Want to know more, please click

Followers

Pages

Thursday, January 27, 2011

Harus niat puasa sebulan

SOALAN 1

Adakah wajib saya berniat setiap hari sepanjang bulan Ramadan atau memadai saya berniat sekali sahaja untuk sebulan?
JAWAPAN:
Kebanyakan ulama berpendapat seseorang yang berpuasa di bulan Ramadan hendaklah berniat setiap hari. Namun demikian diharuskan berniat untuk satu bulan Ramadan.
Perbezaan pendapat adalah berpunca dalam melihat bulan Ramadan itu sendiri. Golongan yang mensyaratkan niat setiap hari kerana ibadat puasa adalah ibadat yang terpisah antara hari-harinya.
Maksudnya, jika dilihat ibadat puasa serta rukunnya jelas ia terpisah. Ini kerana puasa itu bermula dari mula azan subuh hingga azan maghrib. Selepas azan maghrib hingga azan subuh kita tidak lagi berpuasa. Itulah yang dimaksudkan dengan ibadat yang terputus antara hari-harinya.
Bagaimanapun, golongan yang mengharuskan niat puasa untuk sebulan adalah berdasarkan kepada bulan itu sendiri. Maksudnya, bulan Ramadan adalah bulan puasa maka harus berniat puasa untuk keseluruhannya.
Maka dalam meneliti pendapat-pendapat ulama serta nas-nas yang serta dalil yang dikemukakan jelas kedua-duanya betul. Justeru, ingin disarankan di sini bahawa harus kita menghimpun kedua-dua kaedah di atas dengan berniat pada hari pertama dengan dua cara niat, satu untuk setiap hari dan satu lagi niat untuk sebulan.
Lafaz niat untuk sebulan dalam bahasa Melayu adalah: “Sahaja aku niat puasa fardu Ramadan untuk esok hari bagi tahun ini kerana Allah Taala”, manakala untuk sebulan pula: “Sahaja aku niat puasa bulan Ramadan keseluruhannya kerana Allah Taala”.
Maka dengan berbuat demikian kita telah mengambil jalan selamat, iaitu kita mesti berusaha untuk berniat setiap hari dalam masa yang sama kalau ada hari yang terlupa untuk berniat maka cukuplah niat kita pada permulaan Ramadan untuk sebulan.

SOALAN 2:
Apabila mengangkat takbiratulihram, adakah kita perlu sertakan niat di dalam hati? Maksud saya, semasa kita menyebut Allahu Akbar, kita perlu berniat di dalam hati contohnya seperti “sahaja aku sembahyang fardu maghrib tiga rakaat kerana Allah Taala”? Atau adakah cukup niat hanyalah lintasan di dalam hati?
JAWAPAN:
Setiap amalan bermula dengan niat. Niat itu pula tempatnya di hati. Niat di dalam hati maksudnya bicara hati dalam memfokuskan sesuatu ibadat kerana Allah SWT.
Contohnya niat solat, niat itu bermula apabila takbiratul ihram dilakukan. Niat mesti seiring dengan perbuatan yang pertama dilakukan dalam solat. Dalam hal ini hadis Rasulullah SAW yang dibawa oleh Umar bin al-Khattab r.a dapat membantu, yang bermaksud: Sesungguhnya amalan-amalan itu bermula dengan niat-niat dan sesungguhnya bagi setiap orang itu (ia akan perolehi berdasarkan) untuk apa diniatkannya… (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Imam Ahmad dan al-Syafie telah berkata: “Hadis ini: Sesungguhnya amalan-amalan itu bermula dengan niat-niat, termasuk sepertiga dari ilmu”. Ini disebabkan setiap amalan anak Adam akan bermula dengan niat.
Setiap perbuatan hamba itu terjadi dari tiga galur, iaitu dengan hatinya, lidahnya dan anggota-anggotanya. Niat dari hati merupakan salah satu dari ketiga-tiga bahagian ini.
Waktu berniat adalah pada awal mengerjakan ibadah, seperti takbiratul ihram untuk solat atau di waktu berihram untuk mengerjakan haji.
Tempat niat adalah dalam hati dan tidak disyaratkan untuk melafazkan niat tersebut. walaupun demikian adalah diharuskan untuk melafazkannya agar lidah dapat membantu menghadirkan niat itu.
Apa yang disyaratkan dalam niat itu ialah, penentuan (ta’yin) perkara yang diniatkan itu dan membezakan dari yang selainnya. Justeru, adalah tidak memadai sekadar berniat mengerjakan solat sahaja tetapi malahan mestilah apakah solatnya, fardu atau sunat atau qada, sama ada solat itu zuhur, asar atau maghrib.
Niat juga untuk membeza antara adat dan ibadat. Ia juga untuk mendapatkan fokus dalam solat, supaya kita tahu bahawa yang kita ingin lakukan adalah ibadat yang akan dipersembahkan kepada Allah SWT.
Kesukaran yang dihadapi dalam melakukan dua perkara serentak akan menjadi mudah jika tahu kaedahnya. Ungkapan Allahu Akbar yang dilafazkan pada permulaan solat perlu disertakan dengan niat.
Untuk itu tidaklah perlu seseorang itu menyusun ayat sepanjang-panjangnya seperti, “Sahaja aku solat zuhur empat rakaat tunai kerana Allah Taala”. Apa yang perlu dihadirkan dalam hati ketika niat adalah, solat apa? Zuhur, asar atau maghrib, tunai atau qada serta kerana siapa.
Maksudnya cukup dan sah niat solat seseorang itu jika ada “zuhur empat rakaat tunai kerana Allah”.
Niat solat memadai dengan adanya tiga perkara tersebut. Seringkali saya sebut niat yang dilakukan dalam solat beserta dengan takbir tidak ubah seperti menyuap nasi ke dalam mulut, bila tangan menghulur nasi ke mulut secara spontan mulut ternganga.
Apa yang penting ketika melakukan solat adalah memberi tumpuan yang serius dengan mengenepikan kesibukan dunia dengan menghadirkan kehebatan Allah SWT.
Solatlah waktu kita berkomunikasi dengan Allah secara khusus dengan memuji dan meminta padanya Yang Maha Agung.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...