Want to know more, please click

Followers

Pages

Tuesday, May 10, 2011

Penghijrahan sikap, minda ummah hadapi persaingan


Hijrah merupakan satu peristiwa amat penting dalam kehidupan orang Islam kerana terkandung di dalamnya pelbagai amanat dan pengajaran. Penghayatan yang penuh bermakna terhadap peristiwa ini sebenarnya mampu mencetuskan pelbagai sumber inspirasi dalam kehidupan seluruh masyarakat.
Sebagaimana hijrah Nabi Muhammad itu telah membawa banyak perubahan dan kemajuan dalam diri dan kehidupan Baginda s.a.w serta di kalangan golongan Muhajirin dan Ansar pada ketika itu yang telah melakukan penghijrahan demi membebaskan diri daripada belenggu kejahilan dan penindasan golongan kuffar, maka kini kaum muslimin perlu melihat peristiwa hijrah dalam konteks yang lebih global daripada hanya sekadar perayaan dan sambutan tradisi peristiwa ini.
Dan pada masa yang sama, mereka perlu membina kemampuan sebagai umat terunggul dalam merencana agenda negara dan dunia keseluruhan dengan menjunjung ciri-ciri keadilan dan kesamarataan dalam melaksanakan urusan pemerintahan.
Ini tidaklah pula bermakna mereka akan mengabaikan urusan kehidupan akhirat kerana dunia adalah langkah permulaan menuju akhirat. Kehidupan yang baik di dunia ini akan membawa kehidupan yang baik juga di akhirat nanti. Dan bagi memenuhi tuntutan kehidupan yang cemerlang di akhirat nanti pula, urusan dunia perlulah dilaksanakan secemerlang mungkin. Ini juga merupakan tuntutan Islam yang inginkan kehidupan yang sama-sama cemerlang, baik di dunia mahupun di akhirat.
Walaupun umat Islam di negara ini hidup dalam keadaan yang amat selesa dan tidak mengalami sebarang penindasan sebagaimana yang berlaku di zaman Nabi yang memerlukan mereka melakukan penghijrahan fizikal, ini tidak bermakna mereka tidak perlu belajar apa-apa daripada peristiwa hijrah ini memandangkan banyak pengajaran yang tersirat padanya.
Sebagaimana peristiwa hijrah itu telah mengangkat martabat dan tamadun Islam serta umatnya, maka umat Islam di negara ini juga perlu melakukan penghijrahan ke arah membentuk masyarakat hadhari, yang mampu mengungguli ketamadunan dunia berlandaskan nilai-nilai yang murni.
Dalam konteks hijrah ini, mereka perlu berusaha berhijrah membina sikap dan budi pekerti yang mulia, meninggalkan amalan yang tidak berfaedah, apatah lagi yang tidak menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan yang dituntut Islam. Sabda Rasul s.a.w yang bermaksud: Daripada tanda-tanda sempurnanya keislaman seseorang Muslim adalah meninggalkan sebarang perkara yang tidak berkaitan (tidak berfaedah) baginya.
Nilai-nilai murni dalam kehidupan dan amalan budi pekerti yang mulia merupakan ciri-ciri yang perlu ada dalam masyarakat hadhari. Mereka ini maju, proaktif dan progresif, tidak mundur minda, berani mengubah sikap yang negatif, sentiasa berusaha meningkatkan kecemerlangan dan penampilan personaliti yang sempurna.
Sikap yang dianjurkan dalam al-Quran dan Sunnah ini akan membebaskan mereka daripada kelemahan keyakinan diri apabila bersaing dengan bangsa lain. Mereka juga perlu didedahkan dengan gambaran yang positif terhadap persaingan. Persaingan bukanlah semata-mata beradu kekuatan tenaga, tetapi adalah kekuatan minda yang diiringi sikap positif, berteraskan nilai yang murni.
Orang Melayu yang bersifat pemalu dan lemah lembut, pada umumnya melihat persaingan sebagai satu perilaku yang agresif. Amalan tolong-menolong dan bekerjasama yang diamalkan selama ini pula dianggap sebagai alternatif kepada persaingan. Oleh yang demikian, mereka lebih selesa dan berbangga jika kejayaan dan kemajuan yang dikecapi itu dicapai atas dasar secara bergotong-royong dan bekerjasama.
Keadaan ini berbeza dengan bangsa dan kaum lain yang melihat persaingan sebagai keutamaan untuk mencapai kejayaan. Dalam konteks ini, orang Melayu dan umat Islam negara ini perlu melihat persaingan dilakukan dalam suasana yang sihat dan adil. Persaingan yang perlu ada di kalangan mereka adalah sikap untuk menguasai pelbagai sektor dalam negara, sama ada sektor penting mahupun yang kurang penting, yang membantu kepada pertumbuhan dan kemajuan negara, tanpa tertinggal sedikit pun.
Pendek kata, persaingan bagi umat Islam negara ini adalah bagi memenuhi setiap peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor tanpa keciciran kepada bangsa lain. Malangnya, persaingan seperti ini yang tidak wujud dalam minda dan sikap mereka. Hasrat umat yang ingin membentuk sebuah masyarakat yang hadhari mungkin gagal jika mereka tidak berhijrah ke arah pembentukan sikap yang sedemikian rupa.
Kini sudah tiba masanya umat Islam melakukan penghijrahan sikap dan minda secara beramai-ramai untuk mengembalikan keunggulan tamadun Islam khususnya di negara sendiri. Mereka boleh menjadi satu bangsa yang unggul apabila berhemah dan berbudi pekerti mulia serta sentiasa mencambah idea untuk cemerlang dalam segenap bidang.
Click ads for your tq




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...