Pages

Tuesday, May 10, 2011

GEJALA SOSIAL DAN KELUARGA

Banyak yang telah kita dengar tentang gejala sosial. Berbagai gejala sosial telah melanda masyarakat kita dan aktiviti yang terlibat begitu pelbagai sekali, baik yang dilakukan oleh remaja, mahupun oleh orang dewasa. Namun, oleh kerana golongan remaja merupakan bakal pewaris negara ini, maka kegiatan merekalah yang paling hangat diperkatakan.
Gejala seperti membuang bayi, ponteng sekolah, lari dari rumah, mengamalkan seks bebas, serta melepak tidak lagi memeranjatkan kita. Kini, penemuan baru menunjukkan anak muda kita bukan sahaja jaguh dalam gejala sosial tadi, tetapi juga dalam kegiatan jenayah seperti membunuh, cuba membunuh, samun tanpa senjata api mahupun dengan senjata api, merogol, menyebabkan kecederaan, pelacuran dan vandalisme.
Bagaimana ini boleh terjadi? Apa yang sudah berlaku kepada anak muda kita sehingga mereka tergamak melakukan semua ini? Berbagai faktor telah diutarakan dalam cubaan untuk menjawab soalan ini dan salah satu jawapan yang menjadi begitu popular sejak akhir-akhir ini ialah "keluarga". Keluargalah yang menyebabkan anak-anak jadi begitu.
Sebagai contoh, Berita Harian bertarikh 20 Oktober 1998 melaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu mendapati keruntuhan institusi keluarga adalah punca utama kepada peningkatan masalah moral di kalangan remaja bawah umur di negeri tersebut.
Pada 30 November 1998 pula, akhbar yang sama melaporkan bahawa menurut Datuk Paduka Zaleha Ismail, kanak-kanak dari keluarga nuklear kurang berkesempatan berinteraksi dengan keluarga menyebabkan gejala sosial mudah mempengaruhi mereka.
Akhir sekali, Harian Metro bertarikh 1 Februari 1999 melaporkan Zaleha Ismail berkata bahawa gejala sosial yang semakin menular berpunca dari keruntuhan institusi keluarga dan kurangnya kasih-sayang dari keluarga.
Ketiga-tiga laporan ini menunjukkan bagaimana institusi keluarga menyumbang kepada wujudnya gejala sosial dalam masyarakat. Laporan pertama merujuk kepada keruntuhan institusi keluarga, laporan kedua kepada tiadanya kesempatan untuk berinteraksi dengan ahli keluarga, manakala laporan ketiga merujuk kepada keruntuhan keluarga dan kurangnya kasih-sayang.
Mengaitkan gejala sosial dengan keluarga bukanlah satu perkara baru. Suatu ketika dahulu ia hanya perkaitan dari segi gejala sosial yang berlaku dalam lingkungan keluarga, misalnya gejala seperti penganiayaan isteri, penganiayaan kanak-kanak, suami kaki botol dan sumbang-mahram, yang semuanya berlaku dalam lingkungan keluarga.
Kemudian, perkaitan yang dimaksudkan menjadi lebih saintifik. Misalnya, dikatakan anak yang membesar dari keluarga yang runtuh berkecenderungan untuk memiliki keluarga yang runtuh di masa depan. Begitu juga perkaitan bahawa kanak-kanak yang dianiaya akan cenderung untuk menjadi seorang dewasa yang agresif. Dalam kata lain, perkaitan seumpama ini menunjukkan bahawa individu yang menjadi mangsa sesuatu gejala sosial akan dewasa menjadi individu yang menyumbang kepada gejala sosial itu itu sendiri.
Mungkin kerana kesahihan analisa seumpama itu diragukan, maka ianya ditolak dan perkaitan baru pula timbul. Satu darinya ialah dengan melihat status sosio-ekonomi keluarga tersebut. Maka timbullah perkaitan seperti, remaja yang terlibat dengan aktiviti kurang sihat datangnya dari keluarga yang miskin. Atau, remaja yang terlibat terdiri dari mereka yang datang dari keluarga induk (singleparent). Namun, tidak semua dari kita boleh menerima bulat-bulat perkaitan ini. Ini adalah kerana ramai di antara kita dan orang-orang yang kita kenali, berasal dari keluarga miskin atau keluarga induk, tetapi tidak terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat. Oleh kerana analisa ini juga tidak dapat diterima seratus peratus, maka kini timbul pula perkaitan baru yang mungkin lebih meyakinkan.
Apa yang dimaksudkan dengan perkaitan baru ini ialah seperti yang disebutkan oleh Datuk Paduka Zaleha Ismail tadi iaitu "… kurangnya masa berinteraksi …" dan "… kurangnya kasih sayang …". Ataupun apa-apa kekurangan lain yang seumpama dengannya. Pope, C.E. dalam artikelnya yang bertajuk "The Family, Delinquency and Crime" menyebut, "… perceraian, keluarga induk, cara mendisiplin yang tidak sesuai, kurang pengawasan, kurangnya ikatan positif dengan ibubapa, saiz keluarga yang besar dan seumpamanya telah dikenalpasti berpotensi untuk mempunyai perkaitan dengan tingkahlaku yang tidak sesuai."
Dalam mencari jawapan kepada persoalan mengapa ada di kalangan ahli masyarakat yang terlibat dengan jenayah dan delinkuensi, pengkaji masyarakat telah menghasilkan beberapa buah teori. Ada di antaranya yang melihat keluarga sebagai penyumbang kepada gejala ini.
Satu daripadanya ialah Teori Peluang (Opportunity Theory) yang diasaskan oleh Robert K. Merton. Menurut Merton, dalam masyarakat moden, terdapat satu sistem matlamat yang ingin dicapai serta cara yang berbeza untuk mencapainya. Di Amerika Syarikat, matlamat untuk berjaya amat berakar umbi dan kejayaan biasanya didefinisikan sebagai kejayaan kewangan. Walau bagaimanapun, peluang-peluang yang sah untuk mencapai matlamat ini tidak terbuka kepada semua. Akibatnya, ada di kalangan ahli masyarakat yang terpaksa menggunakan cara-cara yang tidak sah untuk mencapai matlamat tersebut.
Merton mengenalpasti lima jenis penyesuaian dalam berhadapan dengan situasi ini. Ia adalah (i) Conformity (Akur); (ii) Innovation (inovasi); (iii) ritualism, (iv) retreatism; dan, (v) rebellion. Antara kelima-lima bentuk penyesuaian ini, hanya dua yang pertama perlu dibincangkan. Penyesuaian pertama (akur) merujuk kepada golongan yang menerima matlamat-matlamat masyarakat dan menggunakan cara-cara yang sah untuk mencapainya. Misalnya, pelajar universiti yang tekun dan menyiapkan diri untuk ganjaran masa depan. Sebaliknya, golongan inovasi merujuk kepada merka yang menerima matlamat tersebut tetapi menolak (atau tidak mempunyai) cara-cara yang sah untuk mencapainya. Golongan ini berkecenderungan untuk terlibat dengan jenayah dan delinkuensi untuk mencapai kejayaan.
Teori kedua ialah Teori Kawalan (Control Theory) yang diasaskan oleh Hirschi. Pokok kepada teori ini ialah sosialisasi. Andaiannya ialah kanak-kanak tidak belajar dari naluri, sebaliknya mereka perlu disosialisasikan dengan tingkahlaku yang diterima masyarakat. Ibubapa memainkan peranan utama dalam hal ini. Teori ini berbeza dari teori lain dari segi premis permulaannya. Biasanya, teori tentang jenayah dan delinkuensi bermula dengan soalan, "Mengapa orang melakukan jenayah dan delinkuensi?" Tetapi teori ini bermula dengan soalan, "Mengapa tidak semua orang melakukannya?" Dalam kata lain, apa yang mengikat individu dengan masyarakatnya sehingga menyebabkannya menjauhi perbuatan tersebut?
Hirschi telah membentuk teori ini dari perspektif sosiologi dan kemudiannya menguji teorinya itu ke atas sekumpulan pelajar sekolah menengah. Dari situ, beliau telah mengenalpasti empat komponen yang mengikat individu kepada masyarakat yang seterusnya mengurangkan tingkah laku jenayah dan delinkuensi. Komponen pertama ialah attachment (keterikatan). Ia merujuk kepada sejauhmana individu sensitif kepada kehendak dan nilai orang lain. Komponen kedua ialah commitment (komitmen) yang merujuk kepada sejauhmana individu menggunakan masa dan tenaganya untuk aktiviti-aktiviti konvensional. Komponen ketiga ialah involvement (keterlibatan) iaitu sejauhmana individu melibatkan diri dengan nilai dan aktiviti yang konvensional. Akhir sekali, belief (kepercayaan) iaitu sejauhmana individu menerima keesahan moral sesuatu peraturan konvensional.
Hirschi temui bahawa, keterikatan kepada ibubapa amat berkait rapat dengan tingkahlaku mengikut peraturan tanpa mengira status sosial mereka. Ini bererti remaja yang sensitif dengan kehendak dan nilai ibubapa mereka kurang cenderung untuk menjadi delinkuen tanpa mengira sama ada ibubapa itu dari kelas atasan, pertengahan mahupun bawahan.
Keterikatan dengan sekolah dan kawan-kawan yang konvensional juga penting untuk menjauhkan aktiviti delinkuensi. Begitu juga dengan kebolehan akademik, pencapaian akademik serta sensitiviti terhadap kehendak guru. Teori ini menekankan kepada kepentingan hubungan keluarga dan berpendapat hubungan yang buruk antara ibubapa dan anak sebagai faktor utama tingkahlaku jenayah dan delinkuensi.
Teori ketiga ialah Teori Pembelajaran Sosial (Social Learning Theory). Jika teori kawalan memfokus kepada keterikatan anak-anak dengan ibubapanya, teori pembelajaran sosial ini menekankan kepada proses bagaimana anak-anak belajar norma-norma kemasyarakatan. Jika mesej yang disampaikan oleh ibubapa dan agen-agen yang lain adalah positif, dan jika anak-anak menerimanya dengan baik, manakala pengaruh lain adalah sama, anak itu akan cenderung untuk membesar dengan nilai-nilai yang baik.
Secara keseluruhannya, teori-teori tadi menyentuh tentang peranan keluarga dalam menyebabkan tingkahlaku jenayah dan delinkuensi. Teori Peluang memfokus kepada hubungan antara kekurangan peluang yang sah dan kehadiran peluang yang tidak sah dan kaitannya dengan jenayah. Teori Kawalan memfokus kepada ikatan konvensional yang mengikat individu kepada masyarakat dan menyebut bahawa keterikatan kepada ibubapa sebagai penghalang utama kepada tingkahlaku delinkuensi. Akhirnya, Teori Pembelajaran Sosial melihat bagaimana norma-norma yang diterima masyarakat dipindahkan dalam lingkungan keluarga. Jika pengajaran ini lemah atau tidak dilakukan dengan berkesan, anak-anak cenderung untuk melakukan yang sebaliknya.
Dalam Islam, ibubapa bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak untuk menjadi ahli masyarakat yang berguna kepada keluarga, agama dan bangsa. Sama ada ibubapa itu senang atau susah, sama ada keluarga itu ada ibu dan bapa atau hanya ada ibu atau bapa sahaja, penjaga tidak terkecuali dari tugas ini. Cuma mungkin dalam keadaan kemiskinan dan keluarga induk, masa untuk mendekati dan mendidik anak dengan nilai-nilai yang murni dan mulia agak terbatas. Namun jika kajian menunjukkan mendidik anak-anak dengan nilai-nilai mulia ini amat penting untuk menjauhkan anak dari jenayah dan delikuensi, maka pastinya usaha untuk mencari masa dan mendidik anak-anak dengan apa yang mereka perlu tahu, bukanlah sesuatu yang sia-sia. Oleh
Siti Fatimah Abdul Rahman
Click ads for your tq


No comments:

Post a Comment