Pages

Tuesday, May 10, 2011

Iman Dan Akhlak : Asas Peradaban

 “Sesungguhnya aset dan kekayaan yang paling bernilai bagi sesebuah negara atau bangsa bukanlah emas dan perak mahupun hasil-mahsulnya tetapi yang bernilai dan berharga itulah manusia….” Demikianlah yang dilafazkan oleh Dr. Yusuf Abdullah al-Qaradawi dalam ucapannya kepada golongan belia dalam kunjungannya ke Malaysia suatu ketika dahulu. Jika pandangan beliau ini dapat ditafsirkan dengan lebih lanjut, ia boleh memberi maksud bahawa keutuhan, kejayaan dan kegemilangan sesebuah negara bergantung pada manusia yang mencorakkan pemerintahan serta pentadbirannya selain menggerakkan perancangan yang diatur. Di sinilah juga terserlahnya peranan yang perlu dilaksanakan oleh pemerintah dan rakyatnya. Pemerintah yang berwibawa akan menjalankan pemerintahan berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan dengan adil, amanah lagi cemerlang manakala rakyat memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pemerintah dan mencurahkan bakti dengan sepenuh hati.

Banyak bangsa dan negara di dunia yang telah berjaya membuktikan kemampuan mereka untuk membina tamadun yang dikagumi dan dijadikan teladan. Namun, apakah sebenarnya ciri yang menjadikan bangsa atau negara tersebut berbeza dari sudut pencapaian masing-masing? Ia tidak lain dan tidak bukan, hanyalah prinsip yang menjadi asas tamadun yang dibina. Inilah keistimewaan dan keunikan misalnya yang ada pada tamadun Islam dan umatnya yang mendirikan tamadun yang sungguh gemilang bermula sejak 7 Masihi lagi.

Antara prinsip utama tamadun Islam termasuklah aqidah yang suci dan teguh kepada Allah s.w.t., syari`ah sebagai panduan dan peraturan hidup serta akhlak serta pekerti yang mulia. Dengan prinsip yang teguh inilah, umat Islam dapat membina tamadun yang amat gemilang dan melalui tamadun itulah juga umat Islam berjaya menzahirkan jiwa, keperibadian serta perwatakan mereka yang sebenar kepada warga dunia.

Jiwa, keperibadian dan perwatakan yang ditunjukkan oleh sahabat-sahabat Nabi s.a.w. dalam mencorakkan tamadun awal Islam menunjukkan bahawa Islam mendorong umatnya mencapai kemajuan menurut acuan yang ditentukan oleh al-Qur’an serta al-Sunnah. Maka dengan itu lahirlah Madinah al-Munawwarah, sebuah negara yang sentiasa menjadi model sehingga hari ini. Kecemerlangan Madinah sebagai pusat kerajaan Islam menarik perhatian bangsa lain di dunia ketika itu kerana kehebatan personaliti Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpinnya dan juga warga Madinah yang majmuk sifatnya tetapi berupaya membentuk suasana kehidupan yang aman harmoni.

Kestabilan politik Madinah dan keharmonian kehidupan penduduknya sebenarnya berasaskan sebuah piagam yang tertua di dunia dan yang terawal ditulis, iaitu Piagam Madinah yang mengandungi 47 fasal atau perkara. Dalam piagam ini dinyatakan tentang kepemimpinan negara (Perkara 1 & 23), perpaduan (Perkara 2), pengiktirafan kaum (Perkara 3 hingga 11), keselamatan (Perkara 3 hingga 10, 13 & 24), jaminan social (Perkara 2, 10, 11 hingga 16) dan kebebasan mengamalkan ajaran agama (Perkara 25).

Kejayaan demi kejayaan dicapai oleh Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat Baginda dalam segenap aspek; sosial, politik, ekonomi, pertahanan serta ketenteraan dan sebagainya. Namun, ada kalanya pula Baginda diuji dengan pelbagai cabaran seperti yang berlaku dalam beberapa peristiwa seperti Perang Uhud yang mencatat kekalahan bagi tentera Islam. Pada awalnya, tentera Islam berjaya membuatkan tentera musuh berundur, namun disebabkan cuai dan leka, mereka akhirnya terkepung lalu ditewaskan dan banyak pejuang agung Islam, antaranya Hamzah ibn `Abdil Muttalib terkorban syahid. Kekalahan ini seterusnya dijadikan sumber kekuatan untuk bangkit mencipta lebih banyak kemenangan. Rahsia kejayaan umat Islam pada zaman keagungan Islam ini berdasarkan keimanan mereka yang amat tinggi terhadap Allah s.w.t., ketaatan mereka terhadap perintah serta larangan-Nya di samping keperibadian serta akhlak mereka yang sungguh luhur. Mereka telah dididik oleh Rasulullah s.a.w. dengan sifat serta amalan hidup yang suci murni. Misalnya kita dapat melihat bagaimana mereka amat bertaqwa kepada Allah s.w.t. dalam segenap keadaan dan dalam semua perkara, mengamalkan nilai-nilai mulia seperti ithar (mengutamakan orang lain berbanding dengan kepentingan diri), berkasih sayang, sentiasa berkorban apa sahaja demi agama Allah dan sebagainya. Sifat-sifat mulia ini dijelaskan dalam ayat al-Qur’an (Surah al-Fath (48), ayat 29 dan Surah al-Hasyr (59), ayat 8-10).

Kehidupan bermasyarakat mereka begitu harmoni dan stabil disebabkan sifat-sifat mulia ini, terutamanya sifat berkasih sayang sesama mereka kerana Allah s.w.t. Dalam hubungan ini, sudah tentulah galakan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. menjadi asas bagi “hubungan hati” sesama mereka yang begitu intim lagi tulus sifatnya. Misalnya ialah sebuah Hadith daripada Mu`az ibn Jabal r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah berfirman, `Kasih sayang-Ku wajib bagi mereka yang berkasih sayang pada (jalan)-Ku, bagi mereka yang duduk bersama-sama pada (jalan)-Ku, bagi mereka yang ziarah-menziarahi pada (jalan)-Ku dan bagi mereka yang saling beri-memberi pada (jalan)-Ku.” (Al-Tabarani)

Zaman Rasulullah s.a.w. merupakan zaman kegemilangan sistem sosial, politik dan ekonomi. Umat Islam pada ketika itu telah berjaya membentuk sebuah masyarakat (ummah) yang bersatu padu di bawah pemerintahan kerajaan Islam yang kukuh. Walaupun kemajuan sains dan teknologi pada waktu itu tidaklah secanggih zaman moden tetapi asas tamadun telah dibina dengan kukuhnya. Asas yang kukuh inilah yang kemudiannya menjadi inspirasi yang begitu kuat mendorong generasi sesudah sahabat mencapai kegemilangan dalam hampir semua bidang.

Prinsip kejayaan Rasulullah s.a.w. dalam membina sebuah negara yang gemilang sifatnya terletak pada kegigihan Baginda membentuk masyarakat yang teguh iman serta peribadinya. Jika kejayaan yang sama mahu dicapai oleh kita pada zaman yang serba mencabar ini, maka prinsip yang sama haruslah dijadikan pegangan. Maka dengan demikian, pengukuhan aqidah dan akhlak setiap individu perlu menjadi agenda utama perjuangan. Tumpuan dan perhatian sudah pastilah tertumpah pada anak-anak kecil dan yang muda remaja yang akan menjadi pemimpin pada masa hadapan. Golongan muda remaja khususnya perlulah ditanamkan semangat juang yang tinggi untuk berusaha mencapai kejayaan serta kegemilangan demi agama, bangsa dan negara.

Kecerdasan fizikal dan mental golongan muda haruslah dimanfaatkan sepenuhnya. Mereka haruslah disedarkan tentang kelebihan dan potensi yang dimiliki. Bukankah al-Qur’an juga mengisahkan sedemikian banyak tokoh-tokoh pejuang muda pada zaman silam yang terdiri daripada Nabi-nabi seperti Nabi Ibrahim a.s. yang menghancurkan berhala kaumnya pada usia yang masih muda dengan beraninya, Nabi Isma`il yang amat taat akan perintah Allah s.w.t. dan Nabi Yusuf a.s. yang diuji dengan pelbagai dugaan sejak kecil hinggalah dewasa, khususnya semasa usia mudanya disebabkan rupa parasnya yang amat kacak. Selain Nabi-nabi ini, al-Qur’an juga menceritakan perihal sekumpulan belia yang beriman dan mereka menentang syirik serta kemungkaran yang berlaku dalam negara. Mereka ini yang disebut sebagai Ashab al-Kahfi, mempertahankan aqidah walaupun terpaksa melarikan diri dari kampung halaman. Allah memuliakan mereka dengan menamakan salah satu surah dalam al-Qur’an sebagai Surah al-Kahf.

Jika diteliti sejarah perjuangan Nabi-nabi pula, didapati bahawa pembantu mereka juga terdiri daripada golongan belia. Sebagai contoh, Nabi Musa a.s. dibantu oleh Nabi Harun a.s. dan Nabi `Isa pula dibantu oleh golongan Hawariyyun yang gagah perkasa. Demikian juga dengan Nabi Muhammad s.a.w. yang dibantu oleh sahabat-sahabat yang majoritinya terdiri daripada golongan muda. Abu Bakar r.a. yang paling akrab dengan Nabi berusia 37 tahun, `Umar r.a. pula berusia 27 tahun, `Ali k.w. berusia 10 tahun dan al-Zubair ibn al-`Awwam menyertai perjuangan Rasulullah s.a.w. ketika berusia 15 tahun.

Generasi Islam seterusnya juga mencatat sejarah perjuangan dan keberanian golongan belianya seperti Muhammad ibn al-Qasim, 17 tahun yang menyertai perjuangan menawan Benua Kecil India, Muhammad ibn Murad (Muhammad al-Fatih) yang mula merancang untuk menawan Istanbul pada usia 20 tahun dan berjaya mencapai cita-cita ini pada 20 Jamadil awal 857H. (29 Mei 1453M.)

Khusus bagi golongan remaja dan belia negara ini, kita amat berharap agar mereka berpegang dengan matmalat dan wawasan hidup yang suci dan sebelum tangggungjawab kepemimpinan pada masa hadapan diserahkan kepada mereka, maka segala persediaan yang secukupnya perlulah diberikan. Dengan kata-kata lain, segala masalah yang berkaitan dengan golongan remaja dan belia ini seperti krisis keruntuhan akhlak haruslah diselesaikan secara tuntas. Untuk tujuan ini, mereka perlu diberikan pendidikan Islam secara komprehensif, akal mereka dibekalkan dengan semua cabang ilmu, tubuh mereka dilatih dengan segala kekuatan fizikal, roh mereka diasuh dengan kekuatan ibadah khusus serta umum dan akhlak mereka dipupuk dengan nilai murni lagi mulia. (Dr. Yusuf Abdullah al-Qaradawi, 1996, Wajah Baru Belia, Siri Sarjana Celdes). Jika semuanya ini dapat dicapai, maka mudahlah bagi negara melaksanakan perancangan membina peradaban menurut acuan serta bentuk yang ditentukan. Peradaban ini pula diharapkan menjadi contoh sehingga diturut jejak dan langkahnya sepanjang zaman.
Click ads for your tq



No comments:

Post a Comment