Want to know more, please click

Followers

Pages

Wednesday, May 4, 2011

ASAS KESELAMATAN


Pengenalan

Menurut Kamus Dewan, keselamatan didefinisikan sebagai sesuatu perkara atau langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan berlakunya peristiwa yang tidak diingini seperti kecederaan, kemalangan atau kehilangan nyawa.
Pada asasnya, keselamatan dapat dikelaskan kepada tiga iaitu :
·         Menjaga keselamatan diri sendiri, orang lain dan alatan serta mesin.
·         Mengetahui cara-cara pertolongan cemas.
·         Mengetahui cara-cara menggunakan alat pemadam api.

Peraturan Keselamatan Bengkel Kemahiran Hidup

Secara umumnya, pelajar, alatan dan bahan serta ruang tempat kerja perlu terjamin keselamatannya sepanjang masa.  Peraturan keselamatan bengkel terdiri daripada aspek keselamatan yang perlu diutamakan merangkumi :
·         Keselamatan diri.
·         Keselamatan alatan dan bahan.
·         Keselamatan tempat kerja.

Berikut merupakan langkah-langkah yang perlu diambil yang merupakan peraturan Bengkel Kemahiran Hidup ketika berada di dalam bengkel :

1.      Meminta kebenaran
i.        Pelajar dikehendaki meminta kebenaran daripada guru sebelum masuk ke bengkel. Sebaik sahaja dibenarkan masuk ke dalam bengkel, segeralah bersedia untuk bekerja. Jangan bermain atau bergurau semasa di dalam bengkel.


2.      Pakaian
·         Pakaian mestilah rapi dan kemas.  Baju yang berlengan panjang hendaklah digulungkan sehingga ke paras siku supaya tidak mengganggu ketika sedang menjalankan kerja amali. Rambut harus pendek dan kemas. Rambut yang panjang hendaklah diikat ke belakang dengan kemas supaya tidak menghalang penglihatan dan mengganggu pelajar ketika membuat kerja terutamanya pelajar perempuan. Sentiasa memakai kasut ketika berada di dalam bengkel. Apron atau baju bengkel hendaklah sentiasa dipakai semasa bekerja.

3.      Keadaan bengkel
·         Pintu dan tingkap hendaklah dibuka semasa berada didalam bengkel. Pastikan anda tahu di mana kedudukan alat pamadam api. Kebersihan di atas lantai dan meja hendaklah sentiasa dijaga. Sebelum meninggalkan bengkel, pastikan semua suis lampu, kipas dan mesin serta tingkap ditutup selepas digunakan.

4.      Sikap diri
·         Pelajar perlu sentiasa mematuhi setiap arahan guru. Tumpukan sepenuh perhatian anda kepada kerja yang sedang dilakukan. Jangan cuba bergurau ketika berada di dalam bengkel. Pastikan anda tahu cara menggunakan alat pemadam dengan betul.

5.      Penggunaan alatan tangan
·         Jangan gunakan sebarang alatan sekiranya anda belum tahu cara penggunaannya. Menggunakan alatan tangan dengan tangan yang basah ada amat merbahaya. Jangan sesekali menggunakan alatan tangan yang telah rosak atau tumpul. Periksa dahulu sebelum menggunakannya. Laporkan sebarang kerosakan alat kepada guru dengan segera.

6.      Kecederaan
·         Pastikan peti kecemasan mempunyai ubat-ubatan yang mencukupi dan tidak tamat tempoh. Laporkan sebarang kecederaan yang berlaku kepada guru dengan segera.Setiap kecederaan yang berlaku hendaklah diberi rawatan segera.

Punca-punca Kemalangan

Perkara pertama yang perlu difikirkan apabila melangkah masuk ke dalam bengkel ialah keselamatan.  Papan tanda ’UTAMAKAN KESELAMATAN’ seringkali terdapat di dinding-dinding bengkel dan kawasan pembinaan untuk mengingatkan semua orang supaya awas atau berhati-hati dan menjaga keselamatan diri. Pelajar perlulah mengamalkan sikap mencegah lebih baik dari mengubati sepanjang masa ketika di dalam bengkel.  Punca kemalangan boleh dibahagikan kepada tiga faktor utama iaitu :

1.      Faktor fizikal
·         Persekitaran tempat kerja yang tidak selesa dan sempit. Peralatan yang rosak dan tumpul. Mesin yang tidak diselenggarakan dengan baik dan sempurna.

2.      Faktor kemanusiaan
·         Faktor yang paling banyak berlaku kemalangan disebabkan oleh kecuaian, kurang pengetahuan, disiplin dan kesihatan.

3.      Faktor pentadbiran
·         Penguatkuasaan peraturan yang tidak sistematik dan seragam. Arahan keselamatan yang lemah dan tidak dipatuhi.

Cara-cara Untuk Mencegah Kemalangan
Setiap kemalangan akan mengakibatkan kerugian sama ada harta benda ataupun nyawa. Mencegah adalah satu cara untuk meminimumkan peratus berlakunya kemalangan. Aspek keselamatan yang perlu diutamakan terdiri daripada:

1.      Menjaga keselamatan diri sendiri :
·         Mendapatkan kebenaran guru sebelum masuk ke dalam bengkel.
·         Memastikan diri kita berada dalam keadaan sihat dari segi fizikal dan rohani.
·         Berdisiplin dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
·         Mengetahui kaedah penggunaan atau cara mengendalikan sesuatu mesin dengan selamat.
·         Pakaian hendaklah kemas dan sesuai dengan kerja praktikal yang akan dilakukan seperti jaket bengkel atau apron.
·         Memakai kasut bertutup yang mempunyai kepingan keluli dan bertapak getah seperti safety boot ketika bekerja.
·         Memakai dan menggunakan alat perlindungan keselamatan seperti mask, google, sarung tangan jika perlu, topi dan tali pinggang keselamatan apabila bekerja di tempat tinggi.
·         Menggunakan alat pelindung mata seperti safety goggle dan pelindung muka semasa menjalankan kerja mengimpal dan mencanai.
·         Menggunakan alat pelindung tangan(glove) untuk melindungi tangan daripada kecederaan, lebam, terbakar oleh bahan kimia dan sebagainya seperti dalam kerja membentuk batang keluli, memindah bata dan kerja
binaan lain. Alat pelindung tangan tidak boleh dipakai semasa menggunakan mesin yang bergerak seperti mesin mencanai dan mesin pelarik kerana mungkin akan mendatangkan bahaya seperti tersangkut pada mesin dan mengakibatkan kemalangan.
·         Tidak berlari atau bergurau ketika berada di dalam bengkel.
·         Melaporkan sebarang kecederaan atau kemalangan dengan segera kepada guru untuk mendapatkan rawatan segera.
·         Sebarang kehilangan atau kerosakan alatan atau bahan perlu dilaporkan kepada guru untuk direkodkan.

2.      Menjaga keselamatan orang lain
·         Menandakan kawasan bahaya dengan warna terang iaitu warna merah.
·         Memastikan bengkel sentiasa berada dalam keadaan bersih dan kemas.
·         Memastikan bengkel kerja amali mendapat pencahayaan dan pengudaraan yang secukupnya.
·         Memagar dan mengunci serta meletakkan label di kawasan yang berbahaya. 
·         Meletakkan papan tanda amaran seperti AWAS!, MESIN ROSAK, LANTAI  LICIN, BAHAN MUDAH TERBAKAR dan sebagainya.

3.      Menjaga keselamatan alatan dan mesin
·         Alatan dan bahan di dalam bengkel perlu diletakkan di tempat khas.
·         Alatan disusun pada rak atau panel alatan dengan teratur selepas digunakan.
·         Menajamkan mata alatan yang tumpul sebagai penyelenggaraan.
·         Meminyakkan alatan dan mesin dengan gris atau minyak pelincir supaya tidak berkarat.
·         Melabelkan atau mengasingkan mesin yang rosak atau sedang diselenggara atau sedang diperbaiki.
·         Sentiasa membuat pemeriksaan alat atau mesin sebelum digunakan.

4.      Mematuhi peraturan-peraturan keselamatan lain di dalam bengkel
·         Sentiasa peka dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
·         Sentiasa bersikap bertimbang rasa dan sedia membantu rakan sekerja atau sekelas.
·         Menyediakan peralatan yang berkaitan sahaja dengan kerja amali yang dilakukan.
·         Hendaklah melaporkan dengan segera kepada guru jika terdapat alatan dan mesin yang digunakan rosak dan berbahaya kepada orang lain jika digunakan.
·         Kesemua jenis alatan yang tajam hendaklah dibawa dengan matanya sentiasa menghala ke arah bawah.
·         Membawa barang yang berbahaya atau yang panjang melalui laluan yang luas supaya tidak mendatangkan bahaya kepada diri sendiri, orang lain dan objek itu sendiri.

5.      Faedah mengamalkan keselamatan dan kesihatan
·         Dapat membendung dan mencegah risiko kemalangan, keracunan dan penyakit pekerjaan (kematian dan kecederaan).
·         Mengelakkan kerugian dari kerosakan dan kemusnahan harta benda.
·         Pekerjaan dapat dijalankan dengan tekun, efisyen dan produktif.

Papan Tanda Amaran Dan Carta Keselamatan Bengkel
Dalam bengkel kerja kayu dan logam, terdapat alat-alat yang tajam dan berbahaya.  Bagi mencegah kemalangan atau kecederaan, beberapa peraturan dan undang-undang diletakkan di papan tanda dan carta sebagai ingatan.  Pelajar juga juga patut mempunyai kertas cetak tentang undang-undang dan peraturan keselamatan bengkel.  Antara peraturan itu ialah :

·         Jangan berlari di dalam makmal atau bengkel.
·         Sentiasa membawa alatan yang tajam dengan mata alatan menghala ke bawah.
·         Sentiasa memegang dibelakang mata alatan pemotong.
·         Selepas digunakan, simpan alatan ditempatnya supaya meja tidak bersepah.
·         Jangan menggunakan alatan yang diragui cara penggunaannya.
·         Jangan menyentuh alatan atau mesin tanpa mendapat kebenaran daripada guru.

Carta keselamatan makmal dan bengkel yang seringkali ditemui ialah :
·         Mematuhi arahan setiap masa.
·         Utamakan keselamatan.
·         Kecuaian mengakibatkan kemalangan.

Click ads for your tq or like


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...