Want to know more, please click

Followers

Pages

Friday, September 30, 2011

Laporan Sesi Temubual Bersama Warga Emas Di Rumah Seri Kenangan, Johor Bahru

Tarikh              :  2 April 2008
Hari                 :  Rabu
Masa                :  8.00 Pagi – 2.30 Petang

1.1       Profil Warga Emas                  

            Pada sesi temubual yang saya telah lakukan menemukan saya dengan seorang warga emas.  Nama penuh beliau ialah Ismail Bin Lumo atau lebih dikenali sebagai Pak Mail.  Beliau lahir di Pagoh, Muar pada tahun 1925 dan kini usia beliau mencecah 83 tahun.  Pada usia kanak – kanak, beliau tidak mendapat sebarang pendidikan seperti anak – anak lain disebabkan kesempitan hidup pada masa itu.  Sehinggalah pada tahun 1946, beliau telah menyertai askar british bagi memerangi pengganas komunis.  Sebelum itu, beliau pernah dibawa oleh tentera Jepun ke Burma atas tujuan untuk dijadikan sebagai buruh paksa.  Namun demikian, beliau telah cuba melarikan diri dan sampai ke negara Singapura.  Disana, beliau telah bekerja sebagai buruh kepada tentera Jepun selama beberapa tahun dan akhirnya menyertai askar British.  Beliau telah dihantar ke Tampoi, Johor Bahru sebagai pelatih tentera selama 4 bulan dan terus dilantik menjadi askar British.

            Pada tahun 1950, beliau berhenti daripada menyertai perkhidmatan tersebut dan mendapatkan pekerjaan yang lain sebagai pengawal keselamatan di estet getah terletak di Johor.  Setelah daripada itu, beliau telah bertukar – tukar kerja iaitu sebagai buruh binaan, buruh ladang, pengawal keselamatan kilang dan sebagainya.  Kadangkala, ada satu masa Pak Mail tidak bekerja apa – apa pun bagi menyara hidupnya.  Usia Pak Mail kian lanjut, namun dia tetap tidak mendirikan rumahtangga dan tinggal sebatang kara.  Ini disebabkan sikap rendah diri beliau yang dikatakan menganggur tanpa sebarang pekerjaan pun.  Hari demi hari berlalu sehingga Pak Mail mengecapi usia tua iaitu 65 tahun.  Dengan keadaan dirinya yang hidup sebatang kara inilah beliau telah memohon untuk masuk dalam rumah kebajikan masyarakat.  Pada mulanya beliau berada di rumah kebajikan masyarakat negeri Pahang, namun demikian atas faktor – faktor tertentu, beliau telah di pindahkan ke Rumah Seri Kenangan, Johor Bahru.

1.1.1    Kehidupan Di Rumah Seri Kenangan

            Berdasarkan sesi temubual ini saya dapati bahawa Pak Mail senang tinggal disini.  Antara aktiviti harian yang beliau lakukan ialah membantu para pekerja di Rumah Seri Kenangan menghantar makanan kepada kawan – kawannya yang sudah tidak berupaya.  Selain itu, beliau turut membersihkan seluruh kawasan tempat tidurnya pada setiap hari seperti menyapu dan mengemop lantai.  Masa yang ada tidak terbuang begitu sahaja dimana beliau suka membaca suratkhabar yang telah disediakan dan ia dijadikan hobi pada setiap hari.  Seperti yang diceritakan kepada saya, dia mula pandai membaca setelah menyertai askar British.  Hasil daripada hubungan persahabatan beliau dengan rakan – rakan askar membantunya dalam belajar membaca sehingga fasih.  Selama tinggal disini, beliau tidak mengalami masalah dari segi mendapatkan makanan, tempat tinggal dan layanan daripada pihak Rumah Seri Kenangan.  Beliau amat gembira dan rasa bersyukur diatas apa yang telah beliau dapat apabila berada di sini.  Daripada pemerhatian, saya turut mendapati bahawa Pak Mail masih kuat dan menurut beliau dia mengamalkan pemakanan dan membuat aktiviti yang sihat.  Bagi penghuni yang lain, mereka mendapat rawatan seperti ubat – ubatan, kaunseling, dan khidmat doktor yang datang kemari.  Khidmat ini disediakan bagi memastikan semua penghuni di sini berada dalam keadaan sihat atau sekurang – kurangnya masih dapat membantu mereka meneruskan kehidupan.

1.2       Kemahiran Bimbingan Dan Kaunseling Yang Digunakan

            Kemahiran pertama yang telah saya gunakan ialah  tingkahlaku memberi perhatian.  Sebelum bermulanya sesi temubual, saya telah menentukan kedudukan saya dengan Pak Mail iaitu bertentangan antara satu sama lain.  Jarak diantara saya dengan beliau ialah kira – kira 2 kaki.  Dalam pada itu, saya telah memastikan Pak Mail duduk dalam keadaan selesa dan mudah untuk berkomunikasi.  Renungan mata, air muka, dan mimik muka saya turut dijaga bagi menunjukkan keyakinan Pak Mail apabila berkomunikasi dengan saya.  Soalan – soalan terbuka turut saya ajukan kepada Pak Mail bagi membolehkan penerokaan yang lebih mendalam.

            Kemahiran yang kedua pula ialah kemahiran mendengar.  Melalui kemahiran ini, saya telah menggunakan ketiga – tiga jenis kemahiran iaitu mendengar secara fizikal, mendengar dengan perasaan, dan mendengar secara psikologi.  Saya mempraktikkan jenis kemahiran yang pertama dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada gerak – geri Pak Mail.  Keadaan ini adalah bagi meransang kejelekitan perhubungan antara saya dengan Pak Mail.  Bagi jenis kemahiran mendengar yang kedua pula, saya telah berusaha mendalami dan membuat rumusan perasaan yang dialami oleh Pak Mail.  Saya turut bersedia mendengar apa sahaja yang diperkatakan oleh Pak Mail disamping memberikan peluang sepenuhnya kepada beliau menceritakan perkara yang dialaminya.  Mendengar dengan psikologi pula adalah dengan cara anggukan kepala bagi menunjukkan saya faham dengan apa yang diperkatakan oleh beliau.  Ini adalah bagi menyediakan suasana komunikasi serta tumpuan terhadap mesej yang disampaikan beliau agar merasa apa yang telah diceritakan dapat difahami oleh saya.

            Memahami dan merasai apa yang dialami oleh Pak Mail atau empati merupakan kemahiran ketiga yang telah saya praktikkan.  Dengan kemahiran ini, saya berusaha untuk menyelami perasaan yang dialami contohnya Pak Mail merasa takut pada masa bekerja dengan pihak tentera Jepun disebabkan ancaman terhadap nyawanya.  Jadi, pada masa itu saya turut menggambarkan situasi tersebut dan mendalami serta merasai seperti apa yang dirasai oleh Pak Mail.  Melalui kemahiran berempati saya dapat membina hubungan erat dengan Pak Mail selain dapat meransang penerokaan serta menggalakkan beliau untuk berkata – kata.

            Seterusnya, kemahiran yang saya gunakan ialah refleksi perasaan.  Refleksi perasaan ialah respons atau tindakbalas terhadap perasaan yang dialami oleh Pak Mail dengan menyatakannya menggunakan bahasa sendiri.  Sebagai contoh “...kejadian tersebut membuatkan pakcik menjadi takut terhadap tentera Jepun kan”.  Refleksi ini dilakukan bagi menyedarkan Pak Mail tentang kedudukan sebenar beliau ketika bekerja dengan tentera Jepun.

            Parafrasa merupakan kemahiran kelima yang turut saya gunakan.  Ia adalah penyataan semula dengan tepat oleh saya tentang apa yang telah Pak Mail perkatakan.  Sebagai contoh “..Ooh, ini menunjukkan bahawa pakcik seronok tinggal disini”.  Penyataan ini adalah daripada kisah hidup Pak Mail di sini dan bertujuan untuk menggalakkan perbincangan dan menunjukkan kefahaman terhadap fikiran dan perasaan beliau.  Kemahiran ini berguna bagi menumpukan kepada isu penting dalam memberi khidmat bimbingan kepada Pak Mail.

            Penjelasan pula merupakan kemahiran yang keenam yang saya gunakan semasa membuat sesi ini.  Kemahiran ini dipraktikkan bagi mendapatkan gambaran yang jelas tentang permasalahan yang dialami Pak Mail.  Penjelasan dilakukan dengan bertanyakan soalan – soalan terbuka yang saya ajukan kepada beliau sebagai contoh “bagaimanakah kehidupan Pak Mail disini?”.  Ia adalah bagi meransang beliau untuk menceritakan kisah sebenar dan dapat membantu proses penerokaan.

            Akhir sekali ialah kemahiran merumus.  Kemahiran ini merupakan pernyataan semula isi – isi penting dan perasaan Pak Mail sepanjang sesi kaunseling.  Saya telah menggunakan kaedah rumusan besar dimana rumusan di buat pada akhir sesi.  Daripada sesi ini, dapat disimpulkan bahawa kesan daripada hidup sebatang kara maka Pak Mail telah mengambil keputusan untuk tinggal di Rumah Seri Kenangan ini bagi menghabiskan sisa – sisa hidup beliau. 

1.3       Implikasi Sesi Temubual

            Daripada sesi temubual yang telah dijalankan, saya telah dapat mempraktikkan hampir kesemua kemahiran – kemahiran dalam bimbingan dan kaunseling yang telah dipelajari.  Kemahiran – kemahiran ini adalah seperti tingkahlaku memberi perhatian, kemahiran mendengar, empati, refleksi, parafrasa, penjelasan, dan rumusan.  Setiap daripada kemahiran ini sebenarnya berfungsi untuk mendapatkan perhatian daripada klien dan memberikan klien keselesaan semasa berkongsi masalah dengan saya.  Selain daripada itu, saya turut dapat belajar erti kasih sayang terhadap keluarga terutamanya ibu dan ayah.  Merekalah yang telah melahirkan dan membesarkan saya sehingga menjadi dewasa sekarang. Tanpa mereka, tiadalah saya di dunia ini.  Antara lain saya mendapat pengajaran daripada sesi temubual ini dimana pentingnya mempunyai hubungan yang erat dengan keluarga.  Perkara ini penting kerana kita atau saya sendiri akan memerlukan mereka semasa dalam kesusahan lebih – lebih lagi apabila mengecapi usia tua.  Dalam pada itu, usaha untuk mendapatkan jodoh juga perlu bagi mewariskan zuriat.  Sekiranya zuriat atau anak ini membesar dan menjadi dewasa maka sekurang – kurangnya kita masih mempunyai darah daging sendiri yang akan menjaga kita pada usia tua kelak.  Harapan saya pada sesi lawatan ke Rumah Seri Kenangan ini adalah supaya dapat menginsafi kejadian diri saya yang semestinya akan tua dan meninggal dunia.   

Click ads for your tq or like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...