credit to Khalid Yasin
DALAM era globalisasi dan kepesatan teknologi maklumat, nilai Barat yang negatif dan bertentangan dengan Islam dengan senang menular dan mempengaruhi masyarakat Malaysia.
Ditambah pula dengan lemahnya iman dan kekuatan jati diri, seseorang individu itu akan mudah terpikat dan terikut-ikut dengan godaan dan hawa nafsu.
Sikap memandang remeh kepada masalah besar seperti gejala sosial boleh mengundang padah. Budaya berhibur yang keterlaluan (entertainment culture) dan budaya hedonisme (berseronok) yang merupakan antara faktor kejatuhan tamadun Greek boleh turut meruntuhkan tamadun Melayu Islam.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika bercakap kepada pemberita selepas memberi ceramah di sebuah sekolah di Seremban baru-baru ini berkata, jika kita belajar agama, kita akan menjadi manusia yang berjaya apabila menggunakan al-Quran dalam kehidupan seharian kerana Islam itu adalah cara hidup.
“Pelajaran agama penting kerana Islam adalah cara hidup dan kalau mengikut cara hidup Islam, kita tidak akan gagal, kalau tidak ikut, kita akan gagal,” katanya,
Menjawab soalan mengenai masalah sosial dan jenayah membabitkan pelajar sekolah yang meningkat, Dr Mahathir berkata, sebahagian adalah disebabkan kelemahan sistem pendidikan dan sebahagian lagi adalah disebabkan persekitaran.
Beliau berkata, penggunaan internet adalah untuk mendapatkan ilmu dan informasi tetapi internet juga boleh diakses untuk pornografi.
“Kita boleh sekat, boleh tapis seperti di negara China dan Jerman. Kita boleh buat kerana pada masa ini remaja berusia 15 dan 16 tahun pun tengok, mereka jadi macam gila apabila nampak perempuan.
“Keadaan persekitaran pada masa ini juga adalah sangat teruk dan kita perlu mengenakan tindakan terhadap mereka yang melakukan jenayah dengan mengenakan hukuman berat. Moral kita pada masa ini sudah teruk, sudah runtuh, tak ada moral langsung.
“Kalau ada undang-undang tak kuatkuasa pun tak guna. Perkara utama dalam hal ini bukan undang-undang sahaja tetapi peranan yang perlu kita mainkan seperti ibu bapa dan masyarakat keseluruhannya,” katanya.
Berpegang kepada kata-kata bekas perdana menteri itu, pembanterasan gejala sosial itu adalah tanggungjawab bersama semua pihak dan bukan sahaja diserahkan bulat-bulat kepada kerajaan.
Komitmen semua pihak diperlukan bagi mewujudkan satu tindakan bersepadu sesama agensi kerajaan dan masyarakat keseluruhannya.
Pengarah Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Amini Amir Abdullah ketika membentangkan kertas kerja berkaitan menangani gejala sosial menurut perspektif Islam di Melaka, baru-baru ini berkata, semua pihak mesti berasa risau dengn gejala sosial kerana takut Allah akan menghancurkan binasakan semua kita.
Seperti firman Allah s.w.t yang katanya bermaksud: “Dan apabila sampai tempoh kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan (lebih dahulu) orang yang melampau dengan kemewahan antara mereka (supaya taat) lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya, maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkan sehancur-hancurnya.”