PENGENALAN
Pengalaman pertama bertemu muka dan beramah mesra dengan usahawan ternama di Malaysia ini bukan sahaja membuatkan kami kagum dengan kejayaan beliau malah merasa bangga kerana usahawan berbangsa Arab ini cuba menaikkan taraf usahawan-usahawan atau peniaga-peniaga Melayu di negara ini. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman semasa ditemubual. Siapa tidak bangga dengan hasil keringat sendiri yang mengalir hampir 40 tahun selama ini kini membuahkan hasil.
Mungkin tidak ramai yang mengenali beliau. Walaubagaimanapun, sebut sahaja Faiza Beras Poni pastinya ramai yang mengangguk mengiyakan. Keenakan dan kelazatan beras serta pelbagai variasi rempah ini begitu memikat selera, selain kandungannya yang berkhasiat dan bermutu tinggi. Kunjungan kami untuk memenuhi tuntutan subjek Teknologi Pemprosesan Makanan pada 28 Januari 2005 yang lalu bagi mengetahui perkembangan teknologi pemprosesan makanaan rempah-ratus yang diusahakan oleh beliau.
MATLAMAT
Memberikan pengetahuan dan pendedahan kepada pelajar kepada proses sebenar teknologi pemprosesan makanan dalam industri
OBJEKTIF
Memperkenalkan kepada pelajar prinsip pengawetan.
Memperkenalkan kepada pelajar teknik pengawetan.
Memperkenalkan kepada pelajar kaedah pengawetan.
LATAR BELAKANG PENGUSAHA KILANG
Puan Faiza atau nama sebenarnya Puan Hajah Bawumi Sayed Ahmad, 61, merupakan pemilik tunggal Syarikat Faiza Sdn. Bhd., pengeluar beras Ponni Taj Mahal terulung atau pelbagai jenis rempah bukhari, rempah sup, kari dan asam pedas. Beliau dilahirkan di Mesir pada 3hb September 1942. Beliau yang berbangsa Arab Mesir ini mendirikan rumah tangga ketika berusia 16 tahun, dengan suaminya yang berbangsa Melayu Batu Pahat yang secara kebetulan rakan kepada bapa beliau. Setelah suaminya menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir, beliau membuat keputusan untuk mengikut suaminya berhijrah ke Batu Pahat ketika berusia 22 tahun. Walaupun mendapat tentangan daripada keluarga, namun setelah menerangkan niat sebenar bahawa beliau perlu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri, barulah bapanya memberi keizinan.
Asalnya, Puan Faiza yang merupakan anak sulung daripada 13 orang adik-beradik ini menguruskan perniagaan keluarga. Selain bekerja sebagai guru tahfiz Al-Quran, bapanya mempunyai sebuah restoran makanan yang sering dikunjungi oleh pelajar-pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar. Beliau yang hanya mendapat pendidikan tertinggi hingga sijil bertaraf SPM, mengusahakan restoran tersebut sebagai penjaga akaun. Maka, dari situlah tertanam semangat untuk berniaga di samping menjaga amanah dan kewangan restoran milik bapa beliau. Walaubagaimanapun, setelah beliau berhijrah ke Malaysia pada tahun 1964, bapanya menutup restoran kerana tiada kakitangan untuk meneruskan perniagaan tersebut.