Globalisasi? Satu istilah yang sudah biasa didengar oleh semua. Perkataan ini sudah menjadi sebutan umum tidak kira di mana-mana tetapi merupakan perkara yang paling kontroversi dalam masyarakat. Jika dilihat pada perkembangan semasa, terlalu banyak artikel mengenai globalisasi. Tidak keterlaluan dikatakan banyak topik karangan kelas menengah didominasi oleh topik ini. Jika tiada tajuk globalisasi sekalipun, pelajar tetap akan memulai atau memasukkan pendahuluan fakta mereka dengan frasa “pada zaman globalisasi”, “dalam era globalisasi” dan sebagainya. Namun mungkin ramai yang sudah menyedari benda yang dicanang- canang ini mempunyai impak yang besar pada masyarakat. Globalisasi boleh ditakrifkan sebagi satu usaha untuk mengubah nilai manusia khususnya cara berfikir dan cara bertindak yang dilakukan oleh satu daerah dunia yang lain. Manusia seluruh dunia lebih berhubung antara satu sama lain berbanding sebelumnya. Informasi dan aliran wang bertambah cepat, produk dan perkhidmatan yang terdapat di sesebuah tempat di dunia pantas kedapatan di segenap tempat dan perdagangan antarabangsa menjadi lebih kerap. Aspek geografi tidak lagi menghalang aktiviti ini daripada berlaku. Usaha globalisasi merupakan penerapan ideologi, budaya dan cara hidup kuasa-kuasa besar barat kedunia timur. Ramai pakar telah membuat definisi mereka tersendiri tentang globasisasi antaranya:
Nurcholish Majid mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses mengubah kehidupan manusia menuju kepada satu msyarakat sahaja. Modelski pula mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses penguasaan kuasa-kuasa besar terhadap pembentukan “World View” masyarakat antarabangsa dari segi ekonomi, politik dan demokrasi. Selain itu, Kenichi Ohmea juga mengemukakan pendapat beliau tentang globalisasi sebagai dunia tanpa sempadan yang bertujuan mengubah dunia menjadi satu unit sahaja. Proses ini dimudahkan lagi dengan adanya kemajuan dalam bidang teknologi, khususnya teknologi komunikasi dan perhubungan. Perkataan Globalisasi sebenarnya adalah daripada perkataan bahasa inggeris “Globalisation” yang bermaksud menyeluruh. Ia dikembangkan lagi dalam erti kata melayu yang membawa maksud “dunia tanpa sempadan”, dimana dunia yang seluas ini dapat dihubungkan dengan lebih mudah dan cepat seperti dalam satu perkampungan yang kecil dan sempit. Hal ini kerana dengan penciptaan alat-alat komunikasi yang canggih hasil daripada perkembangan sains dan teknologi, manusia dapat dihubungkan dengan lebih mudah dengan menggunakan telefon, komputer dan internet dan sebagainya walaupun berada dalam jarak yang sangat jauh. Dalam aspek globalisasi, dunia dilihat hanya sebagai ”satu perkampungan” dan segala maklumat dapat disampaikan dengan mudah ataupun dengan perumpamaannya “maklumat dihujung jari”.

Perkembangan dalam bidang sains dan teknologi yang banyak menyumbang kepada perkembangan globalisasi, telah banyak memudahkan kehidupan manusia untuk berhubung antara satu sama lain bagi menjalankan kegiatan ekonomi, politik dan sebagainya. Namun, jika kita lihat dengan lebih teliti, globalisasi sebenarnya ada banyak kebaikan dan juga banyak keburukannya. Walaupun globalisasi telah banyak membawa kebaikan dan kemajuan dalam kehidupan, ia juga tidak terlepas daripada membawa kepada keburukan jika disalahertikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab samada secara sengaja ataupun tidak. Dalam konteks lainnya, globalisasi tidak hanya memberikan kebaikan sahaja namun turut menyumbangkan kepada keburukan yang lebih cenderung kepada keruntuhan akhlak. Hal ini dapat dilihat pada keruntuhan akhlak para remaja pada masa ini yang serimg terikut-ikut dengan cara kehidupan barat. Selain itu, globalisasi juga turut membawa kebaikan dan keburukan dalam bidang ekonomi, penyebaran maklumat dan juga dalam bidang pemerintahan.
Globalisasi sebenarnya memang banyak mendatangkan kebaikan dalam kehidupan pada masa ini. Era globalisasi yang melanda dunia tidak lengkap tanpa kewujudan perkembangan teknologi maklumat. Sememangnya diakui bahawa teknologi maklumat akan memberi bentuk baru kepada corak hidup manusia. Melalui penyebaran maklumat secara besar-besaran sudah tentu akan membawa kita ke suatu peradaban elektronik. Seperti yang kita ketahui bahawa teknologi maklumat berkaitan dengan pelbagai cara menerima dan menyampaikan maklumat seperti perkataan, gambar, bunyi dan nombor yang dapat dibuat secara elektronik. Dengan ini, teknologi maklumat menggabungkan komputer dan telekomunikasi supaya dapat membentuk sistem-sistem bagi menguruskan maklumat. Internet ialah satu wadah yang digunakan untuk mendapatkan informasi dan maklumat terkini. Kini internet digunakan secara meluas bagi mendapatkan maklumat untuk kegunaan dalam semua bidang seperti dalam bidang pengiklanan, pendidikan, berita terkini dan juga sebagai bahan rujukan. Internet juga dapat memudah dan mempercepatkan proses dagangan antarabangsa mahupun tempatan tanpa perlu pergi ketempat dagangan tersebut. Ini memandangkan setiap urusan dagangan yang menyentuh aspek jenis barangan, kuantiti, kualtiti serta butiran lengkap tentang perjanjian jual beli akan dapat dilakukan dengan begitu cepat dan mudah melalui proses “e-dagang” dan kemudahan- kemudahan lain yang disediakan oleh kemajuan teknologi informasi dan komunikasi pada hari ini.

Jika kita lihat masyarakat pada masa dahulu, cara mereka berhubung dengan masyarakat yang tinggal berjauhan adalah sangat rumit dan memakan masa yang agak lama. Selain itu, mereka juga pada kebiasannya akan datang sendiri ke lokasi masyarakat lain yang ingin ditemuinya walaupun memakan masa yang agak lama dan memerlukan tenaga yang agak banyak hanya sekadar untuk menyampaikan sesuatu maklumat. Namun pada masa kini, dengan kecanggihan sains dan teknologi, segala maklumat yang ingin disampaikan dapat dihantar dengan menggunakan hujung jari seperti berhubung dengan menggunakan telefon, internet, telegram dan sebagainya tanpa memerlukan masa dan tenaga yang banyak. Jika dilihat pada kemajuan yang dikecapi pada masa ini, mayarakat abad ini dikatakan telah jauh lebih maju berbanding masyarakat zaman dahulu sebelum kewujudan era globalisasi.
Selain itu, dengan adanya kemudahan internet juga dapat memberi peluang kepada para pakar membuat analisis samada untuk tujuan pelaburan, mencari rakan kongsi mahupun kesesuaian melabur disesebuah negara dengan hanya melayari internet. Selain itu juga, intenet dapat membantu menyediakan peluang yang lebih besar kepada masyarakat untuk menceburi bidang perniagaan yang mereka minati serta sesuai dengan kemampuan dan kemahiran yang mereka miliki mahupun membesarkan urusniaga yang telah mereka jalankan, mencari rakan kongsi dalam perdagangan antarabangsa mahupun mencari peluang memperluaskan perdagangan diperingkat antarabangsa. Perkara ini adalah rentetan daripada kemudahan internet yang dapat menyalurkan maklumat dengan mudah keserata dunia tanpa sempadan. Mereka boleh mengiklankan tentang perniagaan mereka di internet dan dengan cara ini masyarakat diseluruh dunia dapat dimaklumkan tentang perniagaan tersebut dengan mudah dan cepat.

Bagi para pelajar pula, mereka dapat mencari maklumat dan rujukan tambahan untuk proses pembelajaran mereka melalui kemudahan internet. Sekiranya mereka tidak dapat mencari bahan rujukan dalam bentuk buku ataupun media cetak yang lain, para pelajar boleh menggunakan insiatif lain untuk mencari maklumat dengan menggunakan internet. Kaedah ini adalah lebih cepat kerana para pelajar hanya perlu menaip tajuk rujukan yang diperlukan pada engin pencarian sesuatu laman web yang berkenaan, setiap rujukan akan terpampang pada skrin komputer. Dengan menggunakan kaedah ini, para pelajar mungkin dapat lebih memahami tentang pembelajarannya kerana telah mempunyai pelbagai rujukan tambahan untuk pembelajaran mereka. Selain itu, dengan perkembangan era globalisasi dan kemajuann komputer dan internet, lahirlah satu kaedah pembelajaran yang baru iaitu Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) untuk menyertai kelas tambahan dimana dengan menggunakan kaedah ini para pelajar tidak perlu datang ke kelas tambahan tersebut untuk belajar tetapi hanya duduk didepan komputer tidak kira dirumah ataupun dimana sahaja asalkan komputer tersebut disambungkan ke internet supaya dapat berhubung dengan tempat mereka belajar.