Pages

Tuesday, November 6, 2012

SINKI CERIA MUDAH ALIH p1


1.0  PENGENALAN

Kami telah menghasilkan satu produk yang dikenali sebagai ’SINKI CERIA MUDAH ALIH’ setelah membuat beberapa tinjauan, pemerhatian dan kajian. Produk ini telah dipilih setelah kami mengenalpasti masalah yang dihadapi dan juga selepas hasil pencetusan idea. Idea ini juga timbul hasil daripada pemerhatian  yang dibuat semasa cuti semester yang lepas. Pengalaman sendiri juga banyak memainkan peranan dalam pencetusan idea ini.

Setelah mengambil kira banyak aspek seperti bahan dan komponen, cara pembuatan, kepentingan produk, keupayaan kendiri dan sebagainya, maka kami telah membuat keputusan untuk membuat projek rekacipta yang diberi nama ‘SINKI CERIA MUDAH ALIH’. Ianya bersesuaian dengan definisi reka cipta iaitu penghasilan sesuatu projek atau barangan baru atau pengubahsuaian dalam bidang teknologi untuk memenuhi kehendak pengguna masa akan datang. Produk yang telah dihasilkan ini diharap dapat memberi manfaat dan berpotensi untuk dipasarkan.


2.0  LATAR BELAKANG MASALAH
           

Orang kurang upaya adalah seseorang yang tidak berupaya menentukan sendiri bagi memperoleh sepenuh atau sebahagian daripada keperluan biasa seseorang individu dan tidak dapat hidup bermasyarakat sepenuhnya disebabkan sesuatu kekurangan semasa dari segi fizikal atau mental dan samada ia berlaku semenjak lahir atau kemudian dari itu.      
Kebiasaannya, orang kurang upaya boleh dikategorikan seperti orang tua, orang sakit, cacat fizikal atau orang istimewa yang mempunyai masalah untuk menguruskan diri mereka dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain selain menggunakan kerusi roda.

Golongan ini memerlukan penjaga atau orang lain yang dapat membantu menguruskan tentang diri mereka dan memerlukan bantuan dalam menjalani kehidupan seharian mereka seperti mandi, bergerak, makan, minum dan sebagainya. Biasanya orang kurang upaya atau dipanggil pesakit memerlukan penjaga berada di sisinya sepanjang masa untuk memenuhi keperluan mereka kerana kadangkala pesakit hanya mampu berbaring atau duduk sahaja di dalam bilik dan pergerakan mereka terbatas. Ini akan menyukarkan aktiviti seharian mereka seperti bergerak ke dapur untuk mendapatkan minuman, pergi ke bilik air untuk mandi dan kadangkala akan menyukarkan si penjaga kerana setiap kali pesakit ingin membasuh tangan, penjaga akan membawa semangkuk air kepada pesakit. Melalui kekurangan dan masalah yang di alami oleh orang kurang upaya, maka kami telah mencipta satu produk yang dikenali sebagai ’SINKI CERIA MUDAH ALIH’.


3.0  PERNYATAAN MASALAH

Masalah timbul apabila kami melihat orang yang kurang upaya seperti orang sakit, orang tua, dan orang cacat melakukan kegiatan harian yang amat sukar dan memerlukan penjaga untuk membantunya menguruskan diri. Kadangkala mereka tidak dapat bergerak. Lazimnya, golongan ini tidak berupaya melakukan aktiviti harian mereka seperti mandi, mencuci tangan dan lain-lain.

Setelah kami membuat kajian dan soalselidik secara ringkas serta melalui pengalaman sendiri, kami dapat beberapa masalah yang timbul dan sehinggalah membawa kepada terhasilnya produk ciptaan kami ini. Antara masalahnya ialah:

3.1   Pergerakan orang kurang upaya seperti orang sakit, orang tua dan orang cacat                     adalah amat terhad dan tidak dapat bergerak dengan bebas. Contohnya, pesakit                     hendak bergerak ke dapur untuk mencuci tangan.
3.2   Pesakit memerlukan bantuan orang lain untuk bergerak untuk mendapatkan                        sumber bekalan air.
3.3  Keperluan di waktu-waktu terdesak. Contohnya, tiba-tiba pesakit hendak muntah,             pesakit akan terpaksa muntah di tepi katil dan tidak sempat untuk ke bilik air atau     sinki yang jauh daripada tempatnya. Kadangkala juga, pesakit memerlukan                  mangkuk untuk muntah atau meludah.

4.0  PRODUK SEDIA ADA DI PASARAN

            Berikut disenaraikan beberapa ciri produk ’SINKI’ yang terdapat di pasaran. Antaranya ialah;

4.1   Produk yang sedia ada adalah sinki yang berbentuk statik dan kekal di
       tempatnya  yang tidak dapat di alihkan ke mana-mana.
4.2   Biasanya, sinki terletak di tempat yang terhad kedudukannya. Contohnya
       di bahagian dapur, bilik air dan ruang tamu.
4.3   Sinki yang telah sedia ada mempunyai ketinggian yang tidak sesuai
       dengan pesakit yang menggunakan kerusi roda ataupun pesakit yang
       hanya berada di atas katil sahaja. Ianya menyukarkan pesakit yang tersebut
       untuk menggunakannya.
4.4   Kegunaan dan kefungsian sinki adalah terhad penggunaannya. Ianya
       hanyalah sebagai tempat untuk melakukan pencucian pada tahap
       minimum. Contohnya, hanya untuk mencuci tangan.


5.0  OBJEKTIF

Rekaan ini diharap akan dapat membantu golongan-golongan yang memerlukan. Antara objektif  kami menghasilkan produk ini ialah:

5.1  Menyediakan Kemudahan Untuk Golongan Orang Kurang Upaya

Melalui produk ini, diharap ianya dapat digunakan sebaik-baiknya oleh golongan berkenaan seperti orang sakit, orang tua dan orang cacat. Lazimnya, golongan seperti ini sukar untuk bergerak ke mana-mana terutamanya untuk mendapatkan sumber bekalan air. Biasanya, penjaga yang menguruskan mereka akan membawa mereka ke bilik air untuk memandikan mereka atau penjaga akan sentiasa membawakan semangkuk air untuk membasuh tangan pesakit. Situasi ini dilihat agak menambahkan bebanan kepada si penjaga. Maka, dengan adanya produk ini ianya dapat memudahkan golongan-golongan seperti dinyatakan dapat melakukan kerja-kerja yang ingan seperti membasuh tangan, meludah, muntah, membasahkan kain untuk mengelap badan, memberus gigi dan sebagainya.

5.2  Menyediakan Produk Yang Mempunyai Ketinggian Bersesuaian

Saiz ketinggian bagi produk kami juga adalah bersesuaian untuk pesakit samada yang berkerusi roda atau pesakit yang hanya duduk di tepi katil yang tidak dapat bergerak. Dengan ketinggian yang sesuai, dapatlah mereka menggunakannya dengan lebih selesa.

5.3  Menyediakan Produk Yang Mudah Alih
           
            Produk ini mempunyai sifat mudah alih. Ia bermaksud produk yang dicipta boleh dibawa ke mana-mana atau mudah di gerakkan ke satu tempat ke tempat yang lain. Dengan adanya roda di bahagian keempat-empat kaki sinki, maka sinki tersebut dapat bergerak dan menjadikannya mudah dialihkan ke mana-mana.  Bersesuaian dengan kegunaannya untuk orang kurang upaya yang tidak dapat bergerak. Biasanya, pergerakkan pesakit adalah terhad dan pesakit kadangkala hanya dapat berada di atas katil dan di dalam bilik atau di bahagian tertentu sahaja. Selaras dengan itu, produk ini dapat dibawa hampir dengan pesakit, di mana ia akan memudahkan samada pesakit atau penjaganya menggunakannya.

5.4  Menyediakan Produk Yang Menjimatkan Penggunaan Ruang

            Saiz produk yang telah kami hasilkan ini sederhana besarnya seterusnya dapat menjimatkan ruang di sekitar kawasan pesakit. Contohnya di bilik pesakit, klinik, hospital, bilik dan sebagainya.

5.5  Membantu Meringankan Tugas Penjaga Atau Petugas

            Dengan menggunakan produk ciptaan kami ini, pesakit dapat berdikari dan secara tidak langsung dapat mengurangkan bebanan penjaga dan petugas kerana mereka tidak perlu lagi sentiasa membawa semangkuk air untuk pesakit membasuh tangan, membasahkan tuala untuk mengelap badan pesakit atau mencuci muntah. Ini kerana pesakit boleh muntah di terus sinki dan lain-lain lagi aktiviti hanya boleh dilakukan oleh pesakit sendiri.

5.6  Memudahkan Penyimpanan Barang

            Terdapat satu bahagian kecil untuk penyimpanan barang di bahagian bawah tangki air pada produk  ciptaan kami ini. Barang-barang keperluan asas pesakit ataupun golongan orang kurang upaya boleh diletakkan di bahagian ini seperti berus gigi, ubat gig, pencuci muka, pinggan, cawan dan sebagainya. Dengan yang demikian, barang-barang dan alatan tersebut akan nampak lebih tersusun dan kemas.

5.7  Menambahkan Suasana Keceriaan

            Produk kami telah dibina berkonsepkan keceriaan. Di samping kefungsian yang amat berguna kepada pesakit, ianya juga dapat menggembirakan dan menceriakan pesakit melalui lukisan-lukisan yang terdapat di bahagian hadapan sinki ditambah lagi dengan warna asas produk kebiruan yang memberikan suasana lembut dan ketenangan. Dengan ini, pesakit akan dapat mengurangkan sedikit sebanyak tekanan dan kebosanan yang dihadapi.


6.0  GOLONGAN SASARAN

            Kami telah mensasarkan kepada beberapa golongan yang bersesuaian dengan produk kami seperti :

6.1  Individu dan Orang Persendirian

            Kami mensasarkan golongan persendirian sebagai salah satu golongan sasaran yang akan menggunakan produk kami. Individu dan orang persendirian yang dimaksudkan adalah seperti orang sakit, orang kurang upaya dan orang cacat atau istimewa. Golongan ini boleh menggunakannya secara peribadi seperti di rumah mereka. Kadangkala bilik yang berada di rumah jauh daripada bilik air malah sukar mendapatkan bekalan air. Maka produk yang telah kami hasilkan ini amat bersesuaian untuk golongan seperti ini.

6.2  Pihak Swasta Dan Kerajaan

            Pihak swasta dan kerajaan juga adalah satu lagi golongan yang kami telah sasarkan untuk menggunakan produk kami seperti di hospital dan klinik-klinik kerajaan dan swasta. Kadangkala, terdapat pesakit yang tidak mampu bergerak langsung dan hanya mampu berada  di katil pesakit sahaja. Tambahan lagi, katil pesakit pula jauh daripada bilik air atau jauh dari sumber air. Ini akan menyukarkan samada jururawat atau penjaganya untuk menguruskan diri pesakit seperti mengelap badan pesakit, membersihkan kotoran pada pesakit dan lain-lain lagi. Maka, sekiranya produk kami ini digunakan, ianya akan dapat memudahkan bebanan mereka.


7.0  POTENSI PRODUK

Sebelum menghasilkan produk ini, kami telah menjalankan tinjauan dan pemerhatian bagi menentukan potensi-potensi yang perlu ada bagi memenuhi keperluan dan kehendak pengguna khususnya bagi golongan sasaran kami. Selain daripada penyelesaian masalah yang tercetus hinggalah kepada terhasilnya produk ini, kami telah melakukan proses penambahbaikan dari segi fungsi dan keperluan lain yang bersesuaian bagi produk yang telah kami hasilkan. Antara potensi-potensi yang terdapat pada produk kami adalah seperti berikut:

7.1  Saiz Yang Sederhana Besar

            Produk yang telah kami hasilkan ini adalah bersaiz sederhana. Ini menambahkan lagi keistimewaan pada produk kami ini dan memberi sesuatu yang unik dan menarik dari segi rekabentuknya.

7.2  Menjimatkan Penggunaan Ruang

            Daripada saiz yang sederhana, secara tidak langsung produk yang telah kami hasilkan ini dapat menjimatkan ruang. Ia tidak memerlukan ruang yang besar dan ia sesuai diletakkan di tepi pesakit supaya mereka dapat menggunakannya dengan mudah.

7.3  Mudah Alih

            Produk ini boleh dialih atau digerakkan dari satu tempat yang lain mengikut keselesaan dan cara penggunaannya. Produk ini dilengkapi dengan roda di setiap penjuru kaki projek yang membolehkan ianya dapat digerakkan dengan mudah.


7.4  Ketinggian Boleh Dilaras

            Produk yang telah kami hasilkan ini boleh dilaras dari segi ketinggiannya. Produk kami ini boleh mencapai ketinggian secara maksimum sebanyak 1 kaki tinggi. Kelebihan ini adalah amat bersesuaian mengikut kehendak pengguna samada pengguna seperti pesakit yang berkerusi roda atau berada di atas katil sahaja.

 
7.5  Menampilkan Konsep Keceriaan

            Produk ini berkonsepkan keceriaan. Ceria dari segi rekabentuknya, penggunaan warna asas kebiruan pada produk dan ceria pada lukisan-lukisan yang terdapat pada bahagian perspek yang digunakan.


7.6  Peralatan Tambahan

            Selain daripada fungsi yang memenuhi objektif produk, kami telah menambahkan kefungsiannya dengan menyediakan ruang kecil berbentuk almari yang dapat menyimpan barang-barang asas keperluan pesakit seperti sudu, pinggan, cawan, baju-baju, berus gigi, ubat gigi, pencuci muka dan lain-lain. Ruang tersebut boleh dilihat dibahagian bawah tepi produk kami ini. Malah kami juga telah meletakkan palang untuk penyangkut tuala di bahagian hadapan sinki untuk kegunaan pesakit. Kedudukan palang yang bersesuaian memudahkan pengguna mencapai dan meletakkan kembali tuala tersebut setelah digunakan.


7.7  Pengesan Aras Air

            Kadangkala, pengguna tidak sedar apabila bekas tadahan air buangan telah berada pada tahap penuh dan ini akan mengakibatkan limpahan air berlaku. Melalui kelemahan ini, kami telah meletakkan pengesan aras air pada bekas takungan air kotoran tersebut. Apabila aras air sampai kepada tahap yang telah disetkan (menghampiri kadar penuh), litar penggera akan ’on’ (litar lengkap) seterusnya akan menghasilkan bunyi dan lampu akan berkelip menandakan air tadahan kotoran telah penuh. Sehubungan dengan itu, penjaga  tahu yang bekas tadahan air kotoran tersebut perlu dikosongkan semula. Pengesan aras air ini boleh dialihkan dan diangkat kerana ia adalah alat yang berasingan dengan bekas takungan tesebut.

Click ads for your tq or like.

3 comments:

  1. kalau air dalam tong tu dah habis mcm mane eh. kite kene refil selalu ke mcm mane

    ReplyDelete
  2. salam..sy bermunat utk mengetahui lebih lanjut lg tentang produk ini.bagaimana sy hendak menghubungi pihak encik?

    ReplyDelete
  3. wlkmslm. maaf saudara, itu shj yg sy ada.

    ReplyDelete