Pages

Friday, November 4, 2011

Hubungan Antarabangsa

Pengenalan
Saban hari kita mendengar di televisyen atau corong-corong radio mengenai keganasan dan kekejaman yang berlaku di luar negara. Bolehkah itu kita menganggap bahawa  dunia sekarang di ambang kemusnahan. Suatu yang boleh kita kaji dan cungkilkan bagi mendapatkan kepastian. Terdapat banyak aspek kita boleh lihat dan kaji mengenai dunia antaranya kita boleh lihat dari segi ekonomi dunia, politik dunia dan sosial dunia. Banyak lagi aspek lain yang boleh kita lihat, namun dari kertas kerja kami, kami hanya menumpukan kepada 3 perkara diatas.

Ekonomi

            Kemusnahan dunia juga turut dikaitkan dengan aspek ekonomi. Ekonomi merupakan tunjang utama kemajuan sesebuah negara. Kepentingan isu-isu dalam ekonomi kerapkali mewarnai senario politik dan sosial sesebuah negara. Aspek ini menjadi begitu penting kerana kedudukan ekonomilah yang akan memartabatkan sesebuah negara itu menjadi negara yang dihormati atau sebaliknya, negara yang sering dihormati oleh kuasa-kuasa besar. Oleh kerana ia menjadi persoalan utama dalam sesebuah negara maka tidak hairanlah kalau kita dapati banyak isu-isu menarik timbul pada setiap masa dan sering diperkatakan oleh setiap lapisan masyarakat.

Globalisasi ekonomi
Negara-negara mambangun kini semakin terdedah kepada manipulasi politik dan ekonomi menerusi proses globalisasi yang merupakan proses pembaratan yang berterusan. Persoalan globalisasi tidak muncul dengan sendirinya kerana kemunculannya akibat daripada pencapaian pesat teknologi moden yang telah dihasilkan oleh manusia pada masa kini.

 Antara elemen penting yang memberi sumbangan kepada kelahiran dunia global termasuklah penciptaan alat komunikasi yang semakin canggih, pencapaian teknologi informasi yang tinggi, penciptaan dan pelancaran satelit yang mempunyai keupayaan dan kegunaan yang amat tinggi, kemajuan sains dan teknologi yang semakin pesat dan juga termasuklah agenda yang sering dimainkan oleh sebahagian negara barat yang sentiasa berusaha untuk mengungguli dan menjadi ‘super power’kepada dunia terutamanya negara-negara dunia ketiga.

Globalisasi menatijahkan konsep dan amalan liberalisasi perdagangan, sistem ekonomi yang universal, pertumbuhan ekonomi yang cepat dan mapan, pelaburan asing yang menguntungkan, pengembangan teknologi dan lain-lain. Walaupun ia merupakan suatu dimensi baru dalam realiti ekonomi, tetapi pada masa yang sama ia mempunyai banyak risiko yang perlu ditanggung oleh negara-negara membangun.
Aspek ekonomi yang ditekankan dalam globalisasi adalah perdagangan, pelaburan dan migrasi. Penglobalan perdagangan bermakna bahawa manusia kini mempunyai akses kepada pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan yang tidak pernah dilihat dalam sejarah. Dari kereta buatan Jerman ke kopi tumbuhan Colombia, dari pakaian China ke kapas Mesir, dari muzik Amerika ke program computer India, manusia boleh membeli dan memiliki pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan.
 Globalisasi pelaburan berlangsung melalui pelaburan langsung asing, dimana syarikat-syarikat asing melabur secara terus aset mereka dalam satu negara, atau melalui pelaburan tidak terus dimana individu dan institusi membeli dan menjual aset kewangan negara lain. Migrasi bebas membenarkan individu mencari peluang perkerjaan dimana ada kekurangan tenaga buruh.
Pengkritik perdagangan bebas mendakwa bahawa ini menyebabkan kemusnahan industri asal suatu negara, alam sekitar dan/atau kehilangan perkerjaan. Pengkritik pelaburan asing pula berkata bahawa penerimaan skim kewangan ini meyebabkan negara-negara kehilangan kedaulatan ekonomi mereka dan dipaksa menggubal dasar ekonomi yang bertentangan dengan kepentingan dan kehendak rakyat mereka.
 Tambahan pula, syarikat-syarikat yang melabur dalam satu negara mungkin mendapat terlalu banyak kuasa ekonomi dan politik berbanding rakyatnya. Akhirnya, migrasi mungkin akan memungkinkan eksploitasi pekerja daripada negara lain dan penhijrahan beramai-ramai tenaga pakar yang diperlukan daripada suatu negara. Pengkritik globalisasi juga mengatakan bahawa sistem-sistem ekonomi berbeza antara negara yang menambah atau mengambil daripada globalisasi mungkin memaksimakan kebajikan sosial lebih daripada kecekapan dan kesaksamaan


Hakikat menunjukkan terdapat jurang perbezaan yang nyata di antara negara kaya dan miskin. Tambahan pula, kesan perkembangan globalisasi, terdapat kecenderungan yang serius untuk negara maju terus-menerus menekan dan menindas negara kecil dan miskin. Oleh hal yang demikian, Asean contohnya turut berkeputusan untuk cuba bergerak secara kolektif dalam menangani isu-isu ekonomi dan perdagangan berikutan kekhuatiran konsep “gergasi dan harimau” akan menjadi strategi yang akan memakan diri.

Antara pendekatan strategik yang diambil Asean termasuklah dengan mengadakan kerjasama yang lebih kukuh dengan tiga buah negara Asia Timur iaitu China, Jepun dan Koreas Selatan. Dalam pada itu, proses ‘penjepunan’ dalam bidang ekonomi (Japanization) di seluruh dunia dianggap sebagai suatu bentuk ancaman baru kepada pihak Barat. Dasar perluasan ekonomi Jepun menerusi penyertaan syarikat multinasional (Zaibatsu) yang pelbagai bidang termasuk industri elektronik, automobil, telekomunikasi, teknologi maklumat dan sebagainya, telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Jepun Takeo Fukuda pada tahun 1974.

Selain itu, Prof. Mittleman juga turut kemukakan konflik yang timbul pada masa kini adalah dilema antara kepentingan keuntungan ekonomi dan memartabatkan demokrasi dalam hubungan antarabangsa. Tambahan juga, pembabitan IMF di Asia Tenggara dan Asia Timur yang bertujuan untuk memulihkan ekonomi negara-negara yang berkenaan, walau bagaimanapun hanya dilihat sebagai penerusan kolonialisme dan imperialisme Barat di negara-negara dunia ketiga. Di samping itu, negara maju dan kaya juga diminta untuk membantu negara miskin. Bagaimanapun mereka terpaksa terikat kuat dengan peraturan ketat dalam IMF dan bank dunia. Kesannya kedaulatan negara-negara membangun akan terus diancam. 


            Aktiviti permainan spekulasi contohnya merupakan satu cara untuk mendapatkan kekayaan dengan cara mudah dan cepat tanpa memerlukan banyak usaha. Permainan spekulasi merupakan isu ekonomi yang tidak pernah dilupakan oleh manusia. Ia sentiasa berulang dalam sejarah krisis kewangan dunia sejak beberapa abad yang lalu. Beberapa krisis ekonomi yang besar termasuk kemelesetan ekonomi dunia (world great depression) pada 1930 an dan krisis ekonomi yang baru melanda Asia khususnya Asia Tenggara baru-baru ini adalah berkait rapat dengan permainan ini.

Selain itu, apabila membangkitkan isu wang, di mana wang berfungsi sebagai store of value (penyimpan nilai) dan medium of exchange (alat pertukaran) dan penciptaan wang untuk memenuhi fungsi-fungsi utama tersebut demi memudahkan urusan kehidupan manusia. Oleh itu, bila wang boleh mencipta wang, di mana wang menjadi barang dagangan maka ia tidak akan dapat melaksanakan fungsi utamanya secara normal dan stabil. Ia mampu menimbulkan beberapa keburukan dalam perjalanan ekonomi sesebuah negara sebagaimana krisis yang melanda negara kita pada 1997. Salah satu sebab berlakunya krisis tersebut ialah kerana kedudukan matawang Malaysia telah menjadi barang dagangan oleh para spekulator asing dan tempatan.

 Apa yang dapat dilihat, kemunculan arus globalisasi dalam sistem ekonomi dunia banyak memberi kesan negatif terhadap masyarakat. Kemudahan urusniaga di hujung jari melalui kemudahan internet dan alat komunikasi yang canggih boleh mengundang bahaya kepada ekonomi sesebuah negara. Krisis ekonomi yang berlaku baru-baru ini di rantau Asia adalah akibat permainan urusniaga ‘hujung jari’ ini terutamanya dalam urusniaga saham di bursa saham dan juga perdagangan mata wang di pasaran tukaran wang asing.

 Tidak mustahil pada masa depan krisis yang lebih besar akan berlaku dengan cara yang sama. Urusniaga sebegini juga boleh mengganggu kestabilan sesuatu institusi ekonomi akibat manipulasi pasaran dan harga atas dagangan sementara yang dilakukan demi meraih keuntungan semerta. Ini seringkali berlaku dalam dunia pasaran saham di mana keuntungan “atas angin” yang menjadi buruan para spekulator akan lebih mudah dilakukan melalui teknologi informasi dan alat komunikasi canggih.

Selain itu, analisis pelaburan atau usaha mencari rakan kongsi dan peluang perdagangan antarabangsa akan menghadapi risiko yang lebih besar terutamanya aspek penipuan akibat ‘misguiding information’ yang diperolehi melalui sumber internet. Urusniaga juga seringkali tergendala akibat beberapa kelemahan sistem komputer ciptaan manusia serta permainan ‘virus’ yang semakin menjadi-jadi. Setiap satu daripada masalah yang timbul, berbilion ringgit telah dibelanjakan untuk mengatasi masalah mahupun kerugian yang dialami oleh dunia perniagaan antarabangsa akibat virus yang berjaya memecah sistem pertahanan komputer.
Globaliasi telah dikenal pasti sebagai dalang disebalik beberapa anjakan, dengan kebanyakannya bermula dari era Perang Dunia Kedua. Ini merangkumi pergerakan komoditi, mata wang, maklumat dan orang secara lebih kerap di peringkat antarabangsa, serta perkembangan teknologi, organisasi, sistem perundangan, dan infrastruktur yang membenarkan pergerakan ini. Kendatipun, kewujudan sesetengah anjakan ini diperdebatkan.
  • Anjakan dari segi ekonomi
    • Penambahan perdagangan antarabangsa pada kadar lebih cepat berbanding pertumbuhan ekonomi dunia
    • Penambahan dalam aliran modal antarabangsa termasuk pelaburan langsung asing
    • Penubuhan organisasi-organisasi antarabangsa seperti WTO dan OPEC melalui perjanjian
    • Pembangunan sistem kewangan global
    • Peranan organisasi antarabangsa WTO, WIPO dan IMF yang megendalikan urusniaga-urusniaga antarabangsa yang bertambah penting
    • Peningkatan amalan-amalan ekonomi seperi penyumberan oleh perbadanan multinasional

Sistem ekonomi kapitalisme
           
Keadilan dalam sistem ekonomi kapitalisme adalah berdasarkan kepada sistem pasaran bebas ‘leissure fair’. Dalam sistem ini, pemilik modal adalah mempunyai hak mutlak untuk menggunakan modal yang mereka miliki. Berdasarkan sistem ini, kapitalis beranggapan bahawa keadilan ekonomi dapat ditegakkan atas alasan pemilik modal akan menyalurkan modalnya ke arah pengeluaran barangan yang mendapat permintaan utama masyarakat. Dengan cara ini para kapitalis percaya kebajikan masyarakat akan terpelihara dan pengagihan kekayaan dalam sesebuah negara juga akan berlaku dengan lebih adil.

            Walaubagaimanapun, asumsi dalam sistem kapitalisme di atas yang mengatakan permintaan masyarakat ke atas sesuatu barangan akan menyebabkan para kapitalis akan menumpukan produksi terhadap barangan tersebut adalah satu asumsi dangkal dan sama sekali tertolak. Ia sekadar satu ilusi untuk mengabui persepsi masyarakat. Tiga prinsip penting yang saling berganding dalam sistem kapitalisme yang tidak memungkinkan asumsi di atas menjadi nyata ialah hak milik mutlak terhadap modal dan harta, matlamat keuntungan yang maksima dan meminimumkan sebarang kerugian. Arah pelaburan yang dibuat oleh para kapitalis selalunya akan berdasarkan kepada analisis ekonomi yang telah dilakuakan. Pelaburan akan dilakukan ke atas syarikat mahupun pengeluaran barangan yang akan memberi pulangan maksima kepada mereka tanpa terikat kepada barangan yang menjadi permintaan utama masyarakat.

Kerapkali kita lihat barangan yang memberi keuntungan yang besar kepada pelaburan ialah barangan yang bersifat ‘elit’ yang digunakan golongan atasan mahupun pertengahan dalam masyarakat. Sebarang risiko mahupun pulangan yang kecil sungguhpun ia memberikan kebajikan yang besar kepada masyarakat akan diketepikan. Ini memperjelaskan kepada kita bahawa asumsi kebajikan masyarakat akan tercapai melalui pertindanan di antara permintaan masyarakat dan kepentingan pengeluaran oleh pengusaha adalah tidak benar. Hasilnya pengagihan sumber kekayaan dan sumber ekonomi tidak dapat dilakukan dengan seimbang, cekap dan merata.

Hubungan ekonomi kapiatalis dan perang

Perang untuk umum memberi makna kemusnahan dan kematian. Jika perang meletus maka ramai orang yang akan mati dan harta benda akan musnah. Kematian dan kemusnahan adalah manifestasi dari apa yang dapat dilihat hasil daripada perang. Tetapi ada pekara-perkara yang lain yang tidak dapat dilihat dengan mata yang pasti muncul akibat dari perang. Adalah satu ilusi untuk mengharap atau berdoa agar perang tidak akan datang. Perang akan terus datang bila-bila masa sahaja. Ini adalah sebahagian daripada hukum asas dalam sistem ekonomi kapitalis yang berkiblatkan keuntungan.
Selagi sistem ekonomi kapitalis ini wujud, selagi itulah umat manusia dalam dunia ini akan berhadapan dengan bencana perang.

 Malah jika kita mengkaji sejarah manusia maka kita akan melihat bahawa sejarah manusia ialah sejarah manusia berperang. Manusia berperang untuk merebut punca-punca kekayaan. Beruk-beruk proto manusia – datuk nenek moyang kita dahulu – mula menapak meninggalkan gua kerana ingin mencari bahan makanan. Ketika mencari bahan makanan ini, jika berlaku perebutan dalam agihan makanan,maka akan berlaku pergaduhan. Jika pergaduhan ini membawa kematian, maka di sinilah permulaan sejarah perang manusia. Perang sebenarnya ialah perundingan yang telah gagal. Perundingan, perdebatan, resolusi, sekatan dan segala macam cara yang dilakukan, hanya satu usaha untuk memperlambatkan perang. Jika perundingan di meja gagal, maka perundingan seterusnya akan beralih ke medan perang.

Perang juga adalah asas kepada ekonomi sistem kapitalis. Tanpa perang, kaum pemodal dan kaum kapitalis tidak dapat menakluk kawasan baru untuk mencari bahan asli. Kawasan atau tanah jajahan ini juga akan dijadikan pusat perluasan pemasaran. Kapitalisma ialah sistem ekonomi yang berasaskan pengeluaran dan permintaan. Jika pengeluaran kurang, maka harga akan melambung. Ini adalah keuntungan. Jika pengeluaran melimpah dan pasaran merundum maka perang akan diatur untuk menghancurkan limpahan barang-barang yang telah dibuat.
            Dalam sistem ekonomi kapitalis, perniagaan yang paling lumayan selain daripada menjual dadah ialah menjual senjata dan alat kelengkapan perang. Apabila dibaca  kembali bagaimana British menakluk Tanah Besar China. Awalnya candu dari India dibekalkan kepada pemadat di kota-kota persisiran Cina. Akhirnya perang pecah dan Tanah Besar Cina ditakluki British. China menjadi pusat punca bahan mentah dan juga pusat pemasaran. Hukum jual beli ini tidak akan berubah-berubah dalam sistem ekonomi kapitalis.
           
Jika kita telah memahami asas ekonomi kapitalis ini, maka kita juga tidak dapat melarikan diri daripada bencana perang. Justeru, dalam keadaan terperangkap dalam sistem ini, kita sebagai rakyat dunia, masih ada pilihan. Kita tidak harus menunggu kesampaian perang tanpa membuat persediaan. Dalam sistem ekonomi kapitalis ini, sebenarnya kita sedang dibunuh secara 'perlahan-lahan' tanpa kita sedari. Kita didodoi dan dininabobokan dengan pelbagai macam 'gula-gula', sehingga kita tidak menyedari bahawa kita sedang menjadi hamba kepada kaum pemodal. Dalam hidup ini kita akhirnya akan mati. Dalam perang juga kita akan mati. Di sini kita memiliki pilihan sama ada menunggu malaikat maut sampai atau mati bangun melawan. Apa yang terjadi di Iraq hari ini membuktikan bahawa rakyat Iraq telah memilih mati dengan bangun melawan.

Kita juga wajib bersedia untuk menhadapi keadaan ini.
Lalu, persoalan timbul apakah bom nuklear atau peluru jenis DU (depleted uranium) akan digunakan? Sesetengah daripada kita tidak menyedari bahawa saban hari kita juga sedang digudam secara halus dengan racun kimia yang lebih bahaya dari DU. Laut kita sedang dicemarkan oleh pelbagai jenis toksik.
           
Apakah kita lupa bagaimanan ikan-ikan yang kita beli dari pasar telah diawet dengan kimia pengawet mayat. Hutan tropikal punca oksigen kita sedang dimusnahkan untuk membawa untung kepada tauke balak. Yang paling jelas tetapi tidak disedari umum ialah karbon monoksid dari asap kereta dalam kota kita ini mungkin lebih bahaya tamparannya dari peluru. Apa yang dinyatakan di atas ialah pembuktian bahawa rakyat di dunia hari ini sedang dibunuh secara perlahan-lahan. Peracunan dan pembunuhan perlahan-lahan ini berlaku bukan kerana niat seorang individu atau kerana konspirasi satu kumpulan, atau kerana Zionis atau kerana sebuah syarikat. Semua ini terjadi kerana landasan asas ekonomi sistem kapitalis yang kita gunakan hari ini berimamkan keuntungan dan bukan untuk kesejahteraan ummat.

Apabila dilihat pada sejarah, sesudah Perang Dunia Kedua, kaum pemodal kapitalis antarabangsa dan tuan empunya gudang senjata telah mengumpulkan pengalaman. Mereka menyedari perang dunia tidak membawa faedah untuk keuntungan mereka. Kerana itu, sesudah tamatnya Perang Dunia Kedua, apa yang kita lihat hanya 'perang tempatan'. Perang tempatan berlaku di Indo China, di Colombia, di Eriteria, di Angola, di Nicaragua atau di Bosnia. Bentuk perang tempatan seperti ini dapat dikawal oleh kaum pemodal dan tuan empunya pabrik senjata. Pengawalan ini penting untuk memastikan keuntungan berlipat ganda dan mereka selamat.

Sejarah telah menunjukkan Perang Dunia Kedua dahulu adalah satu tamparan yang maha hebat kepada kaum pemodal. Perebutan kaum pemodal untuk menawan tanah jajahan dan bahan mentah membawa suasana baru yang tidak dapat mereka fikirkan terdahulu dari ini. Rakyat di negara-negara tanah jajahan di Asia, Afrika dan latin Amerika telah bangun menuntut kemerdekaan.
           
Sejarah pasti akan berulang. Lihat sahaja apa yang berlaku sekarang. Apabila kuasa imperial Amerika menyerang Iraq dan memusatkan perhatian ke Timur Tengah, negara-negara di Latin Amerika telah berjaya membebaskan diri daripada cengkaman kapitalis antarabangsa. Ianya bermula dengan Venezula, Nicaragua, Colombia, Chile, Bolivia and Brazil. Contoh rujukan untuk negara-negara Latin ini ialah pulau Cuba yang telah berdiri angkuh melawan kapitalis antarabangsa.

 Negara-negara ini telah merampas kembali harta kekayaan mereka dan memulakan dasar pro-rakyat dan bukan pro-pemodal kaum kapitalis. Bolivia dan Venezula telah menghakmiliknegarakan telaga minyak dan telaga gas mereka. Bayangkan, jika satu, dua , tiga lagi Iraq muncul, pasti kuasa imperial Anglo-Amerika akan terduduk. Banyangkan jika perang Iraq merebak ke Syria, Iran, Turki, Kosovo, Bosnia, Somalia, Palestin, Sudan, Kurdistan dan Armernia – apa yang akan muncul. Selama kini kuasa imperial Anglo-Amerika telah merancang perang tempatan di mana mereka dapat mengawal arah tuju perang itu agar membawa keuntungan kepada mereka.
Kuasa baru
           
Kita mahu perang yang tidak dikawal oleh kuasa imperial. Justeru, jika perang merebak dari Iraq ke tempat ini, pasti perang dunia akan meletus. Daripada pengalaman Perang Dunia Kedua, kuasa imperial Anglo-Amerika tidak akan memiliki kudrat dan iradat untuk mengawal arah tuju perang ini. Perang dunia ketiga ini pasti akan membawa tatasula dunia yang baru. Pasti akan muncul satu peraturan dan bentuk wilayah dunia yang baru. Dalam Perang Dunia Kedua dahulu, kuasa imperial British jatuh muflis. Kini telah sampai masanya untuk rakyat dunia menjatuhkan kuasa imperial Amerika Syarikat.
           
Dari pandangan makro perang dunia ketiga ini juga akan memperlihatkan perebutan wilayah dalam bentuk yang baru. Bukan antara kuasa kolonial dan tanah jajahan. Rakyat dari pelbagai negara akan menolak garis wilayah dan sempadan yang selama ini dibuat olih kuasa imperial. China akan mengambil kembali Taiwan. India dan Pakistan akan merebut Kashmir. Banyak bangsa di Afrika akan membuat garisan pemetaan wilayah yang baru berdasarkan politik identiti. Indonesia juga akan terbarai dan akan wujud negara bangsa yang baru yang bebas dari hegemoni Jawa.

Di tanah air kita, perkara yang sama akan berlaku. Sabah dan Sarawak akan bangun untuk merdeka. Bangsa Moro juga akan memiliki negara sendiri. Empat wilayah Melayu di Selatan Siam akan bebas daripada cengkaman Siam. Singapura akan kembali menjadi sebahagian dari Tanah Melayu.
             
Bila perang dunia meletus, kita akan melihat bagaimana kuasa imperial tidak akan memiliki kekuatan bala tentera untuk menundukkan kekuatan rakyat dunia. Dalam masa yang sama juga kuasa imperial Anglo-Amerika ini juga akan mendapat serangan
dari dalam.
Di Britain telah wujud peratus jumlah penduduk yang tinggi, yang tidak mengakui diri mereka sebagai British. Di Amerika – negara imigran – pasti akan berlaku saigan hebat antara yang berkulit putih dan tidak berkulit putih. Secara mikro dalam negara kita; elit politik, elit pemodal dan borjuis nasional yang selama ini bergantung kekuatan dengan bersandarkan kapitalis antarabangsa, akan goyah. Mereka tidak akan mendapat sokongan dana atau sokongan ketenteraan lagi. Ekonomi akan mengecut. Pada tahun pertama mungkin mereka akan dapat mengawal keadaan tetapi seperti perang dunia kedua dahulu akhirnya mereka wajib membuat pilihan – bersama rakyat atau dibungkus.

            Sebenarnya, inilah suasana politik yang sihat. Apabila dunia kucar-kacir akibat perang, maka satu peraturan baru dapat dimunculkan. Bila perang pecah, siapa yang bijak menyusun, bijak berorganisasi dan memiliki taktik dan strategi yang unggul, maka merekalah yang akan menang. Beberapa tahun dahulu kita telah melihat di Indonesia bagaimana rakyat merampas kembali tanah pertanian mereka yang dijarah oleh kaum pemodal. Ini bukan kerana perang dunia pecah cuma kerana Suharto dijatuhkan. Bayangkan jika perang dunia pecah – Rakyat Pahang akan merampas kembali tanah hutan yang telah digadaikan untuk menjadi gedung perjudian. Bayangkan rakyat Chubadak, Tasik Utara, Berembang akan bangun untuk merampas hak tanah mereka yang telah dirompak kaum pemodal. Suasana ini yang akan membuka tatasula baru dalam negara kita. Kuasa daulah akan runtuh dan kuasa rakyat yang akan mencipta susunan  baru. 

Sistem ekonomi Islam
           
Dasar sistem ekonomi Islam adalah dasar pemilikan, dasar keseimbangan dan dasar keadilan. Manusia bukanlah pemilik mutlak harta atau sumber-sumber ekonomi melainkan Allah. Keseimbangan diawasi berlaku antara kepentingan individu dan kepentingan umum dalam tingkah laku ekonomi dengan mengawasi keseimbangan antara hak dan tanggungjawab. Manakala dasar keadilan dalam ekonomi Islam ialah mendistribusikan hasil atau pendapatan aktiviti ekonomi dengan kaedah yang ditentukan oleh Islam. Keadilan adalah merupakan perkara pokok yang perlu dilaksanakan dalam sistem ekonomi Islam.

Keadilan dalam Islam tidak menekankan konsep kesamarataan antara individu namun ia menekankan kepada persamaan dari sudut peluang untuk mencari dan mendapatkan kurnia Tuhan. Islam tidak menidakkan hak golongan yang kurang bernasib baik dalam usaha mereka mencari rezeki Tuhan. Sistem ekonomi Islam telah menggariskan bahawa setiap daripada individu dalam masyarakat adalah berhak untuk mendapat keperluan asas untuk kehidupan mereka dari pihak yang bertanggungjawab dalam sesebuah negara. Mereka juga mempunyai hak ke atas harta milik orang kaya sebagaimana yang diperintahkan oleh agama. Allah memperingatkan harta kekayaan seharusnya berfungsikan sosial dengan peredaran yang lebih luas di kalangan masyarakat untuk mendapat faedah di dunia dan di akhirat.

 Islam menganjurkan suatu sistem pengagihan kekayaan yang dapat meningkatkan status ekonomi masyarakat. Dengan itu, sistem ekonomi akan menjamin distribusi kekayaan yang beredar secara berterusan kepada semua golongan masyarakat yang berhak menerima serta tidak tertumpu kepada golongan tertentu.
           
Islam menganjurkan supaya peniaga bersikap perikemanusiaan dalam perniagaan. Al-Quran menerangkan bahawa perniagaan yang menguntungkan dilaksanakan atas dasar keimanan dan berjihad dengan harta pada jalan Allah. Modal yang dilaburkan untuk projek-projek masyarakat adalah kebaikan yang merupakan jihad harta pada jalan Allah.                    
Sebagai kesimpulannya, sistem ekonomi Islam mempunyai tujuan untuk mencapai keredhaan Allah iaitu bukan sahaja mendapat kesejahteraan hidup di dunia bahkan menjamin kesejahteraan hidup di akhirat. Dengan itu, segala aktiviti dalam sistem ekonomi Islam adalah mengikut prinsip dan etika yang telah ditentukan Islam. Prinsip-prinsip inilah yang membezakan di antara sistem ekonomi Islam dengan sistem-sistem ekonomi Barat yang hanya boleh membawa ke arah kemusnahan dunia.

Sosial dan akhlak

Pada masa kini, jika diperhatikan masalah sosial sangat berleluasa dan berada pada tahap kritikal jika dilihat di serata dunia. Di Malaysia juga, masalah ini sangat berleluasa kebelakangan ini. Semakin maju sesebuah negara, semakin bertambah masalah sosial yang berlaku di sesebuah negara. Ini kerana, cara hidup masyarakat semakin mengikut peredaran zaman tanpa berpandukan kepada adab dan agama yang perlu dijadikan pegangan.

 Bagi negara-negara barat, masalah sosial telah lama menjadi isu yang kritikal dikalangan masyarakatnya. Masyarakatnya terlalu mengikut peredaran zaman. Seperti yang dapat kita perhatikan masyarakat di negara barat mengamalkan pergaulan yang terlampau bebas tanpa ada batasan agama.

 Hal ini telah menyebabkan keruntuhan moral dan akhlak dikalangan masyarakatnya. Banyak budaya dari negara barat telah menular masuk ke negara kita. Contohnya dari segi pemakaian, pergaulan antara lelaki dan perempuan, dan sebagainya. Anak-anak muda generasi sekarang tidak lagi segan silu untuk mengenakan pakaian yang sendat-sendat dan seksi dikalayak ramai. Mereka seolah-olah tidak menghiraukan batasan agama bagi yang beragama islam dan mengagung-agungkan budaya barat.

 Menurut kajian, remaja yang beragama islam paling tinggi peratusan yang mempunyai masalah sosial. Masalah-masalah sosial dan akhlak ini yang menyumbangkan kepada kemusnahan dunia kerana generasi sekarang akan melahirkan generasi untuk memimpin negara di masa hadapan. Jika baik moral generasi pada masa kini maka baik lah negara di masa hadapan. Tetapi, jika buruk moral generasi pada masa kini, maka musnahlah dunia pada masa hadapan. Jika kita perhatikan, dunia pada masa kini bagai diambang kemusnahan jika dilihat dari masalah sosial dan akhlak.


Banyak faktor-faktor yang menyebabkan terjadinya masalah sosial dan akhlak ini. Keruntuhan ahklak dan moral dikalangan masyarakat dunia lebih-lebih lagi negara-negara barat menunjukkan masalah sosial yang sangat ketara sehingga tiada lagi adab dan budaya-budaya yang murni diamalkan. Hanya segelintir sahaja yang masih mengamalkan budaya murni dalam kehidupannya.

 Di negara kita sendiri iaitu Malaysia juga mengalami masalah ini. Kian hari, kian banyak berlakunya masalah ini. Sebagai contoh, jika kita perhatikan remaja zaman sekarang tidak lagi seperti remaja zaman dahulu yang penuh  dengan adab sopan. Akhlak remaja pada zaman sekarang diambang keruntuhan dalam pegangan tuntutan islam dan budaya.

 Antara faktor-faktor masalah keruntuhan akhlak dan sosial dikalangan remaja adalah kurangnya didikan agama dalam keluarga dan pegangan agama dalam diri remaja tersebut tidak kuat. Remaja yang kurangnya didikan agama akan melakukan sesuatu tanpa memikirkan baik buruk dan hukum hakam Allah s.w.t. mereka lebih kepada untuk bersosial secara bebas.

 Jika kita perhatikan, remaja zaman sekarang sentiasa mengamalkan pergaulan antara lelaki dan perempuan secara bebas tanpa batasan. Mereka tidak lagi merasa malu atas perbuatan mereka. Contohnya, ada yang berpelukan, bercumbuan di taman-taman bunga dan ada yang lebih memalukan lagi seolah-olah mereka merasa bangga melakukan itu semua, merasa megah menyanjung budaya yang tak sepatutnya diikuti. Maruah bangsa dan agama tidak lagi dihiraukan lagi.Kebanyakkan yang melakukan perkara-perkara ini adalah anak melayu yang beragama islam. Jika diperhatikan di negara barat pula, remaja-remaja di negara tersebut lebih bersosial dan mempunyai akhlak yang tidak baik berbanding negara kita.
  
Di negara barat, kita dapat lihat remaja-remaja melakukan maksiat secara terang-terangan di khalayak ramai. Mereka tidak mempunyai pegangan agama dalam hidup sebagai panduan dalam hidup. Masalah sosial dan akhlak mereka lebih kritikal berbanding negara kita. Mereka mengamalkan budaya yang sangat bercanggah dengan budaya dan amalan masyarakat timur. Tetapi, budaya barat tetap menjadi ikutan anak-anak muda zaman sekarang di negara kita dan menjadi keagungan mereka jika mencontohi dan mengamalkannya.

Di sini kita dapat lihat betapa besarnya pengaruh budaya barat terhadap masyarakat timur. Sekaligus dapat merosakkan akhlak anak-anak muda zaman sekarang. Jika remaja-remaja mempunyai sosial dan akhlak yang buruk, ini akan memusnahkan dunia di masa depan.

Selain itu, antara faktor yang agak berpengaruh besar dalam mempengaruhi akhlak dan sosial adalah pengaruh media massa. Seperti yang diketahui ramai, media massa yang menjadi perantaraan untuk menghubungkan antara sesuatu pihak dengan sesuatu pihak yang lain untuk menyampaikan sesuatu maklumat dari semasa ke semasa.

 Dari sini lah masyarakat dapat meniru budaya-budaya barat yang kurang elok dan dapat merosakkan budaya timur.melalui media massa budaya-budaya barat diterapkan kepada anak-anak muda di negara-negara timur contohnya dari segi perubahan fesyen. Remaja pada masa kini memang mudah untuk menerima perubahan yang agak keterlaluan daripada barat.

Dari sini, dapat kita lihat masyarakat masa kini mudah terpengaruh dengan pengaruh-pengaruh barat. Secara tidak langsung ini dapat merosakkan akhlak remaja-remaja yang merupakan generasi pewaris untuk memimpin negara di masa depan. Jika akhlak dan moral generasi pada masa kini telah rosak, bagaimanakah generasi yang akan datang yang dipimpinnya pada masa depan.

Selain itu, faktor rakan sebaya merupakan faktor yang agak besar peratusan yang mempengaruhi seseorang dalam masalah sosial dan akhlak. Lebih-lebih lagi remaja, apa sahaja yang dilakukan oleh rakannya pasti akan diikutinya. Sebagai contoh, masalah dadah yang berlaku dalam negara kebanyakkannya berpunca daripada rakan sebaya.

Masalah dadah ini terlalu kritikan di dalam negara sehingga kan banyak pihak yang cuba mengatasinya tidak berjaya. Boleh dikatakan usaha kerajaan sejak merdeka sehingga ke hari ini untuk membasmi musuh nombor satu negara ini dianggap gagal. Ramai berpendapat, faktor utama penyalahgunaan dadah ialah kerana masalah sosial. Punca masalah dadah ini pula kerana bertebarannya disko, karaoke dan kelab-kelab malam.

 Biasanya di kelab-kelab malam berlaku urusniaga-urusniaga dadah, penularan pil ecstasy, jarum suntikan dan sebagainya. Jika dilihat laporan akhbar banyak pengunjung disko dan karaoke dalam keadaan high dan mabuk kerana pil ectasy serta penggunaan alkohol. Di manakah komitmen kerajaan dalam menangani masalah dadah kerana punca dan ibu maksiat tidak diharamkan.

            Penyalahgunan dadah mudah berkembang melalui pengaruh hedonisme atau hiburan yang melampau. Muzik yang berirama keras seperti Black Metal, Punk, Rock, SkinHead dan lain-lain lagi sering dikaitkan dengan dadah. Senikatanya banyak yang membawa maksud kepada dadah, seks bebas, arak, dan jenayah.

Golongan artis pula kebelakangan ini, semakin ramai ditangkap kerana dadah. Amat memalukan apabila kerajaan mengiktiraf mereka dengan pelbagai anugerah, dalam masa yang sama mereka mencemarkan nama baik mereka dan industri ini dengan dadah.

             Kesan dari inflasi, pengangguran serta taraf hidup yang tidak seimbang boleh membiakkan lagi dadah. Laporan menyatakan seramai 80,000 graduan masih belum dapat pekerjaan. Pada masa yang sama harga minyak dan barangan pula semakin bertambah. Jurang pendapatan antara yang bergaji sederhana dan rendah dengan yang berpendapatan tinggi pula amat ketara. Ini memberikan tekanan yang hebat kepada rakyat dan membuka ruang masyarakat terjerumus kepada gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah dan jenayah.

Selain itu, banyak pihak mempertikaikan usaha kerajaan mengadakan program pemberian jarum percuma kepada penagih-penagih dadah yang positif HIV. Apakah kewajarannya kerajaan memberi jarum suntikan sedangkan banyak perkara lain yang boleh dilakukan untuk mengurangkan penagih-penagih tegar. Usaha ini bukan menyelesaikan masalah pesakit HIV, bahkan menambahkan jumlah mereka. Berapa pula kos yang terpaksa dibelanjakan demi menanggung “biawak hidup” yang menggunakan duit rakyat. Sepatutnya kerajaan bertegas menghapuskan sarang-sarang penagih dadah. Jarum-jarum tidak perlu dibekalkan kerana mereka perlu diajar, bahawa masalah dadah tidak ada kompromi dan belas kasihan.

            Timbalan Perdana Menteri, dalam laporan media menyebut masalah yang berlaku kepada bekas penagih yang kembali menagih selepas keluar dari pusat serenti. Mengapakah modul yang digunakan di dalam pusat serenti tidak memberi kesan sehingga tidak mampu menyedarkan pelatih-pelatih? Apakah kerajaan tidak membuat pemantauan terhadap bekas-bekas pelatih apabila mereka kembali ke pangkuan keluarga? Apakah kerajaan tidak melakukan kajian terhadap fungsi dan peranan pusat-pusat serenti?

 Dalam hal ini yang paling penting adalah penerapan agama yang kuat perlu diberi agar penagih-penagih insaf serta takut untuk kembali ke dunia lama mereka. Mereka juga perlu diberi tempat yang baik dan hak yang sama untuk meraih hidup seperti memberi peluang pekerjaan, melanjutkan pelajaran, latihan dan kursus-kursus yang lain.

            Dadah adalah masalah negara dan ia melampaui sempadan politik. Justeru, tidak ada salahnya sekiranya kerajaan bekerjasama dengan semua pihak termasuk parti politik yang lain dalam usaha bersama secara bersepadu membasmi dadah.. Kerajaan perlu memberikan sokongan kepada pusat-pusat pemulihan dan rawatan yang didirikan samada oleh individu, NGO, mahupun parti politik yang lain.

            Kerajaan harus konsisten untuk membuktikan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara ‘Islam Hadhari’ mampu memberikan contoh yang terbaik kepada negara-negara lain dalam usaha membasmi dadah. Semua pihak sayangkan remaja dan inginkan generasi akan datang sebagai generasi yang ulung yang dapat membela agama, bangsa dan negara.

 Tidak ada jalan bagi kerajaan ‘Islam Hadhari’ melainkan kembali semula kepada Islam sebagai teras hidup masyarakat. Jika langkah-langkah yang serius tidak dijalankan secara terus-terusan, generasi zaman sekarang akan menjadi generasi yang akan merosakkan negara, bangsa, agama dan sekali gus akan memusnahkan dunia.
           
Kesan daripada keruntuhan akhlak dan sosial, negara  melahirkan generasi yang tidak berkualiti dari segi akhlak dan sosial. Contoh terdekat yang dapat kita lihat adalah keruntuhan moral atau akhlak dikalangan remaja masa kini di negara kita iaitu dengan adanya masalah-masalah sosial yang agak kritikal pada masa kini. Contohnya, masalah samseng, lepak, pergaulan bebas dan sebagainya. Mereka semua ini adalah generasi untuk memimpin negara di masa depan. Dapat kita bayangkan bagaimana keadaan dunia jika generasi begini yang memerintah dunia.

Selain itu, antara kesan lain daripada keruntuhan akhlak adalah budaya dan adab di sesebuah negara semakin terhakis disebabkan oleh keruntuhan akhlak dan sosial. Ini akan menyebabkan sesebuah negara tidak lagi mempunyai tamadun dan pegangan adab yang dapat dijadikan panduan untuk melakukan sesuatu perkara atau tindakan. Jika tiada pegangan ini, mereka akan melakukan sesuatu mengikut kehendak hati dan perasaan mereka. Setiap negara juga tidak akan mempunyai identiti yang tersendiri seperti pada masa kini. Contohnya, budaya barat yang menular masuk kedalam negara kita akan sedikit sebanyak menghapuskan identiti sebenar sesebuah negara.


Kesan-kesan ini semua adalah antara penyebab yang menjadikan sesebuah negara sebuah negara yang hilang ketamadunannya menyebabkan generasi pewaris untuk memimpin negara tiada pegangan dan akan mengkucar-kacirkan pemerintahan di masa hadapan dan pastinya dunia akan menjadi kucar-kacir dengan pemerintahan-pemerintahan yang tidak bersistematik dan tiada ketamadunan.

            Untuk mengatasi masalah-masalah ini, beberapa pihak perlu memainkan peranan iaitu, ibu bapa dan keluarga, kerajaan, negara, pemimpin, masyarakat dan yang paling penting adalah kekuatan dalaman diri sendiri. Ibu bapa perlu memberikan didikan yang mencukupi kepada anak-anak semenjak kecil lagi iaitu didikan agama dan didikan lain yang sewajarnya diajar untuk menjadi seorang yang beradab.

Keluarga juga memainkan peranan yang sama dengan ibu bapa untuk membentuk individu yang berkualiti. Manakala kerajaan, negara, dan pemimpin juga merupakan peranan yang penting untuk melahirkan generasi yang mempunyai akhlak yang baik dan moral yang tinggi.  Tetapi yang paling penting untuk membentuk individu yang mempunyai akhlak yang tinggi adalah diri sendiri. Iaitu kekuatan dalaman untuk berakhlak mulia iaitu mereka mengambil inisiatif sendiri untuk berkelakuan baik dan tidak melakukan kejahatan.

 Segala pengaruh yang datang dapat dielakkan oleh mereka lebih-lebih lagi sesama rakan sebaya yang merupakan pengaruh yang yang sangat kuat. Jika beberapa pihak ini menjalankan tanggungjawab mereka dengan ikhlas, maka generasi masa kini dapat diselamatkan.

            Negara dan dunia pada masa akan datang bergantung kepada generasi masa kini untuk menentukannya sama ada makin maju atau musnah. Jika remaja- remaja pada masa kini tidak dijaga maka musnahlah dunia pada masa hadapan.   

Politik
Pandangan dunia

Dunia sekarang ini boleh dibahagikan kepada 2. Bagi Barat, mereka melihat dunia ini terbahagi dua: Siapa yang menyokong Amerika Syarikat (AS), disifatkan sebagai demokratik, sekular dan bertamadun. Pihak yang menentangnya pula disifatkan autokratik, fanatik dan keganasan.

Pihak Islam umumnya ditampilkan sebagai autokratik, fanatik dan keganasan. Maka itulah yang dilemparkan terhadap Hizbullah, Hamas dan Iran.

 Bagi Washington, mereka sama saja, sama ada gerakan Islam seperti Hizbullah atau Al-Qaeda, atau Taliban. Muslim fundamentalis, radikal, militan, baik pejuang pembebasan di Kashmir atau militan Darfur, adalah sama, yakni pengganas yang mahu memusnahkan Barat.

Bagi orang keseluruhan pula, mereka melihat Barat itu sama. Sama ada Amerika Syarikat, Eropah, Britain, Scandinavia, atau kumpulan-kumpulan yang anti-golobalisasi dan anti-perang Iraq juga dihimpunkan sebagai Barat yang diketuai Presiden George W. Bush.

Tetapi hakikatnya tidaklah begitu. Gerakan Islam bukannya pengganas. Hizbullah, Hamas dan Iran menolak Taliban dan Al-Qaeda. Sementara di pihak Barat pula, AS tidak serupa dengan Eropah. Malah Parti Republikan juga tidak serupa dengan Demokratik. Golongan sosialis yang menang di banyak tempat di Eropah dan Amerika Latin tidaklah sehaluan dengan Washington.

Aliran-aliran politik berbentuk plural tidaklah boleh disamakan di antara satu sama lain. Seperti mana PAS, Umno dan KeADILan adalah berbeza di antara satu sama lain, maka begitu juga dengan pelbagai aliran di dunia.

Isu Perang vietnam

Perang vietnam berlaku di Indochina mulai tahun 1965. Ia berlaku disebabkan oleh Perang Dingin di antara Amerika Syarikat dan Soviet Union. Ia telah menimbulkan beberapa implikasi iaitu kehadiran tentera asing di Asia Tenggara, persaingan senjata di kalangan kuasa besar, pangkalan tentera yang berkekalan, ideologi komunisme dan masalah orang perlarian Vietnam atau orang hanyut.

 Salah satu masalah yang besar adalah masalah pelarian yang berlaku di Asia Tenggara. Mulai tahun 1965, apabila berlakunya perang ini menjadikan rantau Asia Tenggara tidak stabil dari segi politik, ekonomi dan keamanan. Ini disebabkan kehadiran kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Russia, Vietnam, China dan Jepun.

Bagi Malaysia, ia terpaksa menerima sebanyak 69,00 orang di antara tahun 1975-78. Ini telah mengancam kestabilan ekonomi dan politik. Indonesia, Filipina dan Singapura pada peringkat awal, tidak menganggap fenomena ini sebagai suatu isu penting kerana hanya terdapat 2,000 hingga 4,000 orang sahaja di setiap negara.

Setelah itu ASEAN mula mengambil langkah dan tindakan secara kolektif. Diantara salah satunya ialah dengan menekan Vietnam supaya memberhentikan kebanjiran pelariannya di Asia Tenggara dan mempengaruhi negara-negara ketiga, khususnya kuasa-kuasa besar untuk mebantu dan menyelesaikan masalah pelarian Indochina.
            Perang Vietnam ini telah meninggalkan kesan jangka panjang terhadap percaturan politik dan perubahan pola dalam perhubungan antarabangsa. Tidak kurang juga penting, ia memberi implikasi yang besar terhadap negara-negara jiran yang terpaksa menaggung beban akibat kehadiran pelarian Indocina secara beramai-ramai.
            Antara kesan daripada perang ini adalah  dari rakyat Indocina itu sendiri yang terpaksa keluar daripada negara mereka sendiri untuk mendapatkan keselamatan dan rezeki yang tidak mereka perolehi di negara sendiri. Maka dengan itu, mereka keluar dari negeri mereka sendiri.
Isu Afghanistan

            Selepas serangan ke atas menara kembar Pusat Dagangan Dunia di New York dan Pentagon pada 11 September 2001, Amerika Syarikat mengambil dasar yang  tegas ke atas elemen Islam, baik di dalam negara atau di luar negara. Sasaran utama mereka ialah Osama bin Laden yang didakwa oleh mereka mengetuai dan membiayai gerakan keganasan antarabangsa pertubuhan Al-Qaeda. Sesungguhnya Afghanistan menjadi sasaran utama Amerika Syarikat disebabkan ia pernah menjadi pusat pergerakan mujahidin menumbangkan kerajaan boneka Russia.

            Maka pada tahun 2002, Afghanistan diserang oleh tentera Bersekutu yang diketuai AS dan Britain. Tujuan utama mereka kononnya untuk menagkap Osama bin Laden. Tetapi sebenarnya mereka telah menjatuhkan kerajaan Afghanistan yang diterajui oleh golongan Taliban (Mullah Omar). Akhirnya kerajaan baru bersifat boneka AS telah dibentuk yang diketuai oleh Presiden Hamid Karzai. Sehingga kini, cerita mengenai Osama bin Laden tenggelam begitu sahaja kerana matlamat sebenar mereka untuk menjajah telah tercapai dann berusaha menguasai ekonomi Afghanistan, terutama bahan-bahan galian.
             
Isu keganasan antarabangsa

Antara isu keganasan yang paling utama ialah isu pengganas antarabangsa (global terrorism)- Al –Qaeda dan beberapa tindakbalas terhadap dasar Amerika Syarikat seperti pengeboman ke atas WTC di New York pada 11 september 2001,pengeboman Bali di Indonesia pada bulan Oktober 2002, pengeboman ke atas Hotel Paradise di Mombasa, Kenya, pengeboman di Riyadh pada bulan Mei 2003, pengeboman di Casablanca, Maghribi pada bulan Mei 2003, pengeboman di Afghanistan pada 7 Jun 2003 dan banyak lagi pengeboman yang berlaku.

Punca daripada peristiwa-peristiwa di atas adalah ringkas, iaitu tekanan yang diberikan oleh Amerika Syarikat ke atas penduduk Islam di merata dunia, terutama di Asia Barat. Ada hasil kajian dibuat, menujukkan punca sebenar sesuatu fenomena adalah disebabkan dasar luar AS yang begitu agresif mulai tahun 1990. Akibat daripada tekanan Barat, konsep jihad dilaksanakan secara praktikal sebagai suatu tindakan balas, jadi disini orang Islam tidak boleh disalahkan secara mutlak.

Namun Amerika Syarikat secara berterusan memerangi kumpulan-kumpulan jihad Islam yag dilabelkan sebagai pengganas. Agensi Perisikan Pusat (CIA) telah membentangkan kepada Presiden George W. Bush untuk mendapatkan perbelanjaan sebanyak USD250 juta untuk memerangi kumpulan pejuang Palestin terutama Hamas dan Jihad Islam. Bush pula telah memaklumkan kepada Mahmood Abbas untuk memperincikan langkah keselamatan dan strategik bagi menghapuskan semua pertubuhan pejuang Palestin.

Selepas Hamas menang pilihan raya badan perundangan Palestin berlakunaya krisis antara Hamas dan Fatah, parti yang sekian lama mentadbir Palestin sehinggalah ia kalah dalam pilihan raya pada 25 Januari 2006 itu, memuncak apabila serangan demi serangan dilakukan terhadap pemimpin kedua-dua belah pihak, dan tuduhan demi tuduhan dilemparkan tentang siapa yang bertanggungjawab terhadap serangan itu.

           Apabila Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin, Ismail Haniya, salah seorang pemimpin kanan Hamas diserang dalam satu percubaan membunuhnya keadaan dilihat jadi semakin sukar untuk dikawal. Palestin berada di ambang pertumpahan darah. Dalam keadaan itulah, Presidennya Mahmoud Abbas mengumumkan beliau akan membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya lebih awal.
            Pengumumannya itu mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS) dan Israel serta negara-negara sekutu mereka. Malah Israel yang selama ini bertegas mahu menekan Hamas secara ekonomi menyatakan kesediaannya untuk melepaskan wang cukai milik Palestin yang dipegangnya sejak Fatah hilang kuasa selepas pilihan raya itu.

Isu Iran

            IRAN  di bawah pimpinan Presiden Mahmoud Ahmadinejad berjaya mengharungi tahun 2006 dengan bangga, tanpa tunduk kepada tekanan masyarakat antarabangsa dan kuasa besar Amerika Syarikat. Rancangan Amerika untuk menghukum negara Parsi itu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mendapat sokongan penuh negara-negara sekutu dan negara kuasa besar seperti Rusia dan China.

             Walau bagaimanapun, Iran bakal menghadapi cabaran baru tahun 2007 ini dengan meningkatnya usaha Amerika untuk bertindak terhadapnya, sekurang-kurangnya dengan sekatan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Walaupun dapat diperhatikan peningkatan persediaan Amerika untuk menggunakan kuasa ketenteraan ke atas Iran, tindakan itu dikhuatiri mendatangkan kesan buruk kepada dunia, termasuk ekonomi Amerika yang sangat bergantung kepada kesejahteraan ekonomi global.

           Amerika dan sekutunya di Timur Tengah mengadakan satu latihan perang besar-besaran berhampiran Teluk Parsi beberapa bulan lalu, sebagai satu tanda amaran kepada Iran. Tempoh penghujung pemerintahan Presiden George W Bush pula mungkin akan memaksa beliau melaksanakan tindakan drastik sebagai menyelesaikan misi yang belum selesai.

          Iran telah menunjukkan ketabahan dan keberanian sepanjang beberapa tahun lalu, sejak Amerika memperbesar-besarkan program nuklearnya sebagai rancangan membina senjata nuklear. Hubungan dengan Rusia dan China telah digunakan sebaik mungkin oleh Ahmadinejad untuk mengimbangi pengaruh Amerika.

         Percaturan politik Ahmadinejad itu boleh membawa manfaat besar bagi Iran. Hubungan lebih baik dengan Rusia dan China bermakna hubungan perdagangan yang meningkat antara Iran dengan kedua-dua negara tersebut. Sumber minyak dan gas yang banyak di Iran bermakna peluang pelaburan yang besar bagi Rusia dan China, dua negara yang sememangnya mahu merebut peluang tersebut. Maka Iran berada di kedudukan yang baik dalam hal ini. Kerjasama nuklear juga diteruskan oleh Iran dengan Rusia. 

          Iran boleh mendapat manfaat daripada kerjasama dengan kedua-dua negara, bukan sahaja dalam bidang politik. Kedua-dua Rusia dan China tahu bahawa tanpa kemasukan syarikat dari Amerika ke Iran, peluang pelaburan lebih besar bagi mereka, dan Iran akan bergantung pada pelaburan mereka dan memberikan keistimewaan, kerana Iran juga memerlukan "perlindungan" kedua-dua negara di Majlis Keselamatan.

Penutup
Kesimpulan yang boleh dibuat disini adalah telah banyak peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada dunia kita sekarang. Banyak kuasa-kuasa besar ingin menunjukkan diri mereka bahawa mereka yang berkuasa di muka bumi ini. Bagi merealisasikan perkara itu, banyak peristiwa dan propaganda dibuat bagi mencapai tujuan tersebut. Sebagai seorang manusia yang hidup di muka bumi ini harus sedar akan keadaan sekeliling kita bukan sahaja yang berada di sekeliling kita sahaja malah lebih luas dengan melihat dunia kita sekarang . Mungkin ada masih yang lalai meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa mengetahui adanya saudara kita di negara lain sedang menangis merintih akibat penderitaan yang mereka hadapi. Maka dengan itu, sebagai seorang peduduk dunia harus mengambil berat mengenai perkara-perkara yang berlaku di sekeliling mereka agar boleh mengahadapi masa depan dengan lebih baik dan mengambil iktibar atas apa yang telah berlaku pada masa dahulu.
  
Bibliografi
Laman web Detik Daily- Suara Reformasi Rakyat

Laman web Utusan Malaysia Online


Yahaya Jusoh, Tamjes Kastiran, Osman Sabran, Mohd Said Ishak, Hussin Salamon,Sulaiman Kadikon,Azhar Muhammad,dll (2002),  Pengantar Institusi-Institusi Islam,Pusat Pengajian Islam & Pembangunan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai:Umida Industries Sdn. Bhd.

Prof. Madya Dr. Hussin Salamon, (2005), Islam dan Isu-Isu Semasa, Pusat Pengajian Islam & Pembangunan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai:Umida Industries Sdn. Bhd.


http://ms.wikipedia.org/wiki/Globalisasi


http://www.bicaramuslim.com

http:www. pemudawilayah.com
 Click ads for your tq or like.

No comments:

Post a Comment