengaruhi amalan dan budaya masyarakat serta tindakan yang patut diambil bagi mempertahankan kesucian budaya kita agar tidak hilang di mata dunia.
Merujuk kepada takrif globalisasi dari segi sosial, ia berkaitan dengan pengeluaran sesuatu amalan dan sosial ke satu budaya yang berbeza disebabkan oleh pertembungan budaya. Sudah pasti budaya dari kuasa imperialis, iaitu Amerika Syarikat adalah paling berpengaruh ke atas masyarakat di pemikiran, budaya dan mereka juga cuba mewujudkan satu keadaan di mana masyarakat luar akan merasa rendah diri dan memandang bahawa barat adalah kiblat dan puncak peradaban dunia.
Seorang sarjana,Prof. Mohamad Abu Bakar meringkaskan fenomena globalisasi sebagai ,
“Globalisasi mempermudahkan proses perpindahan nilai, khususnya cara berfikir dan gaya bertindak satu daerah dunia ke daerah dunia yang lain. Dalam keadaan sekarang, ia merujuk terutama sekali kepada nilai barat seperti pemikiran dan amalan demokrasi, kapitalisme, dan budaya berseronok (hedonisme) ke negara bukan barat. Sungguhpun proses ini sudah lama berjalan, hanya pada akhir-akhir ini sahaja ia telah mencecah tahap begitu menyeluruh.”
Natijahnya, globalisasi jelas membawa banyak kesan negatif dari positif. Penyebaran budaya yang bertentangan dengan tuntutan nilai-nilai kerohanian dan moral dan yang merendahkan martabat keinsafan manusia telah sebabkan kita semakin terputus dari budaya dan akar sejarah kita sendiri. Penghapusan aspek kebudayaan masyarakat dan penggantiannya dengan kebudayaan barat sudah tentu membawa asimilasi masyarakat itu ke dalam budaya berteraskan barat. Akhirnya ia mungkin dapat menyebabkan kehilangan jati diri masyarakat berkenaan.
Antara masyarakat yang paling banyak dipengaruhi oleh budaya barat ialah masyarakat Asia. Ini kerana kebanyakan negara Asia adalah bekas jajahan barat dan fokus utama tentunya kepada golongan belia. Golongan muda ini sebahagian besarnya sudah terheret di dalam proses globalisasi sosio budaya. Dalam keghairahan untuk mengejari gaya hidup global yang ditandai oleh pelbagai ciri kehidupan barat, anak-anak muda kita secara umumnya kini sudah tidak merasa bersalah untuk meniru secara bulat budaya hidup barat. Melalui pelbagai saluran iaitu aspek bahasa Inggeris, muzik, filem, pakaian serta makanan dan minuman, mereka terus menjadi sasaran utama globalisasi yang didalangi oleh syarikat-syarikat multinasional dan transnasional. Antara fenomena yang dapat disaksikan ialah berpakaian jeans,berbaju T dan memakai topi “baseball” secara terbalik menjadi kegemaran anak muda. Selain itu, terdapat banyak makanan segera dan minuman global yang ditaja oleh barat. Ini termasuklah contoh jenama seperti Coca-cola, Mac Donalds, Kentucky Fried Chicken dan sebagainya. Dari segi hiburan pula dapat dilihat hiburan dan media yang tonjolkan budaya barat, serta dunia lakonan dan pembikinan filem cara barat. Disko dan kelab hiburan tumbuh di serata bandar dan pekan dan terdapat juga majlis sosial yang menonjolkan acara ala-ala barat. Produk rokok yang menajakan budaya hidup barat dipasarkan secara meluas. Di samping itu, banyak gejala sosial yang timbul akibat daripada pembaratan dan pemodenan. Masalah seperti ketagihan dadah, pergaulan bebas, jenayah rogol dan budaya hedonisme dikatakan sebahagian besarnya berpunca daripada pengaruh barat. Sebagai contoh, baru-baru ini di negara Malaysia, telah hangat diperkatakan tentang budaya “Entertainmentization”. Budaya ini adalah hasil dari dominasi budaya Amerika ke atas budaya bangsa-bangsa lain yang dikenalpasti sebagai cultural imperialism dalam membentuk pasca budaya (post culture). Pelbagai unsur luar seperti filem, rentak, dan alunan muzik, media, reka corak pakaian,bahasa, ideologi, makanan, dan minuman serta imej mengakibatkan kehidupan budaya masyarakat tempatan semakin parah dan diperbodoh-bodohkan. Remaja melayu kota mencari dan mengejar hiburan bagi menghilangkan perasaan gelisah, tekanan hidup dan menemui kebebasan serta keseronokan yang diidamkan. Senario di kota besar seperti di Kuala Lumpur ini, amalan berpeluk dan bercium sudah menjadi sesuatu yang biasa bagi generasi remaja tanpa menghiraukan keadaan khalayak di sekitarnya. Berdasarkan artikel dalam sebuah website tempatan, menyebut amalan itu tidak mendapat tentangan dari ibubapa mereka malah ia tidak dianggap meruntuhkan moral. Perbuatan lain yang dianggap tidak meruntuhkan moral ialah memakai baju yang menampakkan pusat, bertindik di hidung dan anggota lain seperti pusat, merokok, terutama di kalangan wanita, mewarnakan rambut, keluar sehingga lewat malam atau awal pagi, serta membaca bahan dan mendengar muzik barat yang tidak sesuai. Dengan implikasi yang dibawa oleh “entertainmemtization” sedemikian akan mengubah cara hidup remaja Melayu kota ke arah pendirian yang kucar-kacir disebabkan kurangnya pegangan nilai agama dan moral. Misalnya wujud kumpulan sub budaya seperti budaya hipi, punk, budaya bertindik dan anti-agama,serta mementingkan selera makanan segera.
Dari segi masyarakat pula khususnya keluarga, dapat dilihat bahawa proses globalisasi telah mengubah nilai kolektivisme dan ikatan kekeluargaan menjadi semakin rapuh. Nilai-nilai baru yang timbul sering memberi tumpuan kepada pembangunan luaran daripada perkembangan dalaman serta sahsiah seseorang. Fenomena ini meletakkan kekayaan sebagai tunjang kehidupan sesebuah keluarga. Ibu bapa bekerja sepenuh masa dan meninggalkan anak-anak mereka di bawah jagaan pembantu rumah.Mereka kurang memberi perhatian kepada anak-anak dari segi masalah hidup mahupun pelajaran. Ibu bapa hari ini juga lebih menekankan nilai-nilai di luar perkembangan jati diri dan inilah yang menyebabkan terjadinya masalah sosial. Selain itu, nilai-nilai warisan budaya sesebuah masyarakat juga semakin dipinggirkan dan ini dapat dilihat bermula dari institusi keluarga itu sendiri. Sebagai contoh, bagi masyarakat Cina, pada perayaan Tahun Baru Cina, upacara minum teh dengan disaksikan oleh tetamu dibuat di rumah ibu bapa. Ia sangat bererti bagi menghormati orang tua dan merendah diri dalam mengejar kekayaan dan ilmu pengetahuan. Malangnya, ramai yang tidak mengamalkannya sebaliknya perayaan itu disambut dengan berpakaian cantik, minuman dalam tin dan gula-gula beraneka warna. Mujurlah terdapat keluarga yang masih menghidangkan kuih-muih tradisional. Satu lagi contoh ialah semasa perayaan Millenium beberapa tahun yang lalu, kita mengharapkan agar dapat melihat cara negara-negara yang berbeza di seluruh dunia meraikan ketibaan tahun baru. Namun, terjadi pula sebaliknya. Hampir semua negara mengadakan pertunjukan bunga api, tari-tarian dan muzik pop, pesta tari-menari di jalanraya dan sebagainya. Hampir di seluruh dunia “berpesta” kecuali Negara Jepun yang mengadakan upacara membunyikan loceng yang sangat unik.
Sebenarnya bahaya globalisasi yang sebenar ialah kejahilan mengenainya. Ramai orang tidak sedar bahawa pada hakikatnya, mereka telah dipengaruhi. Masalah yang perlu ditangani ialah perspektif tentang pembaratan dikatakan pemodenan. Kita bimbang jika tidak mengikut cara dan budaya barat, maka kita tidak moden dan kurang maju, inilah satu perspektif yang perlu diperbetulkan.
GLOBALISASI PENDIDIKAN
Secara umumnya pendidikan merupakan proses untuk mengembangkan sikap, mental pengetahuan dan keterampilan seseorang ke arah yang lebih baik. Manakala globalisasi adalah fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi hubungan manusia disebabkan oleh kepantasan teknologi maklumat. Oleh itu, globalisasi pendidikan dapat ditakrifkan sebagai satu fenomena di mana perkembanagn dunia pendidikan yang merangkumi beberapa aspek yang meliputi ilmu pengetahuan menjadi tiada sempadan sejajar dengan perkembangan teknologi dan pembangunan negara. Ini dapat dimaksudkan bahawa pendidikan dapat diselenggara untuk menyiapkan rakyat Malaysia menjadi anggota masyarakat yang memiliki kemampuan akedemis ataupun kemampuan profesional yang dapat menerapkan, mengembangkan atau menciptakan ilmu pengetahuan dan teknologi. Dengan kata lain, ia membantu potensi seseorang individu secara bersepadu dan menyeluruh dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi ke arah melahirkan insan yang seimbang, berakhlak mulia dan berketerampilan.. Globalisasi pendidikan merangkumi beberapa aspek termasuklah ekonomi, teknologi dan sosial. Oleh itu, kewujudan globalisasi pendidikan secara tidak langsung mempengaruhi aspek ini untuk membantu dan meningkatkan pembangunan sesebuah negara.
Dalam menghadapi wawasan 2020, cabaran abad ke-21 memerlukan masyarakat yang bertaraf global dan hidup bersaing di peringkat antarabangsa. Kerajaan telah cuba untuk mencapai matlamat ini terutamanya genarasi muda. Hal ini kerana, terdapat banyak cabaran dan kesukaran yang perlu dilalui untuk melahirkan tenaga pakar dan mengukuhkan sistem inovasi kerajaan. Genarasi muda merupakan aset berharga pada era globalisasi dan perlu diasuh dan dibancuh dengan segala ramuannya bermula di peringkat rendah lagi agar menjadi rakyat kelas pertama yang mempunyai tahap pemikiran tinggi dan sahsiah diri yang cemerlang disamping lebih kompetatif dan memiliki ketahanan mental dan fizikal. Walaupun tahap pendidikan di negara kita masih rendah tidak setanding denagn negara-negara barat seperti Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan Britain, namun kualiti pendidikan dan produktif generasi kita setaraf dengan negara maju. Kerajaan sentiasa meletakkan sektor pendidikan sebagai sektor utama dalam belanjawan negara. Contohnya, sebanyak 9355 sekolah menengah dan sekolah rendah seluruh negara turut dibekalkan laptop, LCD, skrin, troli dan pencetak bagi meneruskan perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia turut membekalkan 5000 komputer jenama Apple ke sekolah tertentu sebagai tambahan peralatan sedia ada.
Pendidikan juga menjadi isu utama dan amat dekat dengan jiwa nurani rakyat Malaysia. Pada setiap masa, manusia terlibat dengan pendidikan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sejak kita dalam kandungan ibu, kita telah diajar pelbagai ilmu pengetahuan tetapi masih tidak dapat diaplikasikan oleh kita sehinggalah kita membesar dan meningkat dewasa. Setiap peringkat, kita mempunyai perkembangan dan peningkatan dalam pendidikan sejajar dengan pembangunan teknologi dan pembangunan negara. Dalam era globalisasi, pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri dan memupuk perpaduan bangsa. Mungkin kita fikir, globalisasi hanya berlaku pada era kini tetapi sebenarnya ia telah berlaku sejak dulu lagi semasa zaman penjajahan. Pembukaan sekolah-sekolah Melayu, Cina, India dan Inggeris merupakan salah satu usaha meningkatkan tahap pendidikan di negara kita walaupun pembukaaan sekolah-sekolah ini adalah untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di negara kita. Apabila tiba di zaman kemerdekaan, sekolah kebangsaan telah diwujudkan bagi membantu dan mengukuhkan perpaduan dikalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Di sini rakyat Malaysia dapat melakukan usaha sama dalam bidang pendidikan seterusnya membantu dalam pembinaan jati diri bangsa. Malah sesuatu bangsa dilihat bertaraf tinggi jika dapat menguasai pelbagai ilmu pengetahuan dan teknologi dalam pendidikan.
Lanjutan daripada perkara di atas juga, globalisasi pendidikan seterusnya dapat membantu dalam pembangunan negara bukan sekadar melahirkan insan yang berilmu malah dapat membantu memenuhi tanggungjawab politik dengan membina warga bangsa bersatu padu lagi berpadu. Malah beberapa masalah seperti kemiskinan dapat dikurangkan dan membantu dalam meningkatkan sosio-ekonomi negara.
Walau sesempurna manusia itu, pasti ada kelemahannya. Begitu juga dengan globalisasi pendidikan yang diciptakan manusia, tidak semua perkembangan dalam pendidikan membawa kesan positif sebaliknya terdapat kesan nagatif. Dalam perkembangan sistem pendidikan penggunaan bahasa memainkan peranan penting terutamanya dalam komunikasi sesama manusia. Bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda negara Malaysia dan menjadi bahasa pengantar terpenting yang membolehkan komunikasi antara kaum yang berbilang bangsa. Namun begitu, sistem pembelajaran dan pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris serba sedikit telah mengganggu gugat kedudukan Bahasa Melayu di negara kita. Pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris menjadi suatu isu yang hangat diperkatakan setelah Bekas Perdana Menteri kita Datuk Sr.Dr. Mahathir Bin Muhammad mengumumkan untuk mengubah dasar pendidikan negara kita. Terdapat sebilangan sasterawan dan jabatan- jabatan pendidikan kurang bersetuju dengan cadangan ini kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda negara dan harus dikekalkan dalam sistem pembelajaran dan pengajaran di sekolah-sekolah dan institut-institut pengajian tinggi. Adakah penggunaan Bahasa Inggeris dalam matapelajaran Matematik dan Sains mampu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan masyarakat? Negara Jepun yang mengekalkan bahasa ibunda mereka masih boleh maju dan membangun setanding dengan negara barat seperti Amerika Syarikat dan Britain walaupun penguasaan Bahasa Inggeris mereka lemah. Mungkin penggunaan Bahasa Inggeris dalam matapelajaran Matematik dan Sains adalah tidak wajar dan matapelajaran Bahasa Inggeris itulah yang harus diperbaiki di mana ia harus disemak dari segi kaedah pengajaran dan silibus. Hal ini adalah untuk mengelakkan kepincangan yang wujud. Mungkin dilihat dari kesan jangka pendek, para pelajar tidak mampu mengikuti sistem ini terutamanya pelajar lemah dan mempunyai ‘Low IQ’. Jika dilihat dari kesan jangka panjang masyarakat kita nanti mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik dan meningkatkan kemahiran berbahasa. Ini memandangkan Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa dan bahasa globlisasi dunia. Walau bagaimanapun di mana kedudukan Bahasa Melayu kita jika Bahasa Inggeris menjajahi negara kita. Bak kata pepatah ‘kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan ‘.
Pada masa yang sama juga, teknologi memainkan peranan penting dalam membantu proses globalisasi pendidikan. Perkembangan dalam teknologi secara tidak langsung membawa kepada perkembangan sistem di negara kita. Penggunaan internet, CD-ROM, dan alat bantu mengajar yang berasaskan teknologi telah membawa kita ke arah realiti dunia globalisasi. Banyak kemudahan dapat digunakan dan diaplikasikan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan internet, dan CD-ROM telah banyak membantu guru dalam pengajaran mereka supaya menjadi lebih efektif dan mudah dikendalikan. Segala bahan pengajaran didapati dengan lebih mudah seterusnya meningkatkan kreativiti seseorang guru. Para pelajar dapat dilatih belajar tanpa guru dan mempraktikkan pembelajaran kendiri. Masyarakat kita dapat membuat rujukan dan mencari bahan yang sesuai untuk menambahkan pengetahuan mereka dengan mengklik sahaja. Sistem pembelajaran dan pengajaran dapat dilakukan dengan lebih menarik diikuti kesan visual, animasi dan impak yang dapat membantu meningkatkan kefahaman para pelajar. Walau bagaimanapun, penggunaan teknologi dalam pendidikan kadang-kala membebankan para pelajar. Pelajar yang tidak dapat menguasai penggunaan teknologi merasakan diri mereka ketinggalan seterusnya melemahkan semangat mereka. Namun perkara ini boleh diatasi jika pihak guru dan kerajaan membantu mereka dalam pendedahan penggunaan teknologi dalam pendidikan. Selain itu juga, penggunaan teknologi dalam sistem pendidikan boleh menghadkan komunikasi antara guru dan murid. Kadang-kala guru hanya membaca nota yang terdapat pada skrin tanpa memahami apa yang disampaikan. Para pelajar pula, hanya mengharapkan internet untuk mendapatkan maklumat tanpa merujuk guru terlebih dahulu sedangkan maklumat yang diperolehi tidak semestinya tepat. Malah interaksi guru dengan murid menjadi terhad dan serba sedikit melemahkan hubunagn kemesraan mereka. Namun begitu, jika guru dapat memainkan peranannya dengan baik dan mengekalkan kemesraan hubungan mereka dengan murid, pasti masalah ini dapat diatasi dan globalisasi pendidikan di negara kita membawa lebih banyak nilai-nilai positif.
KOMENTAR
Globalisasi, sebuah wadah yang luas penggunaannya.Walaupun pelbagai pendapat telah diberikan tentang isu globalisasi, kita mesti berpijak di bumi nyata. Sebagai bangsa Malaysia yang penuh budaya dan adat resam serta disulami dengan ilmu agama, sudah pasti nilai-nilai murni amat dititikberatkan disamping melangkah merentasi sempadan masa dan geografi dalam mengejar pembangunan. Dalam isu-isu ini juga,terselindung pelbagai unsur-unsur positif dan negatif. Sekarang terpulanglah kepada kita untuk mengekstrak apa yang diperlukan untuk menjana pembangunan fizikal,mental, serta intelektual dan menangkis segala unsur-unsur yang boleh melemahkan jati diri kita sebagai manusia yang bertamadun. Seperti yang telah diperbincangkan dalam isu-isu yang dikemukakan, pembangunan Malaysia adalah berteraskan globalisasi menuju modenisasi. Wawasan 2020 adalah matlamat Malaysia. Dalam mengorak langkah ke arah itu, pelbagai langkah telah dilaksanakan seperti mewujudkan Koridor Raya Multimedia (MSC), Malaysia Multimedia University, Pusat Bioteknologi Negara dan lain-lain lagi. Penggunaan alat teknologi terkini seharusnya diperluaskan penggunaan yang bukan sekadar di kota-kota malah di desa-desa. Dengan program celik IT, diharapkan seluruh rakyat Malaysia mampu bersaing di peringkat global seterusnya mengharumkan nama negara. Janganlah kita nanti diibaratkan seperti katak di bawah tempurung. Aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara maju seperti AS, Jepun, Rusia, dan Britain akan tercapai sekiranya generasi hari ini bersama-sama ke arah dunia realiti.
Bibliografi
Buku Rujukan
Lukman Z. Mohamad (2003). Globalisasi di Malaysia. Kuala Lumpur. Utusan Publication and Distributor.
Thomas L, Friedman (2000). Memahami Globalisasi. Bandung. Penerjemah, Tim
Penerbit ITB, Penerbit ITB.
Mustapha Hassan (2003). Islam,politik dan pembangunan. Malaysia. Islam,politik dalam
Kerajaan.
Keratan Ahkbar
“Pembangunan Pendidikan Perlu Dihadapi Cabaran Globalisasi” dalam Berita
Harian. 17 Disember,: 10
Internet
Cabaran globalisasi. Diperolehi daripada htpp:// member.tripod.com
Globalisasi dan virtualisasi kebudayaan. Diperolehi daripada
htpp://www.pikiran–rakyat.com
Globalisasi informasi dan akibatnya. Diperolehi daripada
htpp://www.pikiran-rakyat.com
Teknologi Informasi. Diperolehi daripada htpp://solit.8m.com
Negara lalaikan perlindungan pada kebudayaan lokal. Diperolehi daripada http://www.kompas.com
Memahami globalisasi. Diperolehi daripada http://azhan.blogspot.com
Jangan tergesa-gesa masukkan pendidikan dalam GATT. Diperolehi daripada http://www.pikiran-rakyat.com
Cabaran globalisasi. Diperolehi daripada http://www.geocities.com
Globalisasi Neoliberalisme dan dorongan kemunduran ekonomi kapitalis. Diperolehi daripada http://www24.brinkter.com
Masyarakat perlu dalami ilmu ICT. Diperolehi daripada www.brunet.bn/news/pelita/11jun/minda.htm
Visi dan misi mahasiswa dalam era globalisasi dan transformasi
Diperolahi daripada www.mohhdiqbal.iwarp.com
Sejauh manakah keberkesanan penggunaan teknologi maklumat dan pendidikan di Malaysia. Diperolehi daripada www.geocities.com
click for tq
No comments:
Post a Comment